Cinta itu masih ada

Oleh : aulia ibtisam

Langkah Nurbaya terhenti mengejut. Secara tiba-tiba oksigen di luar MPH Mid Valley itu bagaikan tidak cukup untuk disedut. Jantungnya berdegup kencang. Aliran darahnya seakan terhenti. Bukan setakat darah tetapi semua organ dalaman tubuhnya dirasakan seolah-olah berhenti berfungsi. Hingar bingar di pusat beli belah itu seperti tidak kedengaran lagi.
Semuanya kerana sekujur tubuh di depannya. Seraut wajah yang amat dikenali walaupun sudah 10 tahun berlalu. Segalanya masih kemas di ingatan. Wajah yang amat ingin dilupakan kerana mengingatinya bererti dia menggali semula peristiwa itu lama itu.
Peristiwa yang hampir mencatatkan titik hitam dalam hidupnya. Tragedi yang hampir memusnahkan masa depannya. Kisah ngeri yang membuatkan dia menjerit dalam tidur seminggu selepas kejadian itu berlalu. Semuanya masih segar dalam ingatan.
Sebaik semangat diri berjaya dipulihkan, Nurbaya lantas melangkah. Mujurlah tuan punya tubuh yang menjadi punca dia kaku untuk seketika tidak melihat ke arahnya. Sedang bergelak sakan dengan rakannya barangkali.
Kaki diheret pantas ke bilik air. Lama dia termenung di dalam salah satu tandas. Perlahan-lahan nafasnya ditarik. Bau-bauan yang tidak menyenangkan di dalam tandas itu bukan lagi masalah apabila musibah besar berada di depan. Sungguh dia tidak menyangka kelibat Fikri dapat dilihat lagi hari ini.
Rupa-rupanya doa yang dipohon setiap kali selepas solat untuk tidak lagi walaupun berselisih bahu dengan lelaki itu tidak dimakbulkan Allah. Benar Nurbaya tidak mahu lagi bertemu walau sebelah mata dengan lelaki itu.
Rupa-rupanya juga jarak 10 tahun masih belum cukup menguatkan semangatnya ketika terpandang kelibat Fikri tadi.
“Mengapa aku mesti terjumpa dia lagi?” keluhnya sendiri. Dia mengomel kecil memarahi diri yang tega merempuh kesesakan jalan raya selepas hujan mengunjungi Mid Valley semata-mata untuk membeli Seikat Kembang Merah, karya terbaru penulis kegemarannya, Imaen.
Memang dia yang mencari penyakit hari itu. Walhal Adlina, teman serumahnya sudah pun berjanji menemaninya hujung minggu itu ke Mid Valley. Dek ketidaksabaran itulah, dia terserempak dengan Fikri.
Nurbaya mengeluh panjang.
“Menyesal betul aku datang sini hari ni. Padan muka aku. Tak menyempat-nyempat sangat. Ambik habuan jumpa dengan jantan tak guna tu.” Katanya perlahan sambil melangkah keluar daripada bilik air.
Umpama mengambil bahagian dalam acara berjalan kaki, Nurbaya pantas melangkah menuju ke tempat meletak kereta. Pada jam 10 malam, kebanyakan pengunjung Mid Valley sudah pun pulang.
Kereta yang tadinya memenuhi parking, kini semakin surut.
“Baya.” Suara garau yang memanggil namanya membuatkan Nurbaya terus kaku. Tangan yang baru hendak membuka pintu kereta keras di situ. Dia tidak berani berpaling. Nurbaya kenal sangat dengan suara itu walaupun sudah sedekad tidak mendengarnya. Tidak pernah berubah nadanya. Sinis dan menakutkan. Jantungnya yang sudah kembali normal sekali lagi berdegup kencang. Matanya liar memerhati keadaan sekeliling. Suasana agak sunyi dan keretanya yang diletakkan di tempat agak tersorok. Memang menempah penyakit.
“Baya. Dah tak sudi nak tengok muka aku ke?”
“Sa..sa..saya bukan Baya. Encik salah orang. Saya kena balik dulu.” Pantas dia menjawab tanpa berpaling. Pintu kereta terus dibuka tetapi sepantas itu juga Fikri menutup kembali.
“Kau tak pandai menipu Baya. Kau ingat aku tak nampak kau depan MPH tadi.” Nurbaya masih tidak berpaling. Nafas Fikri dirasakan amat dekat. Serta merta peristiwa 10 tahun lalu kembali bermain diingatan.
“Betul encik. Saya bukan Baya. Tolonglah encik. Saya nak balik.” Nurbaya masih cuba merayu. Masih lagi tidak berpaling.
“Kalau kau bukan Baya, agaknya birthmark kat bahu sebelah kanan kau pun tak adalah ye?” Umpan Fikri kali ini mengena. Nurbaya segera berpaling dan…’pang’. Pipi kiri Fikri menerima habuan. Mata Nurbaya sudah berkaca. Cuma menanti masa untuk luruh.
“Apa kau nak setan?” Makinya dengan suara yang bergetar menahan sebak apabila disedari Fikri mahu mengungkit kisah lalu.
“Aku nak kau.” Tegas Fikri menjawab. Sekali lagi pipi kirinya menerima tamparan.
“Tak jemu-jemu lagi kau nak musnahkan hidup aku, ha? Kau jangan ingat aku ni tak ada harga diri. Kau pergi berambuslah Fikri. Jangan harap aku nak terima kau. Aku dah ada orang lain.” Tegas Nurbaya menjawab sambil matanya memandang tepat ke wajah Fikri.
Namun keberanian itu tidak lama. Tindakan Fikri yang semakin mendekatinya membuatkan Nurbaya kecut perut. Dia tersandar pada kereta dan kedua-dua tangan Fikri berada di kiri dan kanannya. Tiada cara untuk dia melarikan diri.
“Kau jangan harap dapat larikan diri daripada aku. Aku dah sentuh kau. Aku tak akan benarkan lelaki lain sentuh kau.” Fikri bersuara tegas. Dia tiba-tiba menggeselkan hidungnya pada hidung Nurbaya dan tanpa disedari aksi itu sudah terakam dalam telefon bimbit lelaki itu.
“Hujung bulan ini aku akan hantar pinangan. Kalau kau berani menolak, gambar ni akan sampai ke tangan mak, ayah kau. Kawan-kawan kau. Apa agaknya reaksi ayah kau bila dapat gambar ni? Aku juga akan hebahkan apa yang terjadi 10 tahun lepas. Bagaimana aku tahu kat bahu kanan kau ada birthmark. Apa agaknya pandangan orang kampung? Anak dara Dr Haji Zainudin main laga hidung dengan lelaki bukan muhrim? Sekarang kau boleh balik tapi ingat apa akan jadi kau berani tolak pinangan aku, Baya.” Selesai melontarkan ugutan itu, Fikri menarik tangannya dan Nurbaya pantas masuk ke dalam kereta dan memecut laju. Airmatanya bagaikan tidak mahu berhenti. Buat kali kedua, lelaki itu muncul membawa bersama penderitaan untuknya.
Senyuman sinis yang sengaja dilemparkan kepada Nurbaya lenyap bersama deruman enjin kereta gadis yang semakin menjauh. Fikri mengeluh lemah.
“Maafkan aku Baya. Cukuplah sekali aku hilang kau. I’m not going to lose you again. Maafkan aku kerana terpaksa guna cara kotor untuk dapatkan kau. Aku dah tak ada cara lain.” Dia berkata sendiri sambil melangkah menuju ke arah keretanya.
Sesungguhnya Fikri sendiri seolah-olah lupa bernafas sebaik ternampak kelibat Nurbaya memasuki MPH. Sengaja dia mengikut gadis itu tanpa disedari untuk memastikan dia memang Nurbaya yang dirindui sejak sekian lama.
“Aku rindukan kau Baya.” Perlahan dia meluahkan kerinduan itu kepada gambar Nurbaya yang tersenyum riang memakai pakaian seragam sekolah. Gambar yang menjadi peneman sejak dia kehilangan gadis itu 10 tahun lalu. Sejak dia menjadi dajal memporak perandakan hidup Nurbaya.

************************************************************************************************************************
Sesampai di rumah, Nurbaya terus ke biliknya. Sapaan Adlina tidak dihiraukan. Dia menghempaskan diri di atas katil dengan air mata yang setia menemani sejak pertemuan dengan Fikri.
“Mak, tolong Baya mak. Baya tak mahu dia. Baya tak nak dia, mak.” Nurbaya merintih sendirian. Tanpa diminta peristiwa ketika dia masih bergelar Si Manis 17 bermain-main diingatan.
Sebagai ketua penolong pengawas, hubungan Nurbaya Zainudin dengan Fikri Ismail yang seringkali melanggar peraturan sekolah tidak pernah aman. Bukan sekali dua dia menangkap Fikri menghisap rokok, menconteng dinding, merosakkan harta benda sekolah dan menceroboh makmal.
Yang menghairankan ialah mengapa Fikri yang menjadi sasaran kemarahannya. Tidak pula Muhaimin, Iskandar dan Hadi yang turut sekepala dengannya melanggar peraturan sekolah.
Dia mahu menafikan tetapi terpaksa akur kepada kehendak hati. Nurbaya terpaksa mengaku, Fikri satu-satunya lelaki yang berjaya menggetarkan hati remajanya. Malah pada usia belasan tahun itu, dia memasang angan-angan untuk hidup bahagia dengan Fikri. Mengapa dia beria-ia melaporkan setiap kesalahan Fikri ialah kerana dia tidak mahu lelaki itu terus hanyut.
Nurbaya sendiri tidak tahu mengapa Fikri yang menjadi pilihan. Ketika pelajar perempuan lain begitu menggilai Zikri yang punya segala-galanya; rupa kerana ibunya berdarah Irish, bijak dan kaya, dia pula dalam diam-diam meminati Fikri – yang dianggap Cikgu Malik, guru disiplin mereka, sebagai pelajar paling bermasalah pernah ditemui sejak menjadi pendidik.
“Aku hairan betul dengan kau. Zikri dengan cikgu Fuad tu punyala minatkan kau, si Fikri juga yang kau suka. Dengan rambut kerinting afro tu, kulit ala kopi o pekat. Kurus kering pulak tu. Ok, aku mengakulah dia sweet. Boleh cair kalau dia senyum tapi macam mana pun, aku rasa kalau letak sebelah Zikri atau cikgu Fuad, confirm dia kalah. Kalah teruk tu.” Ujar Adlina, sahabat karibnya ketika dia meluahkan perasaan satu ketika dulu.
Nurbaya hanya mampu tersenyum dengan omelan Adlina.
“Kalau kau hairan, aku tuan punya diri lagilah hairan. Cuma aku rasa he has something that attracted people to him especially me. Apa tarikan itu? Aku tak ada jawapan untuk itu.” Dia masih ingat jawapan yang diberi kepada Adlina.
Wajah jengkel yang dipamerkan setiap kali berselisih dengan Fikri cuma luaran sedangkan hatinya tidak tentu arah setiap kali Fikri mengenyit mata mempermainkan dia. Bencinya tidak pernah sampai di hati sehinggalah hari itu. Hari yang hampir meragut kesucian sekaligus hampir meragut kewarasannya.
Mengekori Fikri ke makmal usang di hujung padang bola sepak ketika latihan sukan rancak diadakan rupa-rupanya mengundang petaka yang menghantui hidupnya sehingga kini. Dia tahu Fikri menuju ke situ untuk merokok dan tujuannya cuma ingin menasihat supaya jejaka yang diminati dalam diam itu tidak meneruskan tabiat buruknya.
“Fik.” Fikri yang asyik menghisap rokok hampir melompat kerana terkejut.
“Kau nak apa lagi, Baya?”
“Berhentilah merokok Fikri. Tak ada faedah pun. Merosakkan lagi adalah.” Lembut Nurbaya menuturkan kata. Fikri tersenyum sinis. Langsung tidak mengendahkan nasihat penolong ketua pengawas yang banyak mengundang kemarahannya. Sebaliknya asap rokok dihembus ke arah Nurbaya yang berdiri di depan.
“Kalau aku sakit pun, bukan aku susahkan kau. Yang kau susah hati sangat ni apasal?”
Sebab aku sayangkan kau Fikri, jawabnya di dalam hati.
“Kau kawan aku. Aku tak suka tengok kawan aku terus hanyut macam ni. Tahun ni kita SPM. Kau bijak Fikri tapi sayang kalau kau tak seimbangkan kepandaian kau tu dengan kelakuan baik.”
Sebatang rokok sudah habis. Diambil sebatang lagi. Fikri berdiri berdepan dengan Nurbaya sambil mengepit rokok dengan jarinya. Memerhati sungguh-sungguh gadis di depannya. Cantik, desis hatinya.
Daripada apa yang didengar, gadis didepannya ini diminati Zikri, tetapi Nurbaya tidak pernah melayan anak hartawan itu lebih daripada seorang kawan. Cikgu Fuad, guru muda yang menjadi perhatian ramai pelajar perempuan di sekolah itu juga dengarnya cuba memancing Nurbaya. Setakat yang diketahui, ketampanan cikgu Fuad belum cukup untuk mengetuk hati gadis itu.
Dengar-dengan juga, Nurbaya pernah dirisik oleh keluarga rakan ayahnya untuk ditunangkan dulu dengan anak lelaki mereka yang sedang menuntut di luar negara tetapi ditolak mentah-mentah.
“Aku hairanlah Baya. Mengapa kau ambil berat sangat pasal aku? Dengan Imin, Iskandar dan Hadi tak pula kau macam ni. Atau kau sebenarnya sayangkan aku?” Berubah wajah Nurbaya mendengar kata-kata Fikri yang tepat mengena batang hidungnya. Dia terdiam. Tidak tahu bagaimana hendak memberi reaksi.
“Kau tak jawab. Jadi, betullah kau sayang aku.” Fikri sudah mempamerkan senyum sinis dan melangkah setapak ke depan. Melihat itu, Nurbaya pula melangkah setapak ke belakang. Dia sudah panik.
“Apa kata kau buktikan sayang kau tu? Bukan ada orang kat sini.” Fikri semakin mendekati Nurbaya dan sebelum sempat gadis itu melarikan diri, lengannnya sudah disambar Fikri.
Fikri menolaknya rapat ke dinding. Rambutnya yang diikat ekor kuda dileraikan lelaki itu. Wajah pucat Nurbaya direnung lama.
“Jangan buat aku macam ni Fikri. Tolong lepaskan aku. Tolonglah.” Dengan tangisan Nurbaya merayu tetapi Fikri seperti sudah dirasuk iblis. Hidungnya dibenam pada leher dan pipi Nurbaya dengan sebelah tangannya kemas memeluk pinggang Nurbaya dan menarik gadis itu rapat kepadanya.
Esakan dan rayuan Nurbaya sudah tidak dipedulikan. Jeritan Nurbaya dihalang dengan sebelah lagi tangan yang kuat menutup mulut gadis itu. Fikri yang sudah hilang kewarasan itu merentap baju yang dipakai Nurbaya, mendedahkan bahu kanan gadis itu.
Tetapi kegilaannya terhenti sebaik terdengar azan berkumandang dari masjid berhampiran. Fikri yang seolah-olah baru tersedar segera melepaskan Nurbaya. Gadis itu melorot terduduk sambil menangis. Sebelah tangannya mengambil cebisan baju yang terkoyak untuk menutup bahunya.
“Aku minta maaf Baya. Aku betul-betul tak sengaja. Aku minta maaf Baya.”
Dia menghantukkan kepala berulang kali ke dinding.
“Apa aku dah buat ni? Apa aku dah buat? Ya Allah, apa aku dah buat?” Fikri berterusan memarahi diri sendiri. Melihat Nurbaya masih lagi berteleku menangis, Fikri cuba memujuk.
“Baya aku minta maaf. Bukan niat aku…”
“Kau memang iblis. Kau jangan sentuh aku. Kau memang tak guna. Aku sumpah kau tak akan hidup senang Fikri.” Selesai berkata-kata dia meluru keluar.
Dan itulah kali terakhir Fikri melihat Nurbaya. Niatnya memohon kemaafan pada keesokan harinya tidak kesampaian apabila Nurbaya tidak hadir. Khabar yang diterima kemudian Nurbaya sudah berpindah sekolah.
Seiring dengan kehilangan Nurbaya, muncul Fikri yang baru. Fikri yang berubah 360 darjah. Satu sekolah berbisik mengenai perubahan Fikri. Perlahan-lahan dia muncul menjadi saingan Zikri menarik hati gadis tetapi maaf, hatinya sudah dibawa lari Nurbaya entah ke mana. Dia tidak punya hati lagi untuk diberi kepada mana-mana wanita hatta yang meminta hatinya itu bergelar Miss Universe.
“Baya, kau okey?” Suara Adlina yang sudah berada dalam biliknya menyentap lamunan.
“Aku jumpa dia Lin.” Ringkas dia menjawab. Sisa airmata dilap kering.
“Siapa?” Pertanyaan Adlina dijawab dengan renungan tajam.
“Fikri?” Nurbaya mengangguk perlahan.
“Bila? Di mana kau jumpa dia?” Airmata tumpah lagi ketika menceritakan apa yang berlaku.
“Aku benci dia Lin. Aku benci dia.”
“Tapi kau nak terima lamaran dia?”
“Aku tak ada pilihan Lin. Aku tak mahu emak, ayah aku tahu kisah tu.”
Adlina meraih Nurbaya ke dalam pelukan. Hubungan baik sejak remaja dibawa bersama apabila menginjak ke usia dewasa. Nurbaya menceritakan semua yang berlaku kepada Adlina ketika gadis itu mengunjungi dia yang berpindah tinggal bersama datuk dan neneknya selepas kejadian itu.
Nyata Adlina sahabat yang boleh dipercayai kerana sehingga kini rahsia itu kemas dalam simpanannya. Tidak bocor walaupun sedikit.
Sementara Fikri terus gelisah mengadap kepekatan malam dari balkoni tingkat tujuh kondo yang disewa.
“Kau ni kenapa Fik? Dari tadi aku tengok macam ayam nak bertelur. Gelisah semacam. Nak kata kau datang bulan, dah sah sah kau tu spesis aku.” Muhaimin yang turut menyewa di situ bersuara.
Gurauan Muhaimin tidak bersambut. Keluhan kecil dilepaskan.
“Aku jumpa dia Imin.”
“Baya?”
” Mana kau tahu?”
“Aku kenal kau sejak kecil Fik. Satu-satunya manusia yang boleh buat kau tak tentu arah cuma Baya.”
Fikri menarik senyuman segaris. Rakan karib yang sama-sama berkubang dalam sawah ketika kecil itu amat memahaminya.
“So, apa cerita?”
“Kena penampar. Dua kali.” Muhaimin ketawa besar.
“Gelaklah. Gelak.”
“Taiko kena penampar dengan perempuan. Macam mana aku tak gelak.” Muhaimin mempertahankan diri dengan ketawa yang masih bersisa.
“Kau ni bab gelakkan orang tak ada yang boleh lawan.”
“Kat mana kau jumpa bidadari kau tu?”
“Kat Mid Valley. Aku macam nak putus nyawa ternampak dia masuk MPH. Dia tak berubah Imin. Cantik macam dulu.”
“Habis macam pula kau kena penampar?” Muhaimin masih ingin tahu.
“Aku ikut dia ke parking. Mulanya dia tak mengaku dia tu Nurbaya. Then I said something pasal kes dulu. Itu yang kena penampar.”
“Tak tercabar kena penampar dengan perempuan yang kau gilakan selama ni?”
“Dah memang aku layak kena penampar. Kalau tercabar pun takkan aku nak balas balik. Buah hati aku tu. Apa pun aku nak pinang dia hujung bulan ni. Kalau dia terima, mudah-mudahan tenang hidup aku lepas ni. Kalau tak, ada banyak kau kena tolong aku. Apa yang kau kena tolong, aku cerita kemudian.”
“Sayang betul kau dengan Baya tu. Bukan sekejap kau tunggu dia.” Suara Muhaimin memecah kesunyian.
“Cinta pertama Imin. Sebab tu kat sekolah dulu aku selalu cari pasal dengan dia. Suka je aku tengok dia marahkan aku, bebelkan aku. ”
“Menjadi rupanya sumpahan Nurbaya tu. Tak tenang betul aku tengok hidup kau 10 tahun ni. Mudah-mudahan ada jodoh kau dengan dia. Takla aku jadi mangsa mak kau suruh cari calon isteri kau, Fik. Letih aku. Untuk diri sendiri pun tak jumpa lagi.” Fikri tergelak mendengar rungutan Muhaimin.

Bilik pengantin yang dihias cantik sedikit pun tidak dapat merawat hati yang membara. Jika perempuan lain mengalirkan airmata kegembiraan tatkala sang arjuna hati melafazkan akad nikah, Nurbaya pula menangis mengenangkan penderitaan yang bakal ditempuh menjadi isteri kepada Fikri – lelaki yang amat dibenci sesungguh hati.
Sengaja dia tidak ikut menyertai rombongan pengantin lelaki di masjid. Nurbaya benar-benar tidak ingin mendengar lafaz yang mengikat dia dengan Fikri. Dia berkeras ingin menunggu dalam bilik.
Sepanjang hari itu, cuma senyuman plastik dipamerkan. Diikut hati ingin saja dia menyiram Fikri dengan kari yang panas menggelegak setiap kali lelaki itu memeluk pinggangnya untuk bergambar. Banyak kali juga dia menolak untuk menggayakan aksi romantik tetapi melihat wajah emak dan ayahnya yang gembira, dia beralah.
Pintu bilik pengantin ditolak perlahan. Nurbaya terus terpaku di atas kerusi mengadap cermin solek. Tudung masih kemas di kepala.
“Assalamualaikum.” Salam Fikri dijawab dalam hati. Nurbaya langsung tidak menghiraukan Fikri yang berdiri di sebelah. Tak ingin dia memandang wajah itu.
“Baya.” Nurbaya sedikit kaget melihat Fikri melutut di depannya. Tangannya digenggam erat. Bersusah payah Nurbaya cuma melepaskan tangannya tetapi sia-sia. Genggaman Fikri terlalu kuat untuk tenaga wanitanya.
“Saya minta maaf atas apa yang berlaku dulu. I’m so sorry, Baya. Saya tahu salah saya terlalu besar tapi dengan rendah hati, saya minta maaf. Marahlah saya, makilah saya, pukullah saya malah kalau awak nak bunuh saya sekalipun, saya reda. Cuma maafkan saya.” Fikri berkata perlahan. Dia mendongak melihat Baya yang sedikit pun tidak memandangnya dengan mata berkaca.
“Baya.” Tiada reaksi. Tangan Nurbaya yang masih dalam genggaman dibawa ke bibir. Nurbaya menjeling benci.
“Kau guna taktik kotor kahwin dengan aku, tak pula kau ingin nak minta maaf.” Sindirnya pedas. Masih cuba melepaskan genggaman Fikri.
“Cuba guna bahasa lembut sikit, sayang. Kita kan dah kahwin. Kalau ya pun bencikan saya, ganti nama saya- awak tu rasanya lagi sedap.” Berdesing telinga Nurbaya mendengar kata sayang dari mulut Fikri.
Ada peluang nak pujuk dia. Walaupun nada perli, sekurang-kurangnya dia nak cakap dengan aku, hati Fikri bersorak riang.
“Kenapa pula nak minta maaf? Taktik kotor apanya. Kan ikut adat. Datang meminang, bagi hantaran, mas kahwin segala.”
“Kau lupa kau ugut aku dengan gambar tu? Dengan perangai iblis kau 10 tahun lalu?” Nurbaya masih bersuara keras.
“Oh pasal tu. Siapa suruh percaya? Saya kahwin dengan awak sebab saya sayang awak. Saya cintakan awak. Sejujurnya saya tak yakin awak akan terima lamaran saya. Saya siap minta tolong Imin uruskan jualan rumah dan kereta saya sebab saya nak migrate ke Australia kalau awak tak terima. Cuma dah memang jodoh kita.
“Gambar tu saya dah delete pun lepas awak balik malam tu. Saya sayang awak, Baya. Bukan sehari dua. Dah 10 tahun Baya. Perasaan saya pada awak tak pernah berubah. Takkanlah saya tergamak nak buat macam tu pada perempuan yang saya sayang.” Mendengar penjelasan selamba Fikri, Nurbaya bangun.
Tajam matanya merenung Fikri. Airmatanya mengalir perlahan.
“Besar mana dosa saya sampai awak sanggup buat saya macam ni, Fikri? Apa salah saya? Dendam apa awak pada saya. Fikri? Mengapa buat saya macam ni?”
Fikri cuba mengelap air mata yang laju mengalir tetapi ditepis keras Nurbaya.
“Saya sayangkan awak Baya. Cukuplah 10 tahun ni saya macam zombie. Saya tak mahu kehilangan awak lagi. Saya cintakan awak.”
“Jangan cakap soal sayang, soal cinta kalau awak tak tahu maknanya. Cinta maknanya sanggup buat apa saja asal orang yang dicintai gembira, bahagia.
Apa yang awak buat ni cukup menyeksa saya. Saya tak gembira dengan semua ni. Fikri.” Tangan yang masih di dalam genggaman Fikri ditarik kasar. Langkah dituju ke arah katil.
Tubuh yang dirasakan semakin lemah dengan segala macam masalah hati yang tidak pernah surut diletakkan perlahan di atas katil. Airmata masih setia mengalir.
Nurbaya tersentak apabila terasa tangan Fikri memeluk kemas pinggangnya dari belakang. Puas dia cuba meleraikan rangkulan itu tetapi gagal.
“Beri peluang saya bahagiakan awak.” Perlahan suara itu menampar pendengarannya tetapi airmata Nurbaya masih enggan berhenti mengalir.

Sepuluh bulan bergelar suami isteri, Nurbaya masih belajar menerima Fikri. Mereka pun sudah berpindah ke rumah yang dibeli Fikri di Shah Alam. Awal-awal lagi Fikri sudah memberi amaran dia tidak akan berjaya mengelakkan diri daripada tidur sebilik.

2 comments:

Syafi Najihah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
are_niz berkata...

ade lg x sambungn??? mmg best giler laa...sy hrp tlg laatulis kat internet nie...lau buat buku,,sy rs blom tentu sy bli..