Bila Hati Sudah Bertaut


Oleh : Merpati Putih

DARI ruang jendela, mentari sudah meninggi diri. Panas dan terik hari ini. Cuaca yang amat baik untuk perjalanan yang jauh. Seakan rahmatNya menyelubungi dunia pagiku ini.
Banyak lagi rupanya! Bisik hatiku. Pandanganku tertumpu ke arah longgokan bag-bag yang terletak di suatu sudut kamarku. Penuh dan sarat dengan buah tangan dan hasil tuaian sanak saudara. Tiba-tiba aku terpandang sebuah kad lama yang terselit di dalam salah satu bag itu. Aku mencapainya. Kad in telah usang. Kata-kata di hadapan kad pun makin pudar. Ada lakaran dua bentuk hati yang berwarna merah besar ditengah-tengah kad ini. Aku tercari-cari pengirimnya.
Semoga dirahmati dan diberkati Allah sepanjang hayat. Moga panjang umur dan murah rezeki ke anak cucu. Layarilah kehidupan yang penuh bergelora dengan gelombang dan ribut taufan dengan penuh kesabaran, ketabahan dan kecekalan….ikhlas dari MARZIAH
Aku tersenyum. Bingkisan ini telah berusia lebih dari 10 tahun. Kad ini masih berdiri teguh. Seingat aku,aku menerimanya ketika hampir dengan majlis perkahwinanku. Dari seorang yang amat rapat denganku, ketika di universiti.
“Ibu, cepatlah!” Aku tersentak.
Pandanganku tertoleh ke arah anak sulungku yang tidak sabar-sabar mahu bertolak. Disisinya, berdiri adik-adiknya dengan wajah yang bersungguh-sungguh. Wajah yang menghiburkan hari-hariku. Wajah yang menceriakan hidupku. Wajah yang selalu aku dambakan di dalam kehidupanku. Mereka telah lama tercegat di hadapan pintu bilikku.
“Ibu!”
“Ok! Ok!…ibu datang,” jawabku.
Kad tadi aku tinggalkan bersama seribu kenangan. Kenangan yang mengubah segala-galanya tentang aku. Kenangan yang membentuk siapa aku.
JAM di dinding sudah menunjukkan hampir ke pukul 9 pagi. Aku harus bergegas untuk ke library. Teringat janji yang dibuat awal pagi tadi bersama teman baikku, Lina. Aku masih teringat perbualan kami semasa kami keluar untuk berjoging di kawasan padang universiti awal pagi tadi.
“Mari, kau ke library tak hari ini?” tanya Lina, anak kacukan atau lebih dikenali sebagai anak mami. Sekali pandang wajahnya seiras Karisma Kapoor. Dia lebih suka di gelar anak melayu sejati.
“Ya, macam biasa. Kenapa?” tanyaku dengan selamba.
“Aku ingat nak ikut la. Dah lama aku tak pergi ke situ. Hendak cari bahan untuk assignment ..,” katanya dengan bersungguh-sungguh.
“Boleh la. Tak dak hal..,” jawabku lagi.
“Kejap lagi, kau datang ke bilik aku. Kita pergi sama-sama? Ok?”
“Ok.”
Aku mengambil beberapa nota kecil dan buku-buku kuliah. Aku harus segera turun kebawah. Lina pasti sedang menungguku. Aku tidak harus membiarkan teman baikku menunggu dengan begitu lama. Aku mendapatkan kawan sebilikku, Syikin yang sedang mendengar lagu menerusi earphone. Aku menepuk bahunya sambil memberi isyarat yang aku akan keluar ke library. Dia menoleh dan tersenyum. Dia hanya menganggukkan kepalanya. Aku bergegas keluar.
Bilikku terletak di tingkat 4 manakala teman baikku, Lina di tingkat bawah. Seperti biasa untuk ke kuliah atau ke gerai makan, inilah jalan yang harus ku tempuhi. Inilah hidupku. Aku sudah cekap menuruni anak anak tangga ini. Hari ini, tidak ramai yang menggunakan tangga ini. Anak-anak tangga ini lenggang dengan bunyi tapak-tapak kaki manusia pagi ini. Tidak seperti lalu. Tangga ini akan berimara seperti ketukkan musik yang tiada hentinya. Ramai teman-teman seperjuanganku menggunakan masa ini untuk berehat atau bersantai. Aku lebih suka menghabiskan hujung mingguku dengan ke library. Itulah yang paling aku suka lakukan. Bagi aku dengan menghadirkan diri ke library, aku sudah berada di dunia lain. Aku sudah berada di alam aku. Alam yang memungkinkan semua berlaku. Bau buku-buku di sana menghidupkan nadi aku!
Sudah sampai! Kata hatiku. Aku mengetuk pintu biliknya yang berkunci berkali-kali.
“Lina…Lina…” Aku memanggilnya berulang-ulang kali. Tiada jawapan. Aku pun mencari-cari Lina di dalam bilik air dan di kawasan luar. Ke mana dia pergi? Bisik hatiku dengan penuh kehairanan. Aku menuju ke arah biliknya kembali. Tiba-tiba aku ternampak bayangan dia yang seakan baru bangun dari tidurnya.
“Ohh..kau, Mari! Aku tak jadi pergi la Mari…letih,” jawabnya sambil menggosok-gosokkan matanya. “Kau pergilah dulu…kalau aku tukar fikiranku, aku follow..,” katanya lagi.
“Ok,” kataku sambil tersenyum. Dia menganggukkan kepalanya lalu menutup pintu itu kembali. Aku pun berlalu dari situ.
Jarak dari asrama ke library hanya mengambil masa 10 minit sahaja. Jaraknya lebih kurang 200 meter. Setiap hari, jalan ini dipenuhi dengan rakan-rakan seperjuangan yang berulang alik ke kuliah masing-masing. Riuh-rendah jalan ini. Seakan-akan bunyi anak-anak burung berteriak memanggil ibunya. Jalan ini tidak pernah putus-putus dengan manusia.Hari ini, jalan ini agak lengang, sunyi dan tidak bermaya. Tambahan pula seawal ini.
“Gi library dik?” Aku di sapa oleh penjaga asrama. Aku menoleh kepadanya dan tersenyum malas.
Aku membuka langkahku. Aku harus cepat sampai. Jika tidak, tempat kegemaranku diambil orang. Aku bergegas masuk ke dalam library. Suasana yang bising di luar tadi tidak lagi kedengaran di sini. Semuanya senyap dan sunyi di sini. Hanya kedengaran bunyi tapak kasut atau bunyi selakan buku-buku ilmiah sahaja. Di sudut dinding, kelihatan beberapa orang pelajar sedang mencari buku-buku rujukan menggunakan komputer khas. Ada juga pelajar yang sedang bertanya sesuatu kepada orang yang bertugas pada hari ini. Ada pun! Bisikku sambil menarik nafas lega. Tiba-tiba bahuku di tepuk dari belakang.
“Mari…,” suaranya seakan berbisik. Aku menoleh ke arah suara itu.
“Kau tahu…Jie…ayahnya dah meninggal…tadi…baru sekejap tadi,” suaranya seakan tersekat-sekat seperti menahan sebak di dada.
“Inna lilllah,” jawabku dalam nada yang syahdu.
Jie adalah salah seorang yang amat baik terhadapku. Dia selalu menjadi pendengar yang baik ketika aku memerlukannya. Itu sahaja yang mampu aku katakan selain sedekahkan Al-Fatihah buat roh ayahnya. Kami sama-sama terkedu. Aleeza meneruskan perbualannya dengan perlahan.
“Kau tahu Mari…aku dapat rasakan, apa yang Jie rasa.” Aku mendengar lagi dengan penuh perhatian.
“Kau lihat jam ini!” Dia menunjukkan kepadaku jam jenama Alba yang berwarna biru ditangan kanannya. “Jam ini pemberian ayahku. Inilah pemberiannya yang terakhir…” Aku dapat rasakan ada nada sayu disitu.
Aku terdiam. Anak mana yang tidak sayangkan ayahnya. Pemergian seorang ayah adalah salah satu tamparan hebat buat anak-anak yang belum mengerti akan liku-liku kehidupan. Bagai kebebasanmu diragut jika ayah pergi mengadap ke hadirat Ilahi. Aku melihat wajah rakanku itu. Redup dan sayu wajahnya menceritakan perihal ayahnya. Pilu hatinya.
SUDAH 3 hari, kelibat rakanku Jie tidak kelihatan. Aku tercari-cari dia di dalam bilik-bilik kuliah, namun wajahnya tiada. Aku memikirkan dia. Sudah tentu dia bersedih di atas kehilangan ayah tersayang secara tiba-tiba. Satu kehilangan yang mengejutkan buat seluruh keluarganya. Dari perbualan rakan-rakanku, berita kematian ayahnya ada terpapar di dada surat khabar. Berita akan kematian seorang contractor terjatuh dari bangunan yang masih dalam pembinaan. Apapun kisahnya, aku harapkan Jie tabah mengharungi dugaan ini.
Aku mencari tempat di dalam kelas perakuanan. Madam Nazli Anum sudah pun masuk ke dalam kelas. Pelajar-pelajar lain sudah pun berada di dalam kelas ini. Tiba-tiba pintu kelas di tolak perlahan. Semua pelajar mendongak dan kelihatan Jie melangkah longlai masuk ke dalam kelas ini. Wajahnya begitu sayu dan terpaksa. Terlalu berat dugaan pada dia sekarang. Aku memandang Jie yang duduk dua baris di hadapanku. Dia tidak memberi tumpuan. Fikirannya melayang-layang. Sekali sekala, aku melihat dia menyapu air mata di wajahnya. Aku menjadi sebak dan terharu.
Aku cepat-cepat berlari mendapatkan Jie setelah kelas selesai. Dia berjalan dengan begitu lemah sekali.
“Jie!” Aku mencapai tangannya dari belakang. Dia terkejut dan tersentak. Gelagat kami diperhatikan oleh rakan-rakan yang lain. Mereka memandangnya sambil tersenyum dan beredar.
“Kau…ok?” tanyaku dengan perlahan. Dia menganggukkan kepalanya dan senyumnya seakan dipaksa. “Kau ada kuliah sekarang?” sambungku lagi.
“Dah habis…aku nak balik…Mari,” katanya dalam nada sebak.
“Mari kita duduk di sini…” sambil menuding jariku ke arah dua buah kerusi yang tersandar di dinding kelas. Kami duduk dan diam sejenak. Dia memandang jauh ke hadapan. Tiba-tiba…
“Mari, aku nak berhenti dari belajar!” Itulah kata-kata yang keluar dari mulut Jie setelah hampir seketika kami diam. Aku terkejut dan jantungku seakan berhenti berdengup mendengar perkataan ‘berhenti’.
“Aku kasihankan ibu aku…adik-adik aku…ibu aku terlalu sedih! Aku sedih…” sambungnya lagi sambil menahan sebak di dadanya.
“Kau dah bagi tahu ibu kau? Hal ini?” Soalku dengan penuh minat.
“Belum…belum lagi.”
Aku diam dan berfikir sejenak. Apakah yang harus aku katakan pada dia? Sekarang kami sudah di tahun 3. Amat rugi rasanya jika berhenti secara tiba-tiba. Hanya tinggal 1 tahun sahaja lagi untuk menempuh alam universiti. Ini keputusan terburu-buru! Bisik hatiku. Aku menoleh ke arahnya. Aku mendapatkan kedua-dua tangannya. Aku genggam erat tangan-tangannya.
“Jie…pandang aku!” Dia memandang aku dengan pandangannya yang sayu..
“Jie, yang pergi telah pergi. Kau kena teruskan kehidupan di sini! Kau kena habiskan pelajaranmu, Jie!” Dia diam dan mendengar. “Jie, peluang ini datang hanya sekali! Tiada dua atau tiga! Hanya tinggal satu tahun sahaja lagi!” Nadaku cuba menyakinkannya.
“Tapi Mari…”
“Tidak ada, tapi tapi lagi. Kau dengar! Kau kena buktikan pada adik-adik kau, yang kau tabah. Kau boleh harungi semua ini! Aku akan ada di sini membimbingmu. Itu sudah pasti,Jie!” Kataku dengan bersungguh-sungguh dan penuh dengan keyakinan.
Tangannya makin ku genggam erat. Mataku tepat memandang ke arahnya. Aku mahu dia saksikan akan keyakinanku padanya. Aku mahu dia tahu yang aku yakin dia boleh tempuhi semua ini. Dia boleh lakukannya. Fikirannya tidak stabil sekarang ini. Sebarang tindak tanduk yang tidak wajar akan menyebabkan dia menyesal di kemudian hari. Dia memandangku dengan penuh pengharapan. Dia menganggukkan kepalanya.
“Jie, aku tidak mahu dengar lagi tentang ini! Kau kena janji padaku, ok?” pujukku berulang-ulang kali. Ada nada tegas di situ.
“Ok…aku janji, Mari.” Dia memberikan kepastiannya.
Aku harap Jie memegang janjinya kepadaku. Aku harap segala apa yang aku perjuangkan sebentar tadi tidak dipandang mudah oleh Jie. Jie harus bangun dari mimpi! Jie harus sedar apa yang sedang dipertaruhkannya! Dia tidak harus menyerah kalah pada keadaan.
SUASANA di kantin asrama Kolej Siti Fatimah agak lengang. Aku dan Lina duduk berbual-bual setelah menghabiskan makan malam kami. Makan malam bujang! Cuma segenggam nasi bersama kari ikan. Habis licin di dalam pinggan. Ada segelintir pelajar sedang menunggu hidangan makanan mereka. Lama juga mereka tunggu. Jika ada ayam betina, sudah lama bertelur di reban..
“Aku dengar Jie hadir ke kuliah pagi tadi?” tanya Lina memecahkan kebuntuan kami berdua. Aku memandangnya dan menganggukkan kepalaku.
“Kau ada jumpa dia?” sambungnya lagi.
“Ada.” Sahutku ringkas.
“Kasihan kat dia kan? Kalau aku..,” Lina hanya terdiam dan enggan meneruskan perbualannya.
“Kita cerita bab lain, nak?” Aku seakan cuba melarikan diri dari menceritakan hal Jie. Lina bersetuju sambil tersenyum.
“Cerita apa? Gossip? Cerita kau…atau aku?” tanya Lina sambil tersenyum sinis.
“Aku? Aku…mana ada cerita?” sahutku dengan seribu persoalan.
“Nazim tu apa?” Aku terkejut. Macam mana Lina tahu hal ini!
“Nazim?” Aku tidak mampu menahan diri dari ketawa dan Lina kehairanan.
Nazim adalah sebahagian dari lelaki-lelaki yang pernah singgah dan berlalu pergi dari hatiku. Dia hanyalah sekadar rakan seperjuangan dan tidak lebih dari itu. Setakat mendapat kad dan bunga belum tentu menjanjikan apa-apa. Lagipun, aku datang ke universiti ini untuk mengejar cita-citaku, menggapai segulung ijazah. Di dalam kamus hidup aku, tiada istilah cinta. Apa lagi untuk perkara-perkara yang lebih serius.
Aku teringat akan kata-kata ayah. Ayah selalu berpesan akan pentingnya ilmu. Katanya ilmu mencorakkan keperibadian manusia. Aku tidak mahu menghampakan harapan ayahku. Ayah amat penting dalam hidupku.
“Sudah tahun 3 kita ni, Mari. Orang lain dah ada steady. Kita bila lagi?” Aku ketawa berdekah-dekah apabila mendengar kata-kata dari Lina. “Itulah kau, bila aku cakap, kau ketawa!” katanya serius sambil matanya memandang tepat kearahku.
“Habis kau nak apa, Lina?” sahutku lembut.
“Apa kata, kita masuk persatuan?”
“Persatuan?” tanyaku inginkan kepastian.
“Ya, persatuan! Orang kata, masuk persatuan cepat dapat pak we!”

0 comments: