Seluhur Kasih Isteriku

Oleh : Cheeq Yah
“Setiap orang ada dosa silam mereka sendiri,” kata-kata Ustazah Sharimah masih terngiang-ngiang di telinga Ayuni ketika dia menghadiri ceramah agama yang diadakan di surau berdekatan 2 hari yang lalu. Tatkala mendengar ceramah yang berunsurkan kesedaran itu, air mata Ayuni mengalir tanpa dipinta. Betapa selama ini dia banyak melakukan dosa. Ayuni merenung jauh dari jendela biliknya. Kelihatan kanak-kanak sedang berkejaran sesama sendiri. Riang sekali. Jendela bilik yang menghadap taman rekreasi itulah tempat Ayuni termenung tiap-tiap petang sambil memerhatikan gelagat setiap manusia yang berkunjung di situ. ’Hargailah hidupmu wahai anak-anak!’ desis Ayuni sendiri. Air hangat mengalir lagi di pipinya. Setelah bergelar seorang isteri kepada lelaki yang bernama lskandar Aizam, hidup Ayuni tidak pernah bahagia. Mungkin itu adalah balasan di atas setiap dosa dan noda yang pernah dilakukannya sebelum ini. Tetapi dia juga berhak mengecap kebahagian. Dia telah bertaubat dan berharap semoga Allah menerima taubatnya. Tendangan di pintu mengejutkan Ayuni yang sedang mengelap air mata yang mengalir di pipinya.
“Kat sini rupanya kau perempuan,” jerit Iskandar, suaminya. Ayuni tidak sedar bilamana suaminya itu sudah pulang dari kerja.
“Abang. Bila abang balik. Ayu tak perasan,” jawab Ayuni takut-takut. Sesungguhnya dia takut apabila berhadapan dengan suaminya yang umpama singa kelaparan itu.
“Sebab kau tu bodoh. Asyik termenung. Sudah-sudahlah tu perempuan. Walau macam mana sekalipun kau menangis, nasib kau takkan berubah,” sinis sekali perkataan yang lahir dari bibir Iskandar. Dia meluat melihat wanita yang berada di hadapannya sekarang. Hatinya puas apabila melihat penderitaan wanita yang bergelar isteri itu. Baginya perempuan itu tidak layak untuk menerima bahagia.
“Abang nak minum ke?” Ayuni mengangkat punggungnya untuk keluar dari bilik itu. Belum sempat dia keluar dari bilik itu, tangannya direntap kasar oleh Iskandar.
“Aku letih. Aku nak hiburan,” raut wajah yang dipamerkan Iskandar menakutkan Ayuni.
“Abang nak apa?” suara Ayuni bergetar. Belum sempat Ayuni berbuat apa-apa tubuhnya ditarik dan ditolak kasar ke atas katil. Iskandar menutup pintu bilik. Berdentum bunyinya. Suara rintihan Ayuni kedengaran sayu.
Ayuni tersedar dari tidurnya. Dia melihat jam di dinding bilik itu. Pukul 9 malam. Itu bermakna sudah lebih 3 jam dia tidur. Dengan susah payah Ayuni bangkit dari pembaringan. Dia memerhati sekeliling. Tidak ternampak kelibat Iskandar. Ayuni memegang kepalanya yang berdenyut. Dia sudah terlepas waktu Maghrib. Ayuni mencapai tuala di tempat penyidai dan membalut badannya. Begitulah layanan yang diterima Ayuni setiap kali Iskandar menginginkannya. Hanya kekasaran daripada seorang insan bergelar suami. Bukannya belaian lembut dan dakapan mesra yang dihadiahkan buatnya. Ayuni bergerak menuju ke bilik air yang juga berada di dalam bilik itu. Dia ingin membersihkan diri sekaligus menunaikan solat Isyak. Ayuni tahu Iskandar berhak ke atasnya kerana mereka sudah menjadi suami isteri yang sah tetapi bukan begitu cara yang dia mahu. Ayuni membiarkan air membasahi badannya. Perlahan-lahan air matanya mengalir tanpa dipinta. “Abang, tidak berhakkah Ayu merasa bahagia seperti orang lain,” ratap Ayuni sendiri. Dia tahu selama ini dia banyak berdosa tetapi dia ada hak untuk berubah dan bertaubat. Lebih kurang sejam berada di dalam bilik air, Ayuni keluar setelah dia menggigil kesejukan. Setelah menyarungkan baju ke tubuhnya, dia segera menghampar sejadah kerana dia ingin cepat-cepat mengabdikan diri kepada Allah yang maha Esa. Ayuni menunaikan solatnya dengan tenang. Dia bersujud lama pada sujud yang terakhir. Dia pernah mendengar orang berkata, bersujudlah lama sedikit pada sujud yang terakhir dan berdoalah kepada Allah kerana hambaNya akan merasa lebih dekat dengan Allah S.W.T ketika mereka bersujud. Selesai berdoa, Ayuni meletakkan telekung ke tempatnya dan dia berlalu menuju ke dapur. Iskandar tidak ternampak di mana-mana. Keluar agaknya! Ayuni lega. Dia berasa amat lega sekiranya Iskandar tidak menampakkan batang hidung di rumah itu. Rumah banglo yang didudukinya itu adalah milik Iskandar. Iskandar merupakan seorang Pengarah di syarikat miliknya sendiri namun Ayuni tidak pernah berbangga dengan semua itu. Apalah ertinya jika hatinya sedikit pun tidak pernah merasa gembira. Ayuni membuka kabinet di dapur itu satu-persatu, mencari sebarang makanan yang boleh dibuat untuk mengalas perut namun hampa kerana tidak terdapat apa-apa untuk dijadikan makanannya malam itu. Ayuni melabuhkan punggung di kerusi yang berada di dapur itu. Dia mengeluh perlahan. Bukan dia tidak mahu membeli makanan di rumah itu tetapi dia tidak mempunyai wang. Iskandar tidak pernah memberi wang kepadanya. Setiap kali pulang dari kerja, Iskandar akan membeli nasi bungkus untuknya. Itulah yang dia gunakan untuk mengalas perut. Ayuni bangun dari duduknya dan berkira-kira mahu tidur sahaja. Mungkin dia tidak akan merasa lapar sekiranya sudah lena. Baru dia berkira-kira mahu melangkah menuju ke biliknya, pintu utama dibuka seseorang. Muncul Iskandar bersama seorang wanita sambil berpelukan. Ayuni hanya memerhatikan mereka tanpa ada perasaan.
“Apa yang kau tengok tu hah!” tengkingan Iskandar mengejutkan Ayuni.
“Err.. Takde apa-apa. Ayu masuk bilik dulu,” Ayuni melangkah.
“Eh..eh.. Tunggu dulu,” Iskandar menahan Ayuni dari terus melangkah.
“Kenapa bang?”
“Aku nak kau sediakan air untuk aku dan permaisuri aku. Lepas tu hantar kat bilik aku ye,” Iskandar mencium rambut Ayuni. Ayuni dengan pantas menuju ke dapur dan menyediakan air yang dipinta suaminya. Dengan perlahan-lahan dia mengetuk pintu sambil menatang air yang sudah siap disediakan. Setelah menerima arahan masuk daripada Iskandar, Ayuni menolak pintu bilik itu perlahan-lahan. Kelihatan suaminya yang berseluar pendek sedang memeluk perempuan yang dibawanya tadi. Perempuan itu hanya memakai baju nipis bertali halus. Setelah meletakkan minuman tadi, Ayuni bergerak mahu meninggalkan pasangan itu namun pautan di tangannya membuatkan langkah Ayuni mati.
“Kau nak pergi mana?” tutur Iskandar lembut berbisik di telinga Ayuni.
“Ayu nak keluar,”
“Kenapa kau nak keluar sayang?”
“Ayu nak masuk bilik,”
“Ini kan bilik engkau juga. Kau tak nak tengok drama ke?” Iskandar menarik rambut Ayuni membuatkan Ayuni menjerit kecil.
“Ayu tak nak bang. Ayu nak keluar,” Ayuni berusaha melepaskan dirinya. Iskandar menolak kepala Ayuni dengan kuat. Kepalanya terhantuk di dinding.
“Sekarang kau keluar,” jerit Iskandar lantang. Ayuni segera bangun dan keluar dari bilik itu.
“Tuhan, inikah balasan yang kau turunkan untukku,” rintih Ayuni sendiri. Dia berjalan menuju ke biliknya sambil memegang kepalanya yang semakin berdenyut.
“Kenapa you kasar sangat dengan dia?”
“Kenapa? You kesian ke? Perempuan macam tu, tak baik di kesian,”
“Tapi, janganlah kasar macam tu. I ni perempuan tau, I tahu apa dia rasa,”
“You ni bisinglah. Sekarang you nak balik ke nak tidur sini?” Iskandar rimas apabila Linda asyik membela Ayuni.
“Mestilah tidur sini sayang,” Linda mendekati Iskandar yang sudah terbaring di atas katil.
“Kalau macam tu I tak nak dengar you bela perempuan tu lagi,” Iskandar menarik Linda ke dalam dakapannya. Dia membelai rambut Linda yang panjang melepasi bahu dan dengan segera mereka sama-sama masuk ke dalam selimut tebal itu.
Ayuni resah di dalam biliknya. Dia berjalan mundar-mandir di dalam biliknya. Dia tahu apabila lelaki dan perempuan berada bersama dalam apa jua keadaan pun, pasti di tengah-tengahnya adalah syaitan. Dia tidak mahu bersubahat menanggung dosa yang sedang dilakukan suaminya tetapi dia tidak berani untuk menegur Iskandar kerana dia tahu padah yang akan diterima. Ayuni menuju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Dia ingin menunaikan solat sunat memohon keampunan kepada Allah.
“Ya Allah, sekiranya ini adalah ujian yang kau turunkan untukku, kuatkanlah hatiku untuk memikul dugaanmu. Aku tahu, Engkau tidak akan menurunkan ujian ini sekiranya aku tidak mampu menanggungnya,” air mata Ayuni mengalir perlahan-lahan.
“Kau berikanlah petunjuk buat suamiku ya Allah. Aku pasrah sekiranya dia tidak dapat menerima diriku tetapi kau berikanlah petunjuk buatnya untuk berubah. Amin ya rabbal alamin,” Ayuni meraup mukanya sekaligus menyapu air matanya. Dalam hatinya berdoa semoga masih ada bahagia untuknya.
Ayuni berjalan dengan pantas untuk balik ke rumah. Dia tidak mahu terserempak dengan suaminya. Jika tidak, pasti tubuh badannya menjadi mangsa. Iskandar telah berpesan pada Ayuni supaya tidak keluar rumah. Ayuni keluar kerana mahu pergi ke surau untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Sharimah.
“Ustazah, mengapa Tuhan menguji kita?” tanya salah seorang pendengar pada petang itu.
“Kerana dia mahu lihat sejauh dan sekuat mana iman seseorang itu,” terang Ustazah Sharimah ringkas. Bibirnya yang tidak lekang mengukir senyuman menambahkan manis di wajahnya.
“Tapi, macam mana kalau seseorang itu tidak kuat dan melakukan kemungkaran kerana tidak tahan menerima dugaan dariNya?” tanya seorang lagi pendengar.
“Itu terpulang pada hati dan niat seseorang. Jika dia merasakan bahawa dugaan yang diturunkan adalah sebagai ujian, maka dia pasti tidak akan melakukan sesuatu yang boleh menjadi kemungkaran Allah S.W.T. Tetapi jika seseorang itu berfikir bahawa ujian itu adalah beban, maka sebaliknya akan terjadi,” Ustazah Sharimah sabar melayan setiap pertanyaan daripada pendengarnya.
“Bagaimana mahu menahan diri kita dari melakukan sesuatu yang tidak disukai oleh Allah, ustazah?” giliran Ayuni pula bertanya. Ustazah Sharimah memandang wajah sayu Ayuni. Dia dapat merasakan gadis itu menanggung satu derita yang besar.
“Banyakkan beribadat untuk mendekatkan diri padaNya. Perbanyakkan solat sunat untuk meminta petunjuk daripadaNya supaya hati kita kuat menghadapi apa saja yang diturunkannya buat kita,” Ustazah Sharimah tersenyum manis memandang wajah Ayuni. Ayuni menundukkan kepala.
“Setiap yang terjadi ada hikmahnya. Mungkin kita tidak nampak sekarang tapi suatu hari nanti Allah pasti tunjukkannya. Perbanyakkan doa supaya Allah mempermudahkan setiap urusan kita. Kalau kita tidak pernah merasa bahagia di dunia ini, insyaallah Allah akan memberi kebahagian buat hambaNya di akhirat kelak,” Ayuni dapat merasakan kata-kata itu ditujukan khas untuknya. Dia memandang wajah Ustazah Sharimah. Terpancar cahaya keikhlasan dari wajah itu. Ustazah Sharimah memandang Ayuni sebelum meneruskan kata-katanya.
“Mungkin ada orang lain yang lebih sengsara dan lebih berat dugaannya dari kita,”
Ah ustazah! Berkata memang senang tetapi diri ini yang menanggungnya. Ayuni memperlajukan langkahnya. Dia ingin segera sampai di rumah.
Ayuni menarik nafas lega apabila tidak ternampak kereta Iskandar di halaman. Dia melangkah masuk ke dalam rumah. Hari ini memang dia tidak tertangkap tetapi macam mana dengan esok dan seterusnya. Tetapi hatinya kuat untuk terus mengikuti setiap ceramah yang disampaikan oleh Ustazah Sharimah. Ayuni melangkah laju menuju ke biliknya. Itulah rutin hariannya. Selepas Iskandar pergi kerja, dia akan mengemas rumah dan mencuci baju. Selepas itu, dia akan berkurung di rumah sehinggalah petangnya dia mengikuti ceramah Ustazah Sharimah yang diadakan selama 2 hari seminggu iaitu hari Rabu dan Khamis. Ceramah yang berlangsung pada pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 5 petang itu sedikit sebanyak telah menambah pengetahuan Ayuni yang selama ini cetek ilmu agama. Iskandar yang selalunya pulang pada pukul 7 malam tidak pernah mengesyaki apa-apa kerana Ayuni sentiasa ada di rumah setiap kali dia pulang dari kerja. Ayuni memejamkan matanya, berkira-kira mahu merehatkan diri. Lagipun tiada apa lagi yang perlu dibuatnya. Lainlah kalau dia memang isteri yang diinginkan suami, dia pasti memasak sementara menanti kepulangan sang suami. Ayuni akhirnya terlena bersama air hangat yang tidak jemu mengalir di pipi.
“Hoi!!!” jeritan kasar itu menyedarkan lena Ayuni. Dia terpisat-pisat bangun dan melihat siapakah gerangan yang mengacaunya. Serta-merta wajahnya pucat apabila terpandangkan wajah di hadapannya.
“Abang,” Ayuni menundukkan kepalanya. Dia takut untuk menentang mata yang menyala itu. Pang! Satu tamparan hinggap di pipinya menyebabkan matanya berpinar sebentar. Tamparan dari tangan kasar itu amat menyakitkan apabila mengenai pipinya yang halus itu.
“Kenapa kau tidur? Kenapa tak tunggu aku balik?” jerkah Iskandar. Cukup meluat dia melihat wajah mulus di hadapannya itu. Kalau boleh mahu dirodoknya perut itu menggunakan pisau. Biar mampus. Iskandar menarik rambut Ayuni sekuat hatinya membuatkan Ayuni mengerang kesakitan.
“Kau sakit ke?” tanya Iskandar bodoh. Dia tersenyum sinis memandang wajah mendung Ayuni yang sedang menahan kesakitan itu.
“Kalau kau sakit, hati aku ni lebih lagi sakit tau,” sekali lagi Iskandar menampar wajah kecil milik Ayuni. Darah pekat mengalir di bibirnya. Ayuni menangis. Setelah puas, Iskandar meninggalkan Ayuni yang sedang menangis kesakitan. Hatinya puas. Rasakan kau Ayuni. Aku akan pastikan hidup kau akan sengsara! Iskandar masuk ke dalam biliknya. Dia hendak keluar lagi selepas ini. Duduk di rumah itu hanya membuatkan dirinya rimas. Setelah membersihkan diri, Iskandar mencapai kunci kereta dan berlalu keluar dari rumahnya. Dia langsung tidak mempedulikan Ayuni yang masih kesakitan di dalam bilik. Hatinya terlalu puas kerana dapat membuatkan gadis itu menderita. Baginya Ayuni tidak layak untuk hidup bahagia dan merasa gembira. Iskandar memandu keretanya menuju ke destinasi yang boleh membuatkan dirinya gembira. Linda! Gadis itu adalah hiburannya. Ramai lagi gadis di luar sana yang diusung ke hulu ke hilir malah dia juga tidak malu mengusung mereka hingga ke bilik tidur. Suria, Marlina, Hairani! Semua itu adalah hiburan untuknya. Begitu juga Ayuni baginya. Gadis itu adalah hiburan semata-mata walaupun Ayuni halal untuknya. Namun bagi Iskandar, status isteri yang dipegang Ayuni, itu hanya pada nama semata. Tidak akan sekali-kali dia mengangkat martabat wanita itu sebagai seorang isteri dalam erti kata yang sebenar. Dia ingin melihat wanita itu menderita sehingga menghembuskan nafas yang terakhir. Ada dendam di hatinya buat wanita yang bernama Ayuni Zaharah, isteri yang telah dikahwininya setahun yang lalu. Dendam yang telah lama tersemat di dada. Bertahun lamanya dia menyimpan dendam di hati dan hanya penderitaan Ayunilah penawar dendam di hatinya. Iskandar tiba di apartment milik Linda setengah jam kemudian. Berkali-kali dia menekan loceng rumah itu. Dia sememangnya bukanlah seorang yang penyabar. Panas baran sudah sebati dalam jiwanya. Sebab itulah memukul Ayuni langsung tidak mendatangkan kesan di hatinya malah dia suka melihat Ayuni menangis kerananya. Pintu apartment dibuka. Tersembul kepala Linda yang masih dibaluti tuala. Sebaik ternampak Iskandar, Linda tersenyum menggoda. Iskandar melangkah masuk ke dalam rumah Linda tanpa menunggu keizinan daripada wanita itu. Itu kerana dia sudah biasa berkunjung di situ. Lagipun dia yang menghadiahkan apartment itu kepada Linda sempena hari jadi Linda yang ke 19. Linda yang cuma memakai seluar pendek dan T-shirt sendat memandang wajah Iskandar yang masam itu. Dia mendekati Iskandar dan jarinya bermain-main di lengan Iskandar.
“Kenapa ni sayang?” tanya Linda penuh menggoda. Dia tidak mahu Iskandar dalam mood yang tidak elok apabila berkunjung di rumahnya. Ini kerana pasti dia juga yang mendapat tempiasnya kelak. Sebolehnya dia mahu Iskandar sentiasa gembira apabila berada di sampingnya. Bagi Linda, Iskandar itu adalah aset untuknya. Jika dia terlepas Iskandar, itu bermakna hidupnya akan kembali susah. Sebab itulah, dia sanggup menggadai tubuhnya kepada Iskandar asalkan lelaki itu gembira.
“Hati I ni masih panas,” Iskandar tidak memandang wajah Linda.
“Kenapa sayang? Ayuni buat hal lagi yek?” Linda memaut lengan Iskandar.
“Boleh tak you jangan sebut nama betina tu depan I. Berbulu telinga I ni dengar tau tak,” Iskandar melenting.
“Ok. Ok. I minta maaf. Sekarang you bersama I kan? Janganlah macam ni,” pujuk Linda lembut. Dalam keadaan sekarang dia tidak boleh merajuk kerana itulah niatnya apabila ditengking Iskandar tadi. Hatinya tercalar apabila ditengking sebegitu.
“Maafkan I. Tak pasal-pasal you pulak yang kena marah,” Iskandar mengelus-elus pipi gebu milik Linda. Perlahan-lahan pipi itu dibawa ke bibirnya.
“Takpe. I faham keadaan you. Apa kata kita keluar. Ambil angin kat luar. Biar you rasa segar sikit,” Linda memberi cadangan.
“Bagus juga tu,” Iskandar tersenyum sambil menggengam tangan Linda.
“Tunggu sekejap ye. I nak berkemas,” Linda mengangkat punggung untuk berlalu masuk ke biliknya. Iskandar hanya mengangguk sambil memerhatikan lenggok Linda yang telah hilang di sebalik pintu.
Iskandar dan Linda berjalan berpimpinan tangan di kawasan itu. Memang ramai pasangan yang sedang hangat dibuai perasaan datang ke tempat itu. Bagi mereka tempat itu aman dan tenteram. Malah tidak ramai orang awam yang lalu lalang di situ. Begitu juga bagi Iskandar dan Linda. Itu adalah port kegemaran mereka untuk memadu kasih.
“Is, kalau I tanya sesuatu you marah tak?” tanya Linda takut. Dia takut mood Iskandar akan berubah lagi.
“You nak tanya apa?” Iskandar melingkarkan tanggannya di pinggang ramping Linda.
“Kenapa you benci sangat dengan wife you tu?” tanya Linda. Sebenarnya dia takut juga sekiranya Iskandar menengkingnya. Walaupun tidak ramai orang di situ, Linda yakin mereka pasti dapat mendengar tengkingan Iskandar yang bak halilintar itu. Oleh kerana diasak perasaan ingin tahu, dia memberanikan diri bertanya.
“Ada sebab kenapa I kahwin dengan dia,”
“Sebab apa?”
“Tak payahlah you tahu apa sebabnya. Cukuplah you tahu yang I nak balas dendam pada betina itu,” Linda mengeluh hampa apabila tidak mendapat jawapan yang diinginkan tetapi dia tidak akan memaksa Iskandar. Mungkin suatu hari nanti, dia akan mendapat jawapannya.
Di rumah pula, Ayuni sedang menyapu ubat di bibirnya. Peritnya tamparan itu masih terasa. Dia memandang cermin dan melihat bibirnya yang semakin membengkak. Air matanya mengalir lagi tanpa dapat ditahan-tahan.
“Apa salah Ayuni bang? Mengapa tidak ceraikan saja Ayuni. Mengapa mesti seksa hidup Ayuni begini?” Ayuni meletakkan kepalanya di atas meja solek itu. Tersedu-sedu dia menangis sendiri. Ingatannya mengimbau kembali peristiwa 4 tahun yang lalu.
“Ayu nak pergi mana?” tanya ibunya.
“Aku nak keluar. Rimaslah duduk dalam rumah ni,”dengan kasar Ayuni menjawab pertanyaan ibunya. Dia melangkah menuruni tangga satu-persatu diikuti ibunya di belakang.
“Tiap-tiap malam Ayu keluar. Ayu pergi mana nak? Ibu risau,” Puan Intan cuba berdiplomasi dengan anak gadisnya itu.
“Wei orang tua. Aku dah besar. Pandailah aku jaga diri. Kau tu duduk diam-diam kat rumah,” bentak Ayuni. Puan Intan menuruni tangga dan memaut lengan Ayuni.
“Ayu janganlah pergi malam ni ye. Temankan ibu,” rayu Puan Intan. Dia menatap wajah manis Ayuni. Entah di mana silapnya, anak gadis itu berubah. Seorang lagi anaknya iaitu kakak kepada Ayuni telah lama menghilangkan diri. Sebab itulah hanya pada Ayuni dia bergantung harap.
“Kau ni sibuklah,” Ayuni menolak ibunya menyebabkan ibunya yang masih berdiri di tangga terjatuh ke bawah. Kepalanya terhantuk di tiang rumah.
“Allah,” Puan Intan memegang dahinya yang telah dibanjiri darah.
“Itulah engkau. Degil sangat,” tanpa rasa belas Ayuni meninggalkan ibunya yang sedang terkial-kial untuk bangun.
Ayuni memegang bibirnya. Dia menangis lagi.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

wow!!! bestnye...ade lg x sambungn novel nie??