Cerita Cinta

Oleh : Mama Waldan

Jam sudah menunjukkan ke angka satu pagi. Suamiku masih belum pulang. Ke manakah perginya ? Hatiku tertanya-tanya. Selalunya, selepas solat Isyak di surau yang berhampiran, dia akan terus pulang ke rumah. Panjang benarkah rajuknya? Suamiku merajuk. Ya, aku tahu. Suamiku merajuk denganku hanya kerana dia terbaca sekeping nota tulisanku.
Abang, maafkanlah Lynda. Lyn tidak berniat untuk menyinggung hati abang. Lyn menyayangi abang. Lyn mengasihi abang. Setelah Lyn lafazkan cinta buat abang, hanya abang yang tersemat di hati Lyn.
Aku hanya mampu merintih sendirian. Perut yang kosong sedari tadi bagaikan memulas-mulas meminta diisi. Kuusap perutku yang semakin membesar. Benih cinta kami berdua sedang mekar di dalam sana.
“Diam sayang, diam. Ayah belum pulang. Mama pun lapar juga tapi ayah belum pulang. Kita tunggu ayah pulang, ya sayang. Kita makan bersama-sama ayah,” Aku mengusap perutku perlahan-lahan sambil berbicara dengan bayi yang masih di dalam kandunganku.
Mataku masih belum dapat dilelapkan. Selama lebih tujuh bulan bergelar suami isteri, suamiku tidak pernah berkelakuan seperti ini. Dia seorang suami yang pengasih dan penyayang. Akulah insan yang paling bertuah kerana berjaya menawan hatinya sehingga dia sudi memimpin tanganku menuju ke mahligai bahagia.
“Abang, pulanglah. Lyn lapar, bang. Baby kita pun lapar, bang,” Tanpa disedari, air mataku berlinangan membasahi pipi ini. “Baby jangan nangis, ya. Sebentar lagi ayah pulang,” Aku sekadar memujuk hatiku sendiri.
Sebentar kemudian, terdengar deruan enjin motosikal memasuki halaman rumah.
“Ayah pulang, sayang. Mari kita tidur,” Aku menunggu sehingga suamiku masuk ke dalam rumah. Sebaik sahaja pintu bilik terkuak, aku segera memejamkan mata, berpura-pura sedang nyenyak tidur.
Agak lama juga suamiku berdiri di muka pintu itu dan kedengaran derap langkahnya semakin menghampiriku. Dadaku berdebar-debar. Seketika kemudian, terasa desahan nafasnya di wajahku. Suamiku mengucup dahiku penuh syahdu. Selepas itu, dia menarik selimut yang melorot di hujung kakiku dan menyelimuti tubuh ini.
“Sayang, ayah tak marah mama. Ayah cium mama, sayang,” Hatiku berbisik bagaikan si kecil di dalam kandungan bisa mendengarnya. Serasakan cair salju yang membeku di dalam tubuhku ini. Tapi, seketika kemudian suamiku berlalu pergi.
Aku membukakan mataku memandang hayunan langkahnya. Masih marah lagikah dia? Suamiku bergerak ke luar bilik. Agak lama aku menunggunya dan air mataku kembali membasahi pipi. Mungkinkah dia cuba melarikan diri daripadaku? Aku memusingkan badanku, menghadap dinding di sisiku.
Sentuhan di bahuku, mengejutkanku yang sedang berkira-kira tentang malangnya nasib diri ini. Aku segera menoleh ke belakang. Terpandang suamiku yang sedang memegang gelas di tangan kirinya.
Sekali lagi aku kebanjiran air mata. Aku menangis semahu-mahuku. Selepas meletakkan gelas di atas meja sisi, suamiku memelukku, erat. Aku terus menghamburkan esak tangisku tanpa dapat ditahan-tahankan lagi.
“Lyn, kenapa menangis ni ?
“Abang, maafkan Lyn. Lyn tahu, Lyn berdosa, Lyn bersalah. Lyn janji, lain kali Lyn tak akan buat lagi. Maafkan Lyn, bang.”
“Sudah, Lyn. Jangan menangis lagi. Tak baik menangis malam-malam ni. Baby dengar tak elok. Shh..shhh…jangan menangis, sayang.” Suamiku terus memujukku yang menangis bagaikan anak kecil dimarahi ibu sambil menggosok-gosok belakangku.
Tangisanku semakin mereda. Setelah pulih sepenuhnya, suamiku menghulurkan gelas yang dibawanya tadi. Segelas susu bertukar tangan. Hatiku tambah terharu kerana suamiku ini tidak lupa menyediakan susu buatku seperti kelazimannya setiap malam.
“Lyn, nak makan nasi ? Nanti abang sediakan.”
“Sayang, ayah ajak kita makan nasi.”Aku mengangguk-anggukkan kepalaku sambil menuruni katil mengikut suamiku menuju ke dapur. Di atas meja kulihat ada beberapa jenis lauk-pauk….
“Tadi, selepas solat Isyak, abang dijemput ke majlis tahlil. Tak sempat nak bagitahu Lyn. Ada tuan rumah bekalkan lauk untuk Lyn. Abang pulang lewat sebab berbual-bual dengan anak Pak Hamid yang pulang bercuti.”
Panjang lebar penjelasan suamiku yang membuatkan aku termenung panjang. Silap tekaanku rupanya. Suamiku tidak merajuk. Aku yang tersalah sangka. Itulah, kalau dah buat salah, orang tak tahupun awak yang terasa sendiri.
Awal pagi aku terjaga. Kuraba di sisi, suamiku telah bangun terlebih dahulu. Itulah kebiasaannya semenjak di awal perkahwinan kami lagi. Aku kembali memejamkan mata.
“Sayang, bangun. Dah pukul enam setengah ni.” Dan seperti kebiasaannya juga, suamiku akan mengejutkan aku bangun selepas dia menjerang air panas, membancuh minuman untuk sarapan pagi dan menyediakan air panas untukku mandi.
Bukan aku yang memaksa tetapi memang suamiku melakukan semua itu atas kehendaknya sendiri. Dia sering memanjakanku lebih-lebih lagi setelah aku berbadan dua kini.
Selesai solat subuh berjemaah, kami bersarapan ala kadar dan bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Aktiviti hari ini berjalan lancar sehinggalah kami bertemu semula di rumah untuk minum petang.
Kali ini aku mengambil peluang ini untuk meluahkan segala-galanya kepada suamiku. Aku tidak mahu menghiris perasaannya berlarut-larutan sehinggakan aku sendiri jadi tidak keruan. Kebaikan yang ditunjukkannya menjadikan aku rasa lebih berdosa.
Kuhulurkan coretan yang mungkin telah dibacanya sebagai pembuka bicara. Dia menyambut huluranku sambil pandangan mata beningnya tepat ke dalam mataku. Aku tunduk bagaikan pesalah di depannya.
“Lyn, abang tidak tahu apakah maksud Lyn mencoretkan kata-kata ini dan untuk siapa ianya dicoretkan. Cuma satu pinta abang, yang lalu biarkanlah berlalu. Jangan dikenangi lagi. Abang tidak pernah mempersoalkan siapa Lyn sebelum ini dan abang terima Lyn seadanya sebagai insan yang abang cintai.”
Suamiku menarik nafas panjang sebelum meneruskan kata-katanya, ” Abang harap Lyn dapat melupakan dia yang pernah hadir sebelum abang. Sekarang, abang adalah suami Lyn yang sah. Kasihi dan cintailah abang dengan setulusnya.”
Aku bagaikan kehilangan kata-kata. Ah, terlalu jauh sangkaan suamiku itu.
“Abang, maafkanlah Lyn. Janganlah abang menaruh sebarang prasangka buruk terhadap hati dan perasaan Lyn. Demi Allah, Lyn mengasihi abang dengan setulus hati Lyn. Tiada ruang untuk lelaki lain di hati ini.”
“Coretan yang Lyn tuliskan ini hanyalah sebahagian daripada kata-kata yang akan Lyn selitkan di dalam novel terbaru yang sedang Lyn siapkan. Abang tahu, Lyn suka menulis, kan?”
Memang aku suka menulis. Dan ilham untuk mengeluarkan kata-kata selalunya datang tanpa mengira tempat. Terkadang, sedang menanda buku latihan murid-murid, ilham itu datang bertamu. Sekiranya ini terjadi, aku pasti akan mencapai kertas catatan yang sentiasa kubawa bersama untuk mencoretkannya.
Kini, sepuluh tahun telah berlalu. Kami juga telah dianugerahi dengan tiga orang cahaya mata. Tiada lagi cemburu di hati suamiku apabila membaca sebarang coretan yang kutuliskan malahan dialah yang menjadi pengkritikku yang paling hebat.
Selain daripada kerjaya tetapnya membancuh susu untukku setiap malam sebelum tidur, dia juga turut menyunting hasil tulisanku. Kadang-kadang, dia turut menyumbangkan kata-kata puitis di dalam tulisanku.
Pernah aku diajukan soalan oleh seorang pembaca, “Suami tak marahkah tulis cerita macam ni? Kalau suami saya dah tentu kena sembelih ni.”….. kerana cerita-ceritaku selalunya menggunakan ‘aku’ sebagai watak utama dan ianya seolah-olah benar-benar berlaku ke atas diriku.
Ah, itukan cuma cerita. Kalau cerita benar, itu hanyalah secara kebetulan sahaja. Tidak ada kena mengena dengan sesiapapun, sama ada yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Peace….

0 comments: