Cintaku di facebook

Oleh : ana sofiya
1
Aisyah bagaikan tidak percaya melihat imbasan wajahnya di cermin hias. Gadis di dalam cermin itu amat bergaya mengenakan baju blaus lengan panjang warna ungu muda dipadankan dengan skirt labuh warna sedondon. Wajahnya disolek, walaupun tipis sahaja namun menyerlahkan keayuan yang selama ini tersembunyi. Bibir yang dihiasi warna plum kelihatan penuh dan menggoda. Alis mata yang sedia lebat terlukis indah dan kemas.
“Hmm, kau memang cantik, Syah. Aku gerenti, Alif mesti jatuh cinta pada kau malam ni. Kalau tidak? Memang otak dia otak perempuan.”
Aisyah merenung wajah Hamimah dalam-dalam. Wajahnya serius sekali.
“Yang kau tengok aku macam nak telan tu, kenapa?” tanya Hamimah kepada Aisyah.
Mereka teman serumah. Mereka teman setempat kerja. Mereka berdua pekerja kilang Caely Girl di Teluk Intan ini. Sejak tamat belajar dan menduduki SPM 3 tahun dulu, di sinilah mereka menyara hidup, juga berusaha membantu ayah dan ibu masing-masing.
Malam ini, Aisyah ada misi yang perlu dilakukan. Dia ada temu janji. Eh, sebenarnya bukan dia yang bertemujanji, tapi Hamimah. Kisahnya begini….
Hamimah berkenalan dengan Alif melalui laman mukabuku. Di awal perkenalan 3 bulan lalu, mereka cuba menyelami isi hati masing-masing. Alif memberitahu Hamimah bahawa dia berumur 29 tahun, masih bujang, orangnya biasa-biasa aje dan bekerja sebagai budak ‘dispatch’. Katanya, dia amat suka dengan Hamimah. Dia pernah meminta gambar dan setelah melihat gambar itu, dia ingin bertemu pula.
Malangnya, sebaik Hamimah tahu siapa sebenarnya si Alif ini, dia jadi tawar hati. Tamolah kahwin dengan budak dispatch, bisik hatinya. Lantas, dia sengaja mengenakan Aisyah. Diletaknya gambar Aisyah di mukabuku. Dan, dia yakin, Alif dah tangkap leleh dengan si Aisyah ni sebab tidak lama kemudian, Alif ingin berjumpa dengan Aisyah yang disangkanya Hamimah.
“Mimi, apa aku nak cakap dengan si Alif ni nanti? Aku bukan biasa keluar dating macam gini. Kalau bapak aku tahu, mati aku! Lagi satu, yang kau bubuh gambar aku buat apa? Sekarang, dia ingat aku ni, kau! Kalau dia luah perasaan dia nanti, apa aku nak jawab? Takkanlah aku nak cakap yang aku pun cintakan dia sedangkan aku satu habuk tentang dia pun tak tahu! Hisy…menyesal pulak rasanya ikut cakap kau.” Ujar Aisyah panjang lebar sambil duduk di birai katil. Entah kenapa, dia rasa takut pula. Mahunya tidak! Ni, dia sedang bersubahat dengan Hamimah untuk menipu. Bukankah menipu suatu perbuatan yang tidak baik?
Hamimah segera duduk di sisi Aisyah. Geram melihat wajah yang serba salah itu.
“Kau ni, kan… aku minta tolong sikitpun tak boleh. Kau tahu yang aku terpaksa bubuh gambar kau masa tu…”
“Terpaksa?” Aisyah mengerutkan dahi.
“Iyalah… kalau letak gambar aku, tentu dia lari punya. Syah, aku tak nak kehilangan dia. Sebab tu aku tipu.” Hamimah menjelaskan.
“Tapi, Mimi…hakikatnya sekarang ialah kau memang dah tipu dia. Ni, aku menyamar jadi kau, tau! Buatnya dia ajak aku kahwin karang, macam mana?”
Hamimah tergelak kecil.
“Pandai-pandailah kau nanti, ya!”
Kata-kata yang membuat Aisyah membulatkan sepasang mata.
2
Aisyah mengelap peluh dingin di dahi. Dia masih berdiri tegak di tempat di mana dia turun daripada motosikal Yamaha si Hamimah tadi. Dia belum mampu melangkah. Masih menarik dan menghembuskan nafas untuk menenangkan diri.
“Hisy, kenapalah aku sanggup buat kerja gila ni? Kenapalah aku mesti ikut cakap Mimi? Nanti, bukannya senang nak berlakon jadi orang lain sedangkan mak cakap, kita mesti sentiasa jadi diri kita sendiri. Mak cakap, kita mesti cakap benar, walaupun apa yang kita cakap tu sesuatu yang boleh merosakkan diri. Aduiii…. belum apa-apa aku dah sakit kepala. Bencilah Mimi ni!” mata merenung jarum jam. “Alamak dah lewat 10 minit. Baik aku masuk ke dalam, sekarang.”
Menurut perjanjian mereka, kata Hamimah, Alif akan menunggu dirinya di dalam restoran Seri Bayu ini. Jadi tentu lelaki itu sudahpun sampai, fikir Aisyah sambil sepasang mata memerhati deretan kereta di hadapannya. Alah, dia tu kan mat dispatch aje, mana mampu beli kereta. Tambah-tambah kalau kereta ini…. detik hati yang nakal sambil menggosok-gosok badan kereta Volkswagen Polo berwarna merah di sisinya. Dia mengintai-intai ke dalam kereta itu., mengkagumi keselesaan yang terlihat.
“Entah bilalah nak merasa naik kereta hebat sebegini?” detik hatinya penuh rasa kagum. “Babai…kereta, cakap pada tuan kau, dia bertuah dan mesti jaga kau baik-baik, okey!”
Di hadapan pintu, sepasang mata mencari lelaki bernama Alif yang tidak dikenali. Hati tetap mengutuk kerana dia tahu bahawa lelaki itu pasti camkan dirinya sedangkan dia? Atau Mimi? Bodohlah Mimi, marahnya. Gambar aku dia tunjuk, gambar lelaki tu dia tak mintak, bebal punya sahabat!
“Hai! Cik Hamimah Hamid? Saya, Alif. Alif Fizwan bin Sharifudin.”
Aisyah berpaling mencari suara lelaki yang betul-betul berada di belakangnya. Rambutnya yang panjang itu turut beralun bagaikan iklan syampu Sunsilk.
Tidak berkelip-kelip sepasang mata merenung. Rasa macam bermimpi pula. Nak bersuarapun, tidak boleh dilakukannya. Memang terkejut melihat lelaki ini.
“Saya tak salah orang, kan? Awak ni…. Mimi?”
‘Awak tak salah orang, Alif, tapi saya ni yang dah silap. Tadi, Mimi cakap Alif mestilah datang pakai selipar, baju T yang kumal, dengan seluar jeans yang koyak. Tapi, kenapa pulak semua tu tak betul? Yang awak ‘smart’ sangat, kenapa? Betul ke awak orang biasa aje ni?’ bisik di dalam hati.
Aisyah tidak bersedia bertemu dengan seorang yang begini berlainan daripada andaiannya. Cahaya lampu yang suram tidak mampu menafikan ketampanan wajah yang kini sedang mengukir senyum kepadanya.
“Janganlah terkejut sangat! Nak jumpa awak, saya kenalah kemaskan diri saya ni. Kalau pakai baju T yang dah lusuh atau kalau saya pakai seluar buruk, awak lari pulak nanti, kan?”
Akhirnya, Aisyah tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.
Buat pertama kali dalam hidupnya, Aisyah makan malam bersama seorang lelaki yang langsung tidak dikenali. Namun apa yang pasti, inilah makan malam terindah pernah dialami. Walau baru berkenalan, lelaki bernama Alif Fizwan begitu ramah dengannya.
Aisyah lebih suka berdiam diri dan dia hanya menyampuk bila perlu. Dibiarkan sahaja Alif mengulangi detik ‘perkenalan’ mereka di mukabuku. Tidak berani dia hendak menyampuk, dibimbangi terbongkar rahsia pula.
“Mimi, awak ni pendiamlah pulak. Kalau dekat fb tu, bukan main ramah lagi. Macam-macam celoteh awak.” Usik Alif. Dia menatap sepasang anak mata gadis di hadapannya dalam-dalam. Hatinya sudah lama berkenan. Dan, pertemuan ini semakin meyakinkannya bahawa dia sudah bertemu dengan calon isteri. Cuma, dia tahu bahawa mulai saat ini dia perlu membuat gadis ini menyintainya. Bila tiba masa yang sesuai, dan bila cintanya berbalas, sudah pasti dia akan melamar. Mereka akan berkahwin satu hari nanti! Itu harapannya.
“Saya tak tahu nak cakap apa.” Bisik Aisyah perlahan.
“Mungkin awak tak seronok bersama saya? Maklum ajelah, saya ni kan budak penghantar surat sahaja? Miskin! Comot!”
Aisyah ketawa. Macam-macamlah si Alif ni…..
“Saya pun bukanlah doktor, atau nurse atau cikgu lepasan universiti. Saya cuma pekerja kilang aje.” Aisyah merendah diri. Tiba-tiba dia jadi takut. Takut pada perasaannya sendiri. Bagaimana kalau nanti dia jatuh cinta kepada lelaki ini? Pastinya dia akan berdosa kepada Mimi kerana mengkhianatinya. Oh tidak! Lebih baik berterus terang sekarang, sebelum keadaan menjadi kusut.
Dia cuba mengatur bicara…
“Err… awak! Saya nak cakap sikit tapi saya sangat berharap yang awak tak jerit marahkan saya nanti, ya!” kata Aisyah menatap tajam wajah lelaki di hadapannya.
Alif menyandarkan tubuh di kerusi. Menjungkitkan kening sambil menanti kata-kata yang bakal lahir.
“Nama saya, Aisyah Humaira binti Muhamad. Saya ni kawan Hamimah Hamid. Mimah….ehhh…Mimi, dia letak gambar saya kat mukabuku tu. Saya tak tahu menahu tentangnya sehinggalah semalam, bila dia minta saya datang sini jumpa awak. Mimi suruh saya jadi dia malam ni, tapi saya rasa, saya tak mahulah berlakon. Saya tak pandai. Saya minta maaf, ya.”
Aisyah tidak berani menentang pandangan tajam lelaki itu malah dia takut untuk berada di dalam restoran itu lagi. Bimbang lelaki itu naik hantu lalu mengamuk padanya. Hisy…. takuttt!
Dia berlari keluar dan kebetulan teksi lalu. Dia menahan teksi itu dan pergi tanpa sempat Alif hendak menahannya lagi.
3
Sudah sebulan peristiwa itu berlalu namun renungan sepasang mata itu sentiasa di ingatan. Wajah tampan itu tidak dapat dilupakan. Suara garau itu masih terdengar-dengar. Dia tahu dia sudah gila bayang. Pertemuan pertama dan yang sekali itu sungguh-sungguh memberi kesan kepada dirinya. Dia sudah diserang penyakit angau!
“Tak habis-habis dengan termenung. Duduk sini, menung. Duduk sana, menung! Apa yang kamu dapat dengan buat macam tu?”
Aisyah menggosok-gosok bahu yang baru ditepuk dengan kuat oleh ibunya, Puan Badariah.
“Sakitlah, mak!” marahnya.
“Aik, orang yang tengah angau pun boleh rasa sakit?” Badariah bertanya dalam tawa yang kuat. Kali ini, dia melihat Aisyah menjeling pula. “Hah, jeling! Nanti juling biji mata tu!”
Aisyah menjuihkan bibir mungilnya. Sejak sebulan, ibunya asyik menyindir dia dan memberi gelaran ‘mak sanggup’ kepadanya. Ibunya juga sentiasa mengungkit peristiwa pada malam itu. Iyalah, kan… dari restoran, Aisyah terus balik ke rumah keluarganya di Kg Bahagia. Mahu tidak mahu, dia terpaksalah menceritakan apakah yang telah berlaku sehingga dia terpaksa balik menaiki teksi (melanggar arahan ayahnya yang tidak pernah membenarkan dia menaiki kenderaan awam itu!). Lagipula, ketika dia sampai, jam menunjukkan pukul 10 malam. Ayahnya memang pantang kalau anak-anak balik lewat apalagi kalau anak itu, anak dara. Berasap kepalanya! Semakin bertambah angin satu badan bila mendengar cerita Aisyah. Langsung Aisyah disuruh pindah balik dan duduk di rumah. Yang pasti, bila ayahnya, Muhamad mengamuk, tidak ada kompromilah jawabnya. Hitam tetap hitam takkan boleh menjadi putih!
Aisyah menghampiri Puan Badariah. Duduk di bawah, memeluk lutut ibunya sambil mendongak.
“Mak, sampai bila ayah nak hukum Syah?” tanya dia.
Badariah mengusap rambut anaknya, satu-satunya anak perempuan dalam keluarga. Anak bongsu pula tu. Lurus bendul sifatnya sebab itu mudah sahaja dipermainkan orang.
“Syah nak kerjalah, mak. Bosan tau duduk rumah aje. Mimi cakap, ada…”
“Kamu masih kawan dengan budak Mimi tu, Syah? Dia dah mainkan kamu, jaja gambar kamu di mukabuku tu, kamu masih berbaik dengan dia lagi? Kamu ni memang nak kena cubit!”
Aisyah menjerit-jerit kesakitan bila ketam emaknya menyepit seluruh lengan dan paha. Tapi, sempat juga dia membalas, “Mak! Mak juga cakap, mana boleh orang Islam putuskan silaturrahim! Mimi kan kawan Syah, jadi kawan tetaplah kawan. Takkan nak jadi musuh pulak!”
Badariah menggeleng-gelengkan kepala. Dipiatnya telinga si Aisyah. Geram betul mendengar Aisyah menjawab.
“Kawan yang baik, takkan buat apa yang Mimi buat, Syah.”
“Alah, kenapa pulak? Dia cuma letak gambar Syah aje. Bukannya dia buat yang tak senonoh pada gambar Syah tu!” balas si anak tak puas hati.
“Apapun, dia tak boleh buat begitu! Salah tu! Dia yang hendak bercinta, berpakwe. Gunalah gambar sendiri, buat apa nak guna kamu punya? Dah tu, kenapa pulak dia suruh kamu pergi jumpa dak jantan tu? Bukannya dia kenal budak tu! Syah, nasib baik si …. siapa namanya?”
“Alif!”
“Hah, Alif! Nasib baik si Alif tu tak sempat buat apa-apa pada kamu, Syah. Kalau dia tu orang jahat, kalau dia masukkan dadah dalam minuman kamu, lepas tu dia bawak kamu lari entah ke mana-mana, dia dagangkan tubuh kamu, macam mana tu?”
Aisyah tersentak. Lama wajah ibunya ditatap. Mendengar kata-kata ibunya itu, hati tersentap. Perlahan-lahan kepala diangguk-anggukkan tanda setuju. Ya, dia amat bernasib baik pada malam itu. Dia tidak menurut perasaan sangat! Dia ikut kata akal yang menyuruh dia berterus terang dan balik ke rumah. Nasib baik! Kalau tidak?? Mungkin dia dah mati sekarang kot! Nauzubillah.
“Bukan main berani kamu malam tu, ya? Inilah.. kebanyakan anak dara sekarang terkena, terjerat dengan lelaki sebab diorang bodoh macam kamu nilah! Cakap cinta dalam komputer, terus percaya. Tak fikir panjang lagi dah! Tak fikir tentang bahaya yang menanti. Syah, Syah! Kalau ya pun kamu sayangkan si Mimi tu, janganlah ikut semua yang dia cakap tanpa berfikir. Dia nak kenakan kamu pun kamu tak faham. Adui, bilalah kamu ni nak matang Syah oi!”
Mimi tidak berani datang ke rumah jadi mereka hanya berhubung melalui sms. Kata Mimi, Alif pernah datang ke rumah sewa mereka. Malah, Alif pernah mengajak Mimi keluar bersama-sama. Bukan sekali malah sudah berkali-kali. Nampaknya, mereka memang berjodoh. Mimi memberitahu bahawa dia menyesal menyuruh Aisyah menyamar dulu. Katanya lagi, nasib baik Alif berusaha mencarinya, dapatlah dia melihat lelaki itu dengan mata kepalanya sendiri dan dia tentunya merasa amat bertuah kerana Alif mempunyai ciri-ciri lelaki idamannya.
Aisyah mengeluh. Buang karan aje dia menyamar menjadi Hamimah Hamid dahulu, sudahnya Alif dan Mimi bercinta juga. Mimi, Mimi! Menyusahkan aku betul! Kerana kau, Mi, aku dah kena kuarantin dengan ayah. Langsung tak boleh keluar. Hmm….
4
Kedatangan Alif Fizwan ke rumahnya pada hujung minggu itu benar-benar mengejutkan Aisyah. Terkebil-kebil biji mata melihat Alif melangkah keluar daripada sebuah kereta berwarna merah yang cantik. Bila melihat dirinya, Alif terus menguntum senyum. Auww…. bikin getar dongg….
“Awak? Macam mana awak boleh jumpa rumah saya ni? Dan, kenapa pulak awak ke sini? Awak dah salah rumah ni! Rumah mak bapak Mimi dekat Taman Intan Mas, bukan kat Kg Bahagia.”
Belum sempat Alif menjawab soalan-soalan Aisyah, bapa Aisyah, Muhamad menghampiri mereka.
“Dah sampai pun, kamu, Alif. Jemputlah masuk. Aisyah, pergi ke dapur buat air.”
“Ayah dah kenal Alif ni? Macam mana? Kenapa Syah tak tahu pun?” Laju Aisyah bertanya kerana dia sedang keliru dengan sambutan ayahnya terhadap tetamu yang tidak diundang ini. Matanya berkalih-kalih di antara kedua-dua lelaki yang sedang berdiri di hadapannya. Cara ayahnya, bagaikan dah kenal benar dengan Alif dan si Alif pula, begitu sopan menyalami tangan ayahnya.
“Hai, bukankah ayah dah beritahu yang kami dah pernah jumpa?” kerutan di dahi Aisyah tidak dipedulikan. “Dah, apa tunggu lagi tu? Cepat masuk ke dapur. Hidangkan apa yang patut. Alif datang dari jauh ni, tentu lapar!”
Rupa-rupanya Alif Fizwan datang kerana ingin membawa Aisyah ke Kuala Lumpur. Katanya, ada kerja kosong untuk Aisyah di rumah majikannya. Aisyah jadi hairan. Kenapa pula begitu mudah bapanya memberi keizinan untuk dia pergi? Mengapa begitu mudah melepaskan?
“Pergilah, Syah. Ayah kenal Encik Syarif dengan isteri dia, Puan Hanum tu. Baik orangnya.”
“Tapi,”
“Agaknya, Aisyah takut saya bawak dia lari, pakcik.”
Bulat sepasang mata Aisyah menatap wajah ceria Alif Fizwan. Berani lelaki ini bergurau dengan ayahnya? Dan, ayah? Amboi, bukan main gelak….suka!!
“Syah tak fahamlah, mak? Kenapa tiba-tiba aje dia datang nak bawak Syah pergi KL, kerja? Hisy, takutlah!” Aisyah mengadu kepada ibunya ketika di dalam bilik. Mereka sedang mengemas kain baju untuk dibawa oleh Aisyah ke Kuala Lumpur.
“Sebenarnya, dah dua kali Alif datang sini. Mula-mula dulu, dia datang sorang-sorang. Masa kamu pergi ke rumah mak ngah kamu hari tu, dia bawak bos dia dengan isteri bosnya sekali. Diorang minta tolong supaya mak izinkan diorang bawak kamu ke sana. Lagipun, Syah…kerjanya bukan susahpun. Tolong jaga budak kecil umur 5 tahun aje.”
Aisyah teruja. “Jadi nanny?” tanya dia.
“Nanny? Apa ke bendanya tu?” Badariah kebingungan.
“Perempuan yang menjaga anak orang dipanggil nannylah, mak. Pengasuh! Adoiii…” dirinya dicubit oleh si ibu lagi.
“Cakap pengasuh dari tadi, kan senang! Nanny, konon! Uisy!” marah Badariah.
Ketika hendak bertolak, Muhamad berpesan kepada anaknya supaya berkelakuan baik di rumah majikannya.
“Jaga diri. Jaga kelakuan. Jaga adab. Jangan garang-garang dengan budak yang kamu asuh tu, tahu?”
Aisyah mengangguk. Tentu sahaja dia tahu. Tentu sahaja dia akan ingat pada pesanan itu.
Hmm, seronoknya dapat kembali bekerja. Taklah terperuk dalam rumah sahaja. Direnung wajah lelaki di sebelah yang sedang memandu dengan tenang itu. Senyuman disedekahkan. Di dalam hati, dia amat berterima kasih kepada Alif. Begitupun, hati tertanya-tanya, mengapa lelaki itu sanggup bersusah-payah mendapatkan dia pekerjaan ini? Kenapa bukan Mimi yang ditolong? Bukankah Mimi kekasihnya? Arghh, pelik betul bila difikir-fikirkan.
5
“Wow, besarnya! Ini rumah ke istana?” tanya Aisyah yang sedang berdiri di sisi kereta. Alif baru sahaja memarkir kereta itu di luar rumah agam yang menjadi kekaguman. Mata membuntang bila pintu pagar terbuka secara otomatik.
“Ingatkan dalam drama TV aje ada rumah macam ni. Rupa-rupanya, memang wujud rumah besar, pagar bukak sendiri, ya, awak?”
Alif Fizwan tertawa kecil.
“Kenapa awak gelak? Tak baik awak gelakkan saya, tau! Mentang-mentanglah saya orang kampung…”
Aisyah berkecil hati bila melihat lelaki itu mentertawakan dirinya. Tiba-tiba dia rasa kerdil. Tiba-tiba dia jadi takut untuk tinggal dan bekerja di dalam rumah besar ini.
“Orang kampung?” balas Alif.
“Yalah! Kita orang Kg Bahagia ni!” tukas Aisyah sambil membayangkan kampung halaman dan rumahnya di Lorong Hj Ali. Walaupun sudah dikelilingi kemodenan, masyarakat setempat masih lagi mesra alam. Lambang suasana kekampungan masih terlihat terutama ketika majlis kenduri kahwin dan kematian.
“Hmm…. tapi anak dara kampung awak ni moden, ya?”
“Mana ada?”
“Tu!” Alif menunjukkan kepala Aisya yang tidak bertudung.
Aisyah tersengih, malu sendiri bila ditegur secara halus oleh Alif. “Nanti nanti, saya pakailah…” akhirnya dia bersuara.
“Hmm, benda wajib tak baik tangguh-tangguh!” tegur Alif lagi.
“Yalah! Nanti, dapat gaji pertama, saya beli dan terus pakai tudung, ya.” Janji Aisyah. Dia kemudian diam memerhati kereta merah itu. Rasa macam pernah tengok, fikirnya. Lalu dia tunduk untuk melihat nombor plat. Eh, samalah! bisik di hati.
“Awak, dari tadi saya nak tanya. Ini kereta siapa? Saya rasa macam pernah tengok kereta ni dulu.” Ujarnya.
“Iya? Di mana?” soal Alif memandang wajah Aisyah tepat-tepat.
“Masa di restoran Seri Bayu. Saya sampai lewat sikit, kan… Masa saya berjalan kat tepi kereta ni, saya usap-usap sebab saya memang suka tengok kereta comel.”
Alif terangguk-angguk. Dia berdehem kecil lalu berkata, “Lepas tu awak cakap kat kereta ni macam gini….
“Babai…kereta, cakap pada tuan kau, dia bertuah dan mesti jaga kau baik-baik, okey!”
Aisyah ternganga. Wajah Alif yang sedang ketawa diperhatikan dengan teliti.
“Awak dengar?” soalnya malu-malu.
Alif Fizwan mengangguk lalu memberitahu bahawa dia sedang berdiri di kaki lima ketika itu. Jadi, setiap perbuatan orang yang lalu lalang menarik perhatiannya. Katanya juga, dia yakin bahawa dalam fikiran Aisyah ketika itu tentunya dia tidak mampu hendak memiliki kereta berjenama tersebut.
Pipi Aisyah merona merah namun dia berusaha menafikannya.
“Mana ada? Saya tak pernah terfikirpun…tapi, betulkah ini kereta awak?”
“Taklah! Ini kereta Puan Hanum. Saya pinjam.”
Aisyah menggeleng-gelengkan kepala.
“Tak baiklah awak! Jangan suka meminjam-minjam. Tak elok! Mak saya cakap, kita hidup ni kenalah ukur baju kita di badan kita sendiri. Macam awak ni, kan. Tak perlu pinjam kereta puan Hanum untuk ke mana-mana. Tunggang aje motosikal buruk awak tu….Ops…”
Alif ketawa ketika dia menghampiri Aisyah. Ketawa sampai berair-air mata. Teringat kata-kata pakcik Muhamad yang menyebut bahawa Aisyah ni lurus bendul, kalau hendak mengutuk..sesedap rasa sahaja dilakukannya. Kata makcik Badariah pulak, Aisyah tak pandai sembunyi perasaan. Kalau dia hendak marah, dia marah. Kalau dia hendak gelak, dia akan gelak. Tak adanya hendak tutup keayuan….
“Mana awak tahu saya bawak motor buruk?”
“Err…”
“Aisyah, kalau saya jemput awak naik motor saya yang buruk tu, awak nak ke ikut saya ke KL ni?” tanya Alif.
“Eeii..tentulah tidak!” melihat Alif menjungkitkan kening, Aisyah cepat-cepat menyambung, “Bukan sebab motor tu buruk, awak… tapi nanti kalau saya naik motor, saya nak pegang apa? Pegang awak kan tak boleh? Gayatlah saya! Entah-entah terus saya terpelanting masuk ke dalam longkang pulak…”
Aisyah tidak pasti apakah yang menyebabkan lelaki ini ketawa terbahak-bahak. Tapi itulah yang berlaku. Entah apalah yang lucu sangat di pendengaran Alif, fikirnya.
“Cukup-cukuplah gelak tu! Bawaklah saya masuk ke dalam! Nanti, entah apa pulak yang majikan awak fikir.” Bentak Aisyah penuh geram.
“Mereka nak fikir apa? Tu, dah tak sabar-sabar nak sambut menantu tu!”
“Apa awak cakap?”
Alif tersenyum manis. “Tak ada apa-apalah. Jom! Jom saya kenalkan awak dengan majikan kita, Encik Syarif dengan Puan Hanum. Diorang pun tentu dah tak sabar-sabar nak tengok bakal…..pengasuh cucu mereka. Jom!”
6
“Ni cucu saya, nama dia Norazwa. Umurnya 6 tahun. Dia baru balik dari luar negara dengan emaknya. Sepatah cakap Melayu pun dia tak tahu. Tugas awak, Aisyah, ialah, selain mengasuh, awak kena jaga makan, minum segala-gala berkaitan cucu saya ni. Awak juga mesti ajar dia sampai dia boleh cakap Melayu. Awak faham?”
Aisyah menatap seraut wajah comel yang sedang berada dalam dakapan Puan Hanum. Anak comel itu sedang merenung dirinya tanpa tersenyum. Iyalah… baru pertama kali berjumpa, mana boleh bermesra, kan?
“Kamu ada masalah, Aisyah?” soal puan Hanum kepadanya.
Aisyah menggigit bibir. “Hmm, puan ada kamus tak? Kalau ada kamus dwibahasa english – BM, lagi baik! Nanti, kalau cik kecil ni cakap omputih dengan saya, bolehlah saya cari makna dalam kamus tu. Kalau tidak, macam mana saya nak faham apa yang dia cakap?”
Alif yang dari tadi menjadi pemerhati, tergelak kecil meraih jelingan si Aisyah kepadanya. Encik Syarif yang sesekali menyampuk tadi turut tersenyum. Senyuman melebar bila Alif mengusik gadis itu…
“Aisyah, masa periksa SPM dulu, gred English awak berapa, hah?”
Aisyah mengetap bibir. Sengaja aje nak mengenakan dirinya si Alif ni, bentak hati. Tapi, dah tanya depan bos, kenalah beritahu, kan? Perlahan-lahan jari disusun membuat angka 9.
Terbeliak mata Alif. “Gagal?” soalnya tidak percaya.
“Alah, awak tu pun bodoh jugak! Jadi budak dispatch, tandanya, awak bukan pandai sangat, kan? Entah-entah BI awak pun kantoi!” balas Aisyah namun dia segera menutup mulutnya. Malu sungguh bila dirinya dipandang tidak berkelip-kelip oleh Encik Syarif dan Puan Hanum.
Puan Hanum segera berpaling ke arah Alif Fizwan.
“Budak dispatch? Sejak bila…”
Encik Syarif segera memotong percakapannya. “Mama, suruh Inah tunjukkan bilik Aisyah ni. Dia dah penat. Esok baru mula bertugas. Boleh macam tu, Aisyah?”
Aisyah mengangguk tanda setuju. Dia pun berasa terlalu letih. Kalau dapat ‘landing’? Hmm… seronoknya!
………………..
Menjaga anak kecil yang langsung tidak memahami kata-katanya dan dia pula tidak langsung boleh berbahasa inggeris, memang menyulitkan. Selepas dua minggu, perkataan-perkataan yang sudah melekat di dalam kepala tentunya,
I hate you.
Bila Norazwa marah, itulah yang akan dihamburkan kepadanya. Selalu Aisyah akan balas….. akupun sama! Tapi dalam hati sahajalah.
Sebenarnya, dia bukan bencikan si kecil tetapi dia benci melihat kedegilan Awa. Pujuk, salah! Tak pujuk? Terus buat perangai. Mogok! Tak mahu makan, tak mahu minum. Namun, rasa kasihan sentiasa menghalang Aisyah daripada melantunkan kemarahan kerana dia sedar anak kecil itu sebenarnya kehausan kasih sayang. Ibu dan ayahnya sudah bercerai di England dulu. Emak Awa, Azra, jarang balik ke sini sebab ibunya, Puan Hanum selalu berleter kepadanya. Yang jadi mangsa, tentu sahaja anak kecil yang tidak mengerti apa-apa itu.
“Why don’t you read me a story before I sleep? Mother always did that to me, you know? I mean, when we were back there in London. Now….”
Aisyah menyeka air mata yang sedang bergenang. Tubuh kecil itu diraih ke dalam pelukannya. Rasa kasihan melihat Awa menangis membuat kelopak matanya sendiri digenangi air.
“Err…. Awa, kan kak Syah selalu bacakan kisah nabi pada Awa? Awa tidur jugak, kan walaupun kak Syah baca dalam bahasa melayu. Kan?” melihat dahi Awa yang berkerut, Aisyah menepuk dahi. “Kak Syah…I… baca…read…cerita…story?” soalnya sambil menunjukkan buku cerita di tangan.
“Baca…read?”
Aisyah senyum dan terus ketawa. Selama ini amat payah untuk Awa mengikutnya bertutur dalam BM. Cukup kental semangat penjajah itu. Tapi, selepas dua minggu, anak kecil itu mahu sebut begitu. Arghh, bestnya! Misi berjaya!
“Read book to me…baca cerita?”
“Okey, Kak Syah bacakan cerita Nabi Yunus malam ni. Kalau tak faham nanti tanya.” Begitu berkobar-kobar semangat gadis itu malam ini.
“What?” soalan itu disambut dengan jegilan kerana dia amat yakin Awa tahu erti ‘what!’
“Apa ka Syah baca… mau tidur….”
Aisyah bertepuk tangan. Gembira benar dia. Dalam tempoh dua minggu, si comel Awa sudah mahu berubah. Hmm, syukur Alhamdulillah.
7
Sejak hampir dua bulan menetap di rumah Encik Syarif dan Puan Hanum, hanya sekali dua sahaja Alif datang menjenguk bertanya khabar. Itupun sekejap sahaja. Lelaki itu seolah-olah terlalu sibuk dengan tugasnya.
Aisyah tidak pula bertanya. Dia pun tahu bahawa lelaki itu punya tanggungjawabnya sendiri. Punya keluarganya untuk ditanggung. Kalau asyik curi tulang dan datang ke rumah agam ini, bila pula masa lelaki itu bekerja?
Layanan yang diberi oleh majikan terhadapnya memang baik. Kadang-kadang Aisyah rasakan ia terlalu baik! Seolah-olah dia pekerja yang lebih istimewa daripada yang lain-lain malah dirinya memang tidak digalakkan bergaul dengan orang gaji lain terutama pekerja Indonesia, si Inah. Dengan Mak Esah, si tukang masak itupun dia tidak dibenarkan dekat. Dia pernah dimarahi oleh Puan Hanum bila satu hari dia membantu Inah menyusun pokok bunga di halaman.
Rupa-rupanya, apabila marah, suara Puan Hanum bagaikan halilintar. Memang menakutkan.
“Kerja awak jaga Awa. Saya gajikan awak untuk jaga Awa, awak faham tak ni, Aisyah?”
Kecut perut Aisyah. Itulah sekali sahaja yang dia berani ingkar. Lepas tu, tidak lagi.
Mungkin kerana dah akrab sangat dengan si Norazwa, Awa kini dah agak lancar berbahasa Melayu. Mereka sudah boleh berkomunikasi tanpa dahi Aisyah berkerut lagi.
“Esok, Awa pergi sekolah tadika. Tadika ni sekolah untuk budak kecil sebelum dia masuk sekolah….”
“Budak besar?”
Aisyah tergelak lalu memicit hidung si Awa.
“Tu sebab menyampuk apa kak Syah cakap.”
Melihat Awa turut mengekeh ketawa, hatinya senang. Wajah yang semakin berisi itu sentiasa berseri kini. Awa bukan lagi anak kecil yang murung seperti dua bulan lalu. Dia sudah boleh ketawa dan tersenyum.
“Awa mesti belajar pandai-pandai, tau. Jadi macam datuk Awa, seorang bekas akauntan yang berjaya. Macam nenek, bekas timbalan pengarah di sebuah jabatan kerajaan dan macam mummy, seorang arkitek landskap. Jangan jadi macam kak Syah, seorang pengasuh aje…..”
“But…”
Aisyah menjegilkan mata. Awa pula menyedari kesilapannya.
“Tapi, Awa suka kak Syah. Kak Syah sayang Awa.” Bisiknya sambil memeluk tubuh Aisyah.
Aisyah turut membalas dengan memeluk tubuh Awa erat-erat. Tubuh kecil itu dielus-elus penuh kasih sayang.
“Semua orang sayangkan Awa. Datuk, nenek, mummy…semua!”
“Mummy tak…”
Aisyah bertinggung di hadapan anak kecil itu. Saat ini, dia perlu membetulkan persepsi si kecil.
“Mummy sangat sayang pada Awa. Masa ni dia sibuk sikit sebab dia nak bina hidup dia bagi stabil. Bila hidup dia dah okey, baru dia boleh jaga Awa dengan baik. Awa tak boleh marah mummy, tau.”
“But I miss her. I miss her sooo much.” Rengek si kecil, menjadikan dakapan Aisyah kepadanya semakin rapat. Sungguh sedih memikirkan nasib anak yang ibu dan ayahnya bercerai ini. Kerana marahkan suami yang masih bersisa, Azra nekad menjauhkan dirinya daripada anak yang tidak berdosa. Sudah puas Puan Hanum memarahi namun Azra tetap tidak mengendahkan nasihat si ibu. Dia tetap tidak pedulikan Awa.
“Sayapun dah tak tahu nak cakap apa dah dengan dak Azra ni. Dia kahwin dengan mat saleh di London dulupun tanpa izin kami. Suami saya terpaksa bergegas ke sana untuk mewalikan dia. Azra tak pernah balik ke sini selepas kahwin. Dia berceraipun, kami tak tahu. Hanya bila adik dia pergi cari dia kat sana baru kami sedar yang dia sengaja sembunyikan diri dari kami sebab tak mahu kami tahu perangai suami dia yang suka memukul dan mendera dirinya. Nasib baik anak bongsu saya jumpa dia dan bawa mereka balik ke sini. Kalau tidak…entahlah! Dah macam orang merempat, macam tak ada keluarga si Azra tu!” cerita Puan Hanum kepada Aisyah.
Aisyah hanya mendengar. Baru dia tahu yang rupa-rupanya Puan Hanum ada dua orang anak. Azra dan seorang adik lelaki. Tapi, siapa? Dia rasa, seingatnya, anak bongsu Puan Hanum tidak pernah ditemui.
“Cuba awak bayangkan, Syah… 6 tahun umur cucu saya tapi saya tak tahu. 6 tahun cucu saya hidup macam orang asing kat luar sana. Siapapun tak dikenalinya. Geram betul!” rungut Puan Hanum lagi.
“Susah-susah nanti, Syah, bila awak kahwin dengan Alif, awak jadikan Awa anak angkat awak, ya. Biar padan muka si Azra tu. Boleh?”
Merah padam wajah Aisyah bila Puan Hanum mengaitkan dirinya dengan Alif. Kalau Alif dengar, malu!
“Alif tu dah ada makwe, puan. Nama makwe dia Mimi. Mimi tu kawan baik saya, sama kerja dengan saya kat kilang dulu.” Aisyah cuba menjelaskan perkara sebenar.
Puan Hanum kelihatan tertarik mendengar perkhabaran itu. Dia meminta Aisyah menceritakan bagaimana Alif boleh bercinta dengan Mimi. Aisyah pun apa lagi, terus sahaja memberitahu semuanya termasuklah kisah dia menyamar tempoh hari.
“Oh, macam tu! Awak rasa, diorang masih berhubung lagi?” tanya Puan Hanum.
Aisyah mengerutkan dahi. “Entah-entah dah kahwin kot. Sebab, Mimi dah tukar nombor telefon dia, puan. Dah berhenti kerja gamaknya untuk menjadi suri rumah sepenuh masa.” Balasnya.
Puan Hanum ketawa. “Aisyah, Aisyah. Kalau Alif tu nak kahwin, tentu dia jemput saya. Dia kan……. kerja dengan suami saya? Mestilah kami dah lama tahu.” Tukasnya.
Ya tak ya juga, fikir Aisyah. Tapi, kenapa pula tak jadi? Mimi cakap Alif tu kekasihnya. Takkan dah putus cinta pulak?
“Saya tahu, Alif sukakan kamu, Syah.” Kata Puan Hanum sambil merenung cucunya yang manja dalam pelukan Aisyah.
“Hisy…. mana ada puan. Tak adalah!”
Puan Hanum hanya tertawa melihat kegugupan Aisyah. Dia tidak meneruskan kata-kata. Hanya tertawa dan terus tertawa.
8 – akhir
Ketika Aisyah naik ke tingkat 3, rumah agam itu, hatinya berdebar-debar. Dia sudah ditegah untuk tidak naik ke situ lama dulu. Namun dia terpaksa kerana ingin mencari Awa. Tadi dia nampak kelibat anak kecil itu berlari di sini.
Mereka sedang bermain sorok-sorok. Sangkanya, Awa akan hanya menyorok di luar atau di tingkat-tingkat bawah saja. Lupa pula memberi pesan supaya Awa tidak ke sini. Kalau Puan Hanum tahu, tentu Puan Hanum marah ni, detik hati.
“Awa…. Awa…..”
Di suatu sudut, ada sebuah pintu bilik terbuka sedikit. Aisyah tersenyum. Dia yakin Awa ada di dalam bilik itu. Lalu, pintu bilik itu ditolak perlahan-lahan.
“Awa?” panggilnya lagi. Suasana kelam menyebabkan Aisyah memetik suis lampu. Dan, sebaik lampu terpasang, dia bukan sahaja menemukan Awa yang sedang menyorok di belakang sofa namun dia juga terpandangkan gambar-gambar Alif Fizwan di merata-rata di dalam bilik itu. Dalam rasa terkejut, Aisyah merenungi satu persatu gambar-gambar itu. Ya, dia memang tidak salah. Dia tidak silap memandang. Lelaki dalam gambar itu ialah Alif Fizwan bin Sharifudin.
Aisyah memerhati ke sekitaran. Dia menggaru-garu kulit kepala. Dahinya berkerut-kerut. Setelah memahami, dia lantas menarik tangan Awa untuk turun ke bawah. Dia perlukan penjelasan.
Dalam hati, rasa terkilan. Patutlah dia tidak dibenarkan naik ke tingkat 3 ini… rupa-rupanya ada rahsia tersembunyi. Patutlah dia tidak dibenarkan rapat dengan orang gaji yang lain, ada sesuatu yang bimbang akan dibocorkan. Arghh geramnya! Bencinya!
Kebetulan pula, ketika dia turun, Alif melangkah memasuki rumah. Dia terus mendukung Awa dan meletakkan anak kecil itu duduk di atas kerusi. Dia kemudian terus mendepani Alif.
“Awak cakap betul-betul dengan saya. Kenapa awak bohong? Jangan awak nak buat-buat bodoh. Saya dah tahu siapa awak. Tadi, saya dah masuk dalam bilik awak. Saya dah nampak gambar-gambar awak. Cepat cakap! Kenapa awak buat semua ni?” soalnya sambil mendongak kerana Alif jauh lebih tinggi daripadanya.
“Alah, yang awak naik ke atas tu buat apa? Tak syoklah awak tahu cara macam ni.” Balas Alif tanpa sedikitpun rasa bersalah.
“Syok? Apa syok-syok? Tipu orang kan berdosa? Awak suka pulak, ya?” marah Aisyah. Dia geram melihat gelagat Alif yang selamba.
“Saya suka sebab awak dah tahu siapa saya jadi tak adalah saya perlu nak sorok-sorok balik ke sini dah.” Alif diam untuk melihat reaksi Aisyah. Bila gadis itu masih saja merenunginya, dia menyambung, “Syah, saya bohong awak tu bersebab tau.”
Dia menarik tangan Aisyah untuk duduk di sofa. Dia sendiri mengangkat tubuh Awa untuk diletakkan di atas ribaannya. Selepas dia mencium pipi Awa, Alif menyuruh si cilik memanggil datuk dan neneknya. Menyuruhnya memanggil mereka turun untuk mereka berbual-bual bersama-sama.
“Syah, sebaik saya nampak muka awak di fb, saya terus pergi ke Teluk Intan. Saya pergi ke kilang nak cari Hamimah tapi berwajah Aisyah. Memang siapapun tak kenallah, kan? Saya jadi pelik. So, saya pun tunggu gadis bernama Hamimah Hamid. Masa nampak dia, saya nampak awak. Jadi, saya tahulah yang Mimi guna wajah awak dalam fb dia.” cerita Alif panjang lebar.
“Habis tu, kenapa masa makan malam tu, awak tak cakap apa-apa pun?”
“Saya nak tengok lakonan awak. Tapi, awak pulak terus mengaku yang awak bukan Mimi. Saya ingat… saya ingat awak mengaku sebab awak tak mahu berkawan dengan budak dispatch.” Alif mengaku.
Aisyah semakin geram. “Lepas tu awak kawan dengan Mimi. Kata Mimi, awak dengan dia bercinta. Yang saya tak faham, kenapa awak cari saya pulak.” Soalnya.
“Tak ada bilanya kami bercinta. Dia tak sudi kawan dengan saya yang miskin ni.” Alif memberitahu.
“Iya? Habis tu kenapa dia cakap awak dengan dia sedang berasmaradana pulak?” Aisyah masih tidak dapat memahami.
“Buat apa nak fikir tentang dia, Syah? Dia tipu awak aje, sengaja nak tunjuk yang dia ada pakwe sedangkan awak masa tu berkurung dalam rumah. Tu aje. Toksahlah beria-ia fikirkan tentang kawan awak tu. Sekarang ni, saya nak tanya awak. Awak suka tak tinggal di sini?” tanya Alif dengan wajah yang serius.
“Suka. Mak dengan ayah awak baik malah semua orang baik dengan saya. Tentulah saya suka tinggal dan bekerja di sini.” Balas Aisyah penuh naif.
Alif menepuk dahi. Ni, bukan setakat gagal English, BM pun tak tentu lulus, kutuknya dalam hati. Tapi, apa hendak dibuat, kan? Dah hati sangat berkenan…. redalah menerima Aisyah seadanya…..
“Aisyah, anak saya tanya, sama ada awak sudi kahwin dengan dia ataupun tidak. Dia memang dah lama tahu yang awak suka bekerja dengan saya. Kalau tidak, dah lama awak mintak berhenti kerja, betul tak?” Puan Hanum mencelah. Geli hati melihat Aisyah yang masih tidak dapat menangkap hajat tersirat di sebalik ungkapan lamaran.
“Awak nak kahwin dengan saya, Alif?” tanya Aisyah setelah memahami kata-kata Puan Hanum.
“Awak? Awak sudi kahwin dengan saya?” soal Alif sambil mengukir senyuman manisnya.
“Malu arr nak jawab!” balas Aisyah sambil tersipu-sipu menyebabkan semua orang ketawa.
………………………..
Begitulah kisah cintaku dimukabuku. Dah selalu sangat aku buat cerita yang penuh saspen, suka duka, air mata, bahagia, tangis, maka kali ini aku mengubah stail sikit. Tidak ada ketegangan perasaan…. hanya gembira dan bahagia gadis bernama Aisyah yang menjadi pilihan Alif Fizwan setelah jatuh cinta hanya melihat gambar gadis itu di fb. Tapi awas, ini hanya sebuah kisah. Realiti tidak selalu indah. Jangan terpedaya janji manis bak gula. Di luar sana, yang beristeri mengaku bujang. Yang bersuami mengaku dara. Yang tua mengaku muda. Demi nafsu, segala direlakan. Tuhan beri kita akal, gunakanlah. Tuhan beri kita nafsu, berwaspadalah….

0 comments: