Story of The First & Chocolate

Oleh : Izza Hasiqah

Armand melarikan sepasang anak matanya ke arah persekitarannya. Terdapat lebih kurang tiga buah keluarga yang sedang berkelah di taman tersebut. Beberapa orang anak-anak kecil sedang berkejar-kejaran, ada yang sedang bermain layang-layang, dan ada juga yang berlatih memanjat pokok.
Sepasang anak mata Armand kembali menatap sesusuk tubuh yang sedari tadi hanya mendiamkan diri di hadapannya itu. Kadangkala, tubuh itu kelihatan seperti bergegar, bahunya seakan-akan terhinjut-hinjut, namun hampir setiap masa tubuh itu kaku seperti patung. Dalam diam, Armand cuba untuk mengumpul kekuatan agar dia berani untuk mendekati tuan milik tubuh itu.
Armand cuba berfikir kembali, apakah sebab yang telah membuatkan dirinya datang ke taman yang indah ini? Apa alasan yang dia ada untuk mengikuti gadis itu hampir sejam yang lalu? Juga, satu soalan yang membuatkan Armand keliru dengan dirinya sendiri, siapakah gadis itu padanya, dan siapakah dirinya pada gadis itu? Armand buntu. Dia tidak tahu jawapan apa yang harus diberikan untuk soalan-soalan maut itu. Yang dia tahu, dia hanya mengikut gerak hati dan langkah kakinya sendiri.
***
Liza hanya mendiamkan diri memerhatikan pelbagai ragam manusia di hadapannya itu. Acap kali apabila dia ditimpa masalah, pasti dia akan meluangkan berjam-jam masanya di taman ini. Dia suka berada di sini untuk menenangkan fikirannya sambil mempelajari erti sebuah keluarga yang bahagia dari gelagat orang-orang yang sering diperhatikannya.
Mata Liza tertancap pada sebuah keluarga yang tidak jauh dari tempat duduknya itu. Si datuk sedang melambung-lambung cucunya ke udara sambil si bayi itu ketawa menunjukkan rasa gembiranya. Si ayah dan anak lelaki bekerjasama membakar ketul-ketul ayam di atas tempat memanggang. Si ibu sedang menyusun hidangan yang dibawa ke atas meja tempat mereka berkelah manakala kanak-kanak pula sedang bermain-main sekeliling taman itu. Perasaan gembira dan bahagia seakan jelas terpancar di setiap wajah itu.
“Macam ni kot rasanya keluarga bahagia. Kenapa aku tak dapat nak rasa perasaan macam tu? Kenapa aku tak dapat nak alami apa yang diorang alami?” Hati Liza bermonolog sendirian.
Setiap kali Liza cuba membandingkan antara model keluarga bahagia di hadapan matanya itu dengan keluarganya sendiri, dia menjadi sebak. Hatinya terasa pilu yang teramat. Tanpa disedari, air matanya menitis ke pipi. Sesaat kemudian dia sudah teresak-esak sendirian di situ. Liza tidak sedar bahawa dirinya sedang diperhatikan dari jauh. Dia teringat perbualannya di telefon sebentar tadi. Perbualan yang telah menyeret kaki nya ke taman ini.
***
Would you tell me I was wrong?
Would you help me understand?
Are you looking down upon me?
Are you proud of who I am?
There’s nothing I wouldn’t do
To have just one more chance
To look into your eyes and see you looking back

Lagu ‘Hurt’ oleh penyanyi Christina Aguilera berkumandang dari speaker telefon nya. “Omak ai! Apo kono eh jang?” Liza melatah sebelum megurut dadanya. Dia mengambil nafas panjang dan melepaskannya secara perlahan-lahan. Telefon bimbit yang berada di sisinya dicapai lalu matanya membaca nombor-nombor yang tertera di skrin itu.
+471198XXXX

0 comments: