Loved or Unloved?

Oleh : ZH Qiesyah

Rancak sungguh mereka berbual sambil melangkah keluar dari pusat membeli-belah itu. Sesekali tawa meletus antara mereka. Entah apa yang dibualkan mereka hanya mereka sahaja yang tahu. Gadis yang bertudung itu membetulkan tudungnya yang dirasanya kurang selesa. Dan dia menolak sedikit cermin mata yang dipakainya. Dia kembali memandang rakannya di sebelah yang masih asyik berceloteh. Sesekali dia menganggukkan kepalanya. Mereka terus melangkah. Melintasi jalan yang agak lengang. Dan tiba-tiba kedengaran enjin motor yang agak kuat. Sengaja dideramkan di belakang mereka. Gadis itu berpaling sedikit. Jelas dia kurang senang dengan bunyi itu. Sebuah motor berkuasa besar sedia berada di belakangnya. Dia merengus kurang senang seraya kembali memandang temannya yang turut sama memandang ke arahnya.
Dan saat motor itu memakirkan motornya di antara motor-motor lain dia berpaling lagi. Wajahnya jelas terlukis riak kurang puas hati. “Aku taulah motor dia besar. Tak yahlah nak berlagak.” Katanya perlahan. Sempat dia mengerling ke arah empunya motor itu. Namun wajahnya tidak kelihatan kerana topi keledar yang dipakainya ditutup dengan razor. Pada masa yang sama si penunggang itu mengangkat muka. Turut sama memandang ke arahnya. Dan cepat-cepat dia mengalihkan pandangan. Takut kalau-kalau si penunggang itu terdengar apa yang dikatakannya sebentar tadi. Huh! Berlagak! Getus hatinya lagi.
“Dahlah tu.” Temannya itu bersuara, tersenyum sahaja. Dan gadis itu pula terus melangkah laju. Masih membawa rasa tidak puas hati bersamanya.
*
Dia melangkah perlahan. Sesekali dia membetulkan beg yang di galasnya di belakang. Sempat pula dia membelek buku tebal di tangannya. Membaca beberapa baris ayat yang tertulis di muka surat pertama buku itu. Dia menggelengkan kepalanya. Mak aih, banyak betul nak baca ni! Dia menghela nafas panjang. Tiba-tiba telinga menangkap keriuhan tidak jauh darinya. Cepat-cepat dia mengangkat muka, memandang ke arah sesusuk tubuh yang tinggi lampai berlari ke arahnya. Dia kehairanan. Kenapa pulak tu? Soalnya sendirian. Dan dia terkaku seketika apabila tubuh tinggi yang lampai itu berhenti betul-betul di hadapannya. Matanya memandang tepat ke arah pemuda yang sudah pun berlutut dan tangannya menyuakan sekuntum bunga mawar berwarna merah kepadanya.
“Saya sukakan awak. Tolonglah sudi jadi teman wanita saya.” Katanya lantang sambil mata pemuda itu memandang tepat ke wajahnya dengan senyuman yang cukup manis terukir di bibir. Setiap orang yang melalui koridor itu berhenti sejenak, memandang ke arah mereka dan mula berbisik sesama mereka. Dia meneguk liur yang mula terasa kelat. Biar betul mamat ni. Masih berasa ragu-ragu.
“Tolonglah!” katanya lagi. Masih setia menghulurkan bunga itu kepadanya. Lambat-lambat dia mencapai bunga itu walhal dia tidak pasti dengan apa yang dilakukannya. Dan saat bunga merah itu berada di tangannya, pemuda itu bangun dan memandang wajahnya dengan garis kelegaan yang jelas terlukis di wajahnya.
“Thanks!” ucapnya sambil menggenggam jemari gadis itu erat. Dan si gadis yang kehairanan itu masih lagi asyik memandang wajah yang cukup comel di hadapannya itu. Gadis itu menggenggam jemarinya. Terasa seperti dia dipermainkan. Tinggi tanggannya diangkat lalu dengan selamba dan dengan wajah yang tiada reaksi dia mengetuk kepala pemuda itu dengan buku tebal yang sudah tergenggam erat di tangan kanannya. Pemuda itu mengaduh, terasa sakit dan pedih di kepala.
“Aku tak kenal kau la!” herdiknya, kasar dan lantang sekali suaranya. Terus berlalu dan langsung tidak berpaling memandang ke arah pemuda itu yang sudah membuka langkah mengejarnya. Hatinya terasa panas. Huh! Ada hati nak mainkan aku. Salah oranglah! Fikirnya. Namun jemarinya masih erat menggenggam bunga mawar pemberian pemuda itu. Huh…! Siapa-siapa sajalah mamat tu. Suka-suka je kata suka kat aku? Hatinya merengus sakit hati.
“Nik!” panggilan itu tidak dihiraukannya malahan langkah kakinya semakin laju.
Pemuda itu tunduk memandang kaki sendiri. Jemarinya digenggam erat. Kepalanya yang terasa sakit kerana dipukul itu disentuhnya. Dia menghela nafas panjang. Perlahan-lahan dia meleraikan genggaman tangannya lalu meletakkan jemarinya rapat ke dadanya. Terasa debaran jantungnya yang laju berdetap. Wajah gadis itu masih lagi bermain di matanya. Dia menarik nafas panjang. Baiklah! Esok aku akan cuba lagi. Bisik hatinya yakin. Senyumannya terukir, manis sekali. Sesungguhnya dia sanggup lakukan apa sahaja asalkan dapat bersama dengan gadis itu.
Di rumah, Nik menghempas begnya ke sofa lalu menghenyakkan punggungnya ke sofa itu. Masih terbayang wajah dan senyuman pemuda itu di ruang matanya. Dia mengertap bibir. Terasa sakit hati. Pada masa yang sama otaknya ligat berfikir siapakah pemuda itu? Tudung yang dipakainya di buang lalu di lemparkan ke atas begnya, kepala yang tidak gatal digarunya berkali-kali. Matanya terpandang pula bunga mawar tidak jauh darinya itu. Kali pertama seumur hidupnya dia menerima sekuntum bunga dari seorang pemuda. Malahan pemuda yang tidak dikenalinya. Dia menghela nafas panjang. Menyampahnya!!! Jeritnya dalam hati.
“Hei, kau ni kenapa? Emo semacam je aku tengok.” Sapaan itu mengejutkannya. Dia mengangkat muka memandang temannya yang baru muncul dari dapur. Dia hanya tersenyum nipis, tidak berminat untuk menjawab sebarang persoalan yang bakal ditanya kepadanya. Temannya itu terus melangkah mendekatinya lalu melabuhkan punggung di sebuah lagi sofa tidak jauh darinya. Dipandangnya teman serumahnya itu dengan padangan hairan. Jarang sekali Nik pulang dengan wajah sebegitu melainkan kalau ada sesuatu yang telah berlaku terutama sesuatu yang tidak disukainya terjadi.
“Wah! Bunga!” katanya saat dia terpandangkan bunga itu di atas meja. Nik hanya mencebik tidak berminat untuk bercerita. Senyuman temannya itu meleret dan Nik hanya berpura-pura tidak tahu dengan maksud senyuman temannya itu.
“Mana dapat?” soalnya dengan senyuman meleret di bibir. Dia meneguk air dari gelasnya sambil matanya masih memandang tepat ke arah Nik yang sudah memejamkan matanya.
“Orang gila bagi.” Selamba sahaja jawapan itu keluar dari mulutnya. Temannya itu masih memandangnya namun kali ini dengan pandangan curiga. Nik merengus lagi. Terasa kurang senang. Wajah pemuda itu mengetuk benaknya lagi. Argh!!!!
“Aku naik dulu.” Katanya pendek mencapai beg dan tudung lalu melangkah mendaki tangga menuju ke biliknya di tingkat atas rumah sewa dua tingkat itu. Langkahnya berat dan sarat dengan rasa kurang senang. Bunga itu di tinggal sahaja di atas meja di ruang tamu itu malah meninggalkan seribu pertanyaan di benak teman serumahnya itu.
*
Sesekali dia memandang jam di pergelangan tangan kirinya. Hampir menginjak pukul 12.30 tengah hari. Dia berpeluk tubuh. Sesekali dia menyanyi perlahan sambil matanya memandang setiap orang yang lalu lalang di koridor itu. Sesekali dia tersenyum saat mereka memandang ke arahnya dan mereka membalas senyumannya. Dia membetulkan rambutnya yang terikat kemas ke belakang. Dia memandang jam tangannya lagi. Masih menunggu di koridor itu penuh kesabaran.
Tak lama kemudian kedengaran tawa dan suara orang berbual dan tidak lama kemudian pintu dewan kuliah tidak jauh darinya di buka dari dalam. Dia berdiri tegak. Memandang setiap wajah yang keluar dari bilik itu dengan senyuman dan penuh kesabaran. Dan apabila terpandangkan seraut wajah yang ditunggunya itu muncul, dia cepat-cepat mendapatkan gadis itu.
“Nik!” panggilnya. Senyumannya semakin lebar dan wajahnya yang putih melepak itu bertukar kemerahan. Jantungnya sudah berdetap hebat. Gadis yang sedang asyik ketawa bersama teman-temannya itu mengangkat muka, memandang wajahnya. Tawanya mati serta merta dan raut wajahnya turut berubah. Nik merengus kurang senang.
“Kitorang gerak dulu.” Kata teman-teman gadis itu. Sempat mengangkat tangan dan berlalu meninggalkan mereka. Nik hanya menganggukkan kepalanya dan tersenyum hambar. Dia kembali memandang pemuda di hadapannya yang jelas kelihatan gemuruh. Dia menarik nafas panjang.
“Kau lagi? Kau nak apa?” soalnya, dingin. Tajam sekali dia memandang pemuda itu. Pemuda itu masih tersenyum lebar. Dipandangnya Nik yang sudah berpeluk tubuh.
“Saya nak jumpa awaklah!” balasnya, lembut sekali nadanya dipendengaran Nik. Nik menggelengkan kepalanya. Tidak sangka yang pemuda itu benar-benar memaksudkan kata-katanya semalam. Pemuda itu pula semakin resah apabila Nik hanya diam tanpa kata. Malah dia terus berpaling dan melangkah meninggalkan pemuda itu yang terkulat-kulat mengikuti langkah kakinya. Benar-benar tidak tahu apakah yang bermain di fikiran gadis itu.
“Nik…! Saya betul-betul sukakan awak.” Katanya lagi saat itu berjaya menyaingi langkah gadis itu. Langkah kaki Nik mati serta merta. Dia mengangkat muka memandang pemuda yang sememangnya tinggi darinya itu. Wajahnya tidak terlukis sebarang reaksi. Kaku dan kosong.
“Dengar! Aku tak kenal kau pun. Jadi jangan suka-suka hati luahkan perasaan kau tu dekat aku.” Katanya, masih dengan nada dinginnya. Wajah pemuda itu berubah sedih. Senyumannya bertukar hambar dan wajahnya sayu sahaja saat Nik berkata begitu. Dan entah mengapa pula Nik berasa bersalah apabila terpandangkan wajah sunggul di hadapannya itu. Dia menarik nafas dalam-dalam lalu mengalihkan pandangannya. Tidak tahu bagaimana harus dia katakan kepada pemuda itu tentang rasa bersalahnya.
“Saya sanggup tunggu sampai awak sukakan saya. Betul!” kata pemuda itu, yakin tetapi perlahan sahaja suaranya. Nik kembali memandang pemuda itu. Masih rasa bersalah namun dia hanya menyembunyikan sahaja rasa bersalahnya itu di sebalik wajahnya yang tanpa reaksi itu.
“Saya Dani.” Katanya lagi. Senyumannya masih hambar namun wajahnya tetap manis dipandang. Nik memandang jemari yang cantik itu dengan pandangan kosong. Dia hanya menganggukkan kepalanya namun huluran salam itu tidak disambutnya. Lambat-lambat Dani menarik tangannya lalu digenggamnya erat. Dia memandang kakinya sendiri. Terasa sedih dan kecewa dengan layanan dingin Nik itu.
“Aku kena balik sekarang. Lain kalilah kita jumpa.” Beritahu Nik perlahan. Dia langsung tidak memandang pemuda di hadapannya itu. Dani sedikit tersentak dengan kata-kata itu. Dia mengangkat muka, memandang Nik yang hanya berpeluk tubuh. Senyumannya kembali melebar. Sesungguhnya dia tahu yang dia berpeluang bertemu gadis itu lagi. Hatinya berbunga bahagia. Nik mengerling, memandang Dani dengan ekor matanya. Cepat-cepat pemuda itu menganggukkan kepalanya. Nik pula masih berlagak cool.
“Pergi dulu.” Katanya selamba dan terus berlalu. Sempat juga dia berpaling sedikit memandang Dani yang menghantar langkahnya dengan senyuman lebar di bibir. Isk! Biar benar mamat ni! Getus hati Nik. Masih kurang yakin.
Dani memandang langkah Nik itu dengan satu harapan baru dalam dirinya. Senyumannya melebar lagi. Disentuhnya pipinya yang terasa kepanasan itu dan kemudian dadanya yang semakin reda debarannya. Dia menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya Nik masih sudi menegurnya. Bukankah itu satu tanda yang baik? Dia bertanya dirinya sendiri. Saat itu juga bahunya ditepuk dari belakang. Dia berpaling. Memandang dua orang teman baiknya yang hanya menggelengkan kepala. Dani hanya tersenyum memandang mereka yang pastinya tidak tahu mengapa pemuda itu beria-ia benar ingin berkenalan dengan Nik.
*
Nik melangkah keluar dari kelas itu dengan senyuman malah dia ketawa dengan senang hati. Teman-temannya pula enak ketawa mendengar cerita lucunya yang tidak pernah kering. Dan saat satu suara menyapa cerita dan tawa Nik mati serta merta. Dia mengangkat muka memandang Dani yang sudah setia menunggu di hadapan kelas itu. Dan teman-temannya itu terus berlalu meninggalkan mereka. Seminggu berlalu sejak Nik bersutuju untuk keluar bersama Dani. Dan pemuda itu pula asyik tersenyum dan sentiasa setia menunggu Nik keluar dari kelasnya. Malah dia asyik bercerita walaupun Nik langsung tidak memberikan reaksi dan gadis itu langsung tidak memberitahu tentang perasaannya terhadap Dani. Mungkin masih terlalu awal. Fikir Dani.
“Hai!” sapanya. Nik hanya menganggukkan kepalanya. Seperti biasa tiada segaris senyuman pun yang terukir di bibirnya dan dia langsung tidak memandang wajah Dani. Dani langsung tidak kisah tentang itu dan senyuman ikhlasnya tidak pernah mati. Nik terus melangkah, dan Dani lambat-lambat membontoti langkah Nik itu. Dia menyanyi senang hati. Langkah Nik mati dan dia memandang Dani yang melangkah di belakangnya. Dani memandang Nik yang sudah merenungnya.
“Beg aku berat. Kau tolong bawakan.” Katanya selamba sambil menghulurkan beg galasnya kepada Dani. Dan Dani dengan senang hati menyambut beg itu dari tangan Nik tanpa banyak soal. Beg itu terus disangkutnya ke bahu. Dia langsung tidak kisah walhal dia juga sedang mengendong begnya yang sarat dengan buku. Dia hanya memandang Nik yang sudah melangkah meninggalkannya, dan cepat-cepat dia melajukan langkahnya menyaingi Nik. Nik pula tidak ambil peduli langsung apa yang Dani fikirkan tentangnya. Lantaklah!
“Nik! Awak free tak Sabtu ni?” soalnya dengan senyuman meleret. Nik hanya memandang wajah Dani yang sudah kemerahan itu dengan ekor mata. Lambat-lambat dia menganggukkan kepalanya. Wajah Dani semakin berseri-seri. Dia tertawa senang. Nik kembali memandang ke hadapan.
“Keluar nak?” soal Dani lagi. Dia masih setia memandang Nik.
“Okey!” pendek sahaja jawapan itu keluar dari mulut Nik, pendek dan perlahan namun masih jelas di telinga Dani. Hati Dani melonjak gembira. Yesss! Jeritnya dalam hati.
“Saya jemput awak kat rumah nanti.” Beritahunya dengan nada gembira dan senang hati. Nik hanya menganggukkan kepalanya tanpa kata. Tapi itu sudah cukup bagi Dani, asalkan Nik sudi dia tidak kisah walaupun gadis itu tidak banyak bicaranya bersamanya. Satu hari nanti dia akan terima aku. Getus hati Dani, yakin.
Dan saat tiba di rumah sewa dua tingkat itu, Nik telah disambut oleh teman-teman serumahnya yang setia menunggu di ruang tamu dengan senyuman yang penuh makna. Nik tidak ambil pusing dengan pandangan mata teman-temannya itu. Terus melangkah dan melabuhkan punggung ke sofa. Mahu menghilangkan rasa penat kerana seharian di kelas. Tiba-tiba salah seorang dari teman-temannya itu mendekatinya lalu melabuhkan punggung di sebelahnya. Senyumannya meleret dan pandangan matanya menikam wajah Nik. Nik hanya menjeling ke arah temannya itu. Apahal pula ni? Dia tertanya sendirian.
“Siapa mamat tu?” soalnya tiba-tiba. Nik sedikit tersentak, namun tetap berpura-pura seolah-olah dia tidak mengerti siapakah yang dimaksudkan oleh temannya itu. Dia hanya menjungkit bahu. Dan lambat-lambat dia membuka tudung yang dipakainya. Rambutnya yang separas bahu itu diikat ke belakang. Temannya itu menghela nafas kurang senang dengan reaksi Nik itu. Diciutnya bahu Nik dan gadis itu memandangnya kurang senang.
“Eleh! Jangan buat tak tahu pula. Kau tahu siapa yang aku maksudkan, kan?” sindirnya. Dan baru sahaja Nik ingin membuka mulut membalas sindiran itu. Seorang lagi temannya mencelah. Pandangan Nik beralih ke arahnya yang sudah bersila di hadapannya.
“Entah! Kitorang nampaklah Nik. Mamat tu tunggu kau hari-hari depan kelas kau, kan?” katanya. Senyumnya manis sekali. Nik terkedu. Tidak tahu apa yang harus dia katakan. Dia menggelengkan kepalanya, serta merta dia ketawa dengan tawa yang dibuat-buat.
“Siapa-siapalah yang korang nampak tu. Mana ada orang tunggu aku depan kelas.” Dalihnya. Menggaru kepala yang tidak gatal. Senyuman yang terlukis di bibirnya jelas menunjukkan yang dia mengukir senyuman paksa. Teman-temannya mencebik. Huh! Nak berdalih lagi tu.
“Sayang, mamat tu glamer tau kat kolej kita tu. Jadi cerita pasal kau dengan dia tu dah tersebar la. Semua orang dah tahu. Baik kau terus-terang je.” Sindir temannya yang duduk di sebelahnya itu sambil menepuk bahu Nik mesra. Nik memandangnya tidak percaya. Glamer ke? Getus hatinya, kurang pasti. Beria-ia benar temannya itu menganggukkan kepalanya. Serta merta dia rasa geli hati dan tawanya meletus. Mereka memandangnya hairan dengan tawanya itu.
“Kau gelak kenapa?” soalnya hairan. Nik menekan perutnya dan menutup mulutnya dengan tangan kanannya. Matanya mula berair kerana terlalu banyak ketawa.
“So, kau nak bagitahu aku yang ramailah pompuan suka kat dia?” soal Nik bersahaja. Dia berpeluk tubuh dan seraya berdiri. Dipandangnya wajah teman-temannya yang masih setia memandangnya dengan pandangan hairan. Dia menganggukkan kepalanya sambil menarik nafas dalam-dalam. Dia membelakangi mereka.
“Maknanya… pompuan-pompuan semua tu bodohlah, kan?” katanya separuh mengejek. Dia kembali memandang teman-temannya. Senyuman sinis terukir di bibirnya dan jari telunjuknya menyentuh cermin mata yang dipakainya dan sebelah lagi tangannya di masukkan ke dalam poket seluar. Cuba berlagak cool.
“Kenapa kau cakap camtu plak?” soal temannya yang bersila itu sambil bangun dan melabuhkan punggung di sofa. Nik tertawa mengejek. Wajahnya sudah berubah warna dan senyuman sinisnya semakin lebar.
“Sebab mamat tu buta. Kau tau BUTA.” Katanya agak kasar. Tajam pandangan matanya memandang wajah teman-temannya yang sudah saling berpandangan. Dan pada Nik pula wajah Dani kembali bermain di matanya. Huh, tak guna! Getusnya. Dia terus mencapai begnya lalu dengan langkah yang kasar dia melangkah ke tingkat atas. Mereka menggelengkan kepala, tidak sangka yang Nik akan berkata begitu. Entah di mana salahnya mereka, mereka sendiri kurang pasti.
Nik menghempaskan begnya ke lantai lalu menghenyakkan punggungnya ke katil. Masih berasa sakit hati, kerana Dani teman-temannya mula mengusik. Hakikatnya dia langsung tidak mengenali siapa Dani itu sebenarnya. Sekadar mengetahui nama dan perasaannya terhadapnya sahaja. Selebihnya, Dani masih lagi misteri. Dia menghela nafas kurang senang. Tangannya dikepal-kepalkan lalu dia menumbuk-numbuk tilam empuknya itu. Dan saat itu juga kedengaran pintu biliknya diketuk dan dia hanya membisu. Perlahan-lahan pintu itu dikuak dari luar dan wajah teman serumahnya muncul di balik pintu.
“Hei, kau marah?” soalnya perlahan. Nik hanya membisu. Dipandangnya temannya itu lalu mengukir senyuman paksa. Lambat-lambat temannya itu mendekatinya lalu duduk di sisinya, di satu sudut katil itu.
“Sorry lah. Kitorang just nak tau je. Kalau kau tak nak kongsi takpe.” Beritahunya. Lembut sahaja suaranya memujuk. Nik menarik nafas dalam-dalam. Dia mula rasa bersalah kerana bersikap kasar terhadap temannya itu.
“Takpelah.” Katanya perlahan. Namun nadanya agak dingin. Ditolaknya rambutnya ke belakang apabila beberapa helai rambutnya jatuh ke dahi. Lama dia membisu.
“Aku just confius. Kau pun cakap mamat tu glamer, tapi kenapa dia sukakan aku? Aku takleh terimalah. Serious!” katanya. Wajahnya bertukar serius. Dipandangnya temannya itu yang sudah tersenyum sambil menggelengkan kepalanya.
“Okey apa? Kau pun comel jugak apa.” Katanya. Nik mencebik dan terus berdiri. Wajahnya semakin serius, senyumannya mati terus.
“Kau jangan buat gilalah. Kau tengok betul-betul aku ni. Serius aku memang tak sesuai dengan dia.” Katanya. Namun kali ini nadanya berubah sedih seolah-olah ada rahsia yang disimpannya sendirian. Temannya itu mengangguk, mengerti dengan apa yang dikatakannya. Sedar yang Nik sememangnya kurang yakin dengan dirinya sendiri dan dia tidak tahu apa yang harus dia katakan pada temannya yang sememangnya keras kepala itu. Lama Nik membisu sambil menekur lantai.
“Ila, kau tolong aku boleh?” soalnya. Wajahnya bertukar ceria. Temannya itu terkedu sebentar. Dipandangnya wajah Nik yang tiba-tiba berubah mood itu. Tahu benar ada sesuatu yang bermain di fikiran gadis itu. Melihatkan reaksi Ila yang memandangnya dengan pandangan curiga, cepat-cepat Nik mencapai tangan temannya itu lalu mengenggamnya erat. Ila pula mula berasa kurang senang dengan senyuman Nik itu.
“Kau jangan nak buat gilalah.” Ujarnya, kurang senang. Nik hanya ketawa. Sememangnya Ila memang memahami dirinya. Temannya itu menggelengkan kepalanya. Tidak sanggup untuk terlibat dengan idea gila Nik itu. Nik mencebik apabila Ila merentap tangannya kasar.
“Aku just nak tau dia betul-betul ikhlas ke tak. Tu jelah.” Katanya perlahan. Dipandangnya wajah Ila dengan penuh berharap. Ila menggegelengkan kepalanya, sesungguhnya dia tidak sanggup mempermainkan seseorang. Namun, apabila terpandangkan wajah Nik itu dia jadi serba salah. Hish, menyusahkan betullah!
*
“Hei!” pendek sahaja sapaan Nik itu. Dani mengangkat muka memandang Nik yang baru muncul di hadapan pintu rumah itu. Dani mengangkat tangannya sambil bibirnya menguntum senyuman yang cukup manis. Dan Nik seperti biasa tidak mengukir segaris senyuman pun untuk pemuda itu. Lambat-lambat dia mendekati Dani yang sudah setia menantinya di luar rumah itu. Pemuda itu menyandarkan tubuh tegapnya ke keretanya.
“Aku ajak kawan aku sekali. Kau tak kisah, kan?” katanya selamba. Matanya tajam merenung wajah Dani yang kemerahan itu. Serba salah pemuda itu ingin menganggukkan kepalanya. Nik hanya tersenyum sinis.
“Baguslah!” katanya tanpa ambil peduli tentang apa yang dirasakan oleh pemuda itu saat itu. Dan tak lama kemudian seorang lagi gadis keluar dari rumah itu, dan dia terus melangkah mendapatkan keduanya yang sudah menunggu. Senyumannya manis dan Dani membalas senyuman itu ikhlas.
“Ila. Awak Dani, kan?” Beritahu gadis manis itu sambil menghulurkan tangannya. Dani memandang tangan itu lama sebelum menyambutnya serba salah. Mata Nik masih lagi mengawasi setiap gerak gerinya. Dani hanya menganggukkan kepalanya, mengiakan. Salam itu dileraikan dan dengan sopannya Dani membuka pintu hadapan untuk Nik, dan tanpa banyak soal Nik melabuhkan punggungnya tanpa mengucapkan terima kasih. Dan tatkala dia membukakan pintu penumpang belakang untuk Ila, gadis itu mengucapkan terima kasih dengan senyuman manisnya.
Sepanjang perjalanan mereka hanya membisu. Dan Nik langsung tidak bersuara dan hanya melontarkan pandangannya ke luar tingkap kereta itu. Dani pula sesekali menjeling ke arah Nik di sebelahnya. Hatinya mengeluh berat. Susah payah dia mengumpul segala kekuatan untuk mengajak gadis itu keluar namun akhirnya Nik mengajak temannya bersama. Hilanglah peluang nak kenal dengan lebih dekat. Getus hatinya kecewa. Ila pula sedar kekecewaan yang terlukis di wajah Dani itu, dan dia benar-benar bersimpati dengan pemuda itu. Dia menggelengkan kepalanya. Hish, Nik ni betul-betul nak kenakan budak ni agaknya! Getusnya.
“Kita pergi minum-minum dulu nak?” kata Dani, memecahkan kebisuan antara mereka. Nik hanya mengangguk. Dani memandang Nik dengan pandangan penuh berharap, namun Nik hanya berpura-pura tidak ambil kisah tentang pandangan Dani itu. Ila menggelengkan kepalanya. Nik! Dia memarahi temannya itu, namun hanya dalam hati.
“Okey jugak.” Balas Ila, semuanya kerana kasihan pada perlawaan Dani yang tidak diberi sebarang respon itu. Dani memandang Ila melalui cermin pandang belakang kereta. Senyuman manis terukir di bibirnya dan Ila hanya membalas senyuman itu.
Kereta milik Dani terus meluncur di jalan yang agak sibuk itu. Akhirnya mereka tiba di sebuah pusat beli-belah dan Dani terus memarkirkan keretanya di tempat letak kereta di bahagian bawah tanah pusat beli-belah itu. Nik terus keluar tanpa kata. Tangannya diseluk ke dalam saku, seperti biasa berlagak cool. Dani hanya memandang Nik dengan pandangan sedih namun dia masih tersenyum manis. Dia memang takkan pandang aku sampai bila-bila ke? Fikirnya.
Tanpa menunggu Dani dan Ila, Nik terus melangkah ke lif yang terdapat tidak jauh dari tempat mereka meletakkan kereta. Dani dan Ila saling berpandangan. Jelas terlukis garis kekecewaan di wajah Dani namun dia masih cuba menyembunyikan perasaan kecewanya itu. Tanpa sedar, Ila menepuk bahu pemuda itu. Memintanya bersabar. Dani hanya tersenyum tawar. Ila benar-benar hairan dengan sikap Nik itu. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Nik melayan Dani sebegitu sedangkan dia bukanlah jenis orang yang mempunyai sikap seperti itu. Kalau tak suka sekalipun Nik masih cuba melayan orang yang tak disukainya itu dengan baik. Tapi mengapa tidak dengan Dani. Ila kebingungan.
Mereka melangkah ke sebuah restoran yang terletak di tingkat tiga pusat beli-belah itu. Nik menarik kerusi lalu melabuhkan punggungnya di kerusi itu. Ila masih berasa tidak puas hati dengan sikap Nik itu. Namun Dani langsung tidak menunjukkan yang dia ambil kisah tentang sikap Nik yang dingin terhadapnya itu. Dan tanpa banyak soal Dani terus melabuhkan punggung di sebelah Nik. Nik hanya mengerling dengan ekor mata saat Dani duduk di sebelahnya. Ila pula duduk menghadap Dani dan Nik.
“Aku nak pergi tandas kejap.” Beritahu Nik tiba-tiba. Dia terus bangun belumpun sempat Dani bersuara. Nik memandang Ila dan berdehem. Sempat juga dia mengenyitkan matanya pada temannya itu. Dani yang tidak tahu apa-apa hanya memandang keduanya kehairanan. Nik pula terus berlalu meninggalkan mereka. Dan apabila Nik hilang dari pandangan mata, Ila terus bangun dan melabuhkan punggungnya di sebelah Dani. Serba salah pemuda itu dibuatnya. Dia memandang Ila dengan senyuman paksa terukir di bibirnya. Dan entah mengapa pula Ila berasa seronok melihat wajah kalut Dani itu. Dia menahan diri dari tergelak. Sesungguhnya dia tidak menyangka yang Dani akan memberikan reaksi seperti itu.
“Kenapa awak suka sangat Nik tu? Dia bukan lawa pun.” Kata Ila selamba. Matanya tajam memandang Dani yang keresahan itu. Dani sedikit tersentak dengan kata-kata Ila itu. Dipandangnya wajah Ila dengan rasa tidak percaya. Tidak menyangka yang gadis itu akan berkata begitu tentang rakannya sendiri. Dani menggelengkan kepalanya tidak percaya. Ila sedikit hairan dengan maksud gelengan Dani itu.
“Dia kawan awak, kan? Kenapa awak cakap macam tu pasal dia?” ujar Dani kurang senang. Lembut sahaja tuturnya namun senyumannya mati saat itu. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia kurang senang dengan kata-kata Ila itu.
“Saya tak suka orang mengata dia. Bagi saya dia tetap cantik dan comel. Jadi jangan pertikaikannya lagi.” Sambungnya lagi. Wajahnya serius dan tegas sekali kata-katanya. Ila menutup mulutnya. Tidak sangka yang pemuda itu akan berkata begitu. Dani mengalihkan pandangannya. Dia tunduk sahaja merenung jemarinya sendiri. Ila tertawa kecil dan terus bangun dari kerusi itu. Dani sedikit hairan dengan tawa Ila itu, dipandangnya gadis itu yang sudah pun melabuhkan punggung di tempatnya semula.
“I bet awak mesti betul-betul sukakan dia, kan?” soal Ila tenang. Senyumannya manis dan lambat-lambat Dani menganggukkan kepalanya. Ila meletakkan kedua belah tangannya ke pipinya. Benar-benar terharu dengan keyakinan Dani itu. Dani hanya memandang tingkah Ila itu dengan pandangan hairan.
“Jadi… biarlah saya yang tolong awak, okey?” Ila mengenyitkan matanya pada Dani dan mengangkat ibu jarinya. Dan Dani terus mengangguk bersetuju. Seolah-olah dia tahu apakah yang dimaksudkan oleh Ila itu. Wajahnya kembali ceria dan senyumannya kembali mekar. Ila pula entah mengapa tidak sampai hati untuk terus mempermainkan Dani. Baginya Dani terlalu baik dan terlalu comel untuk dipermainkan.
Nik hanya memandang mereka dari jauh. Dapat dia lihat dengan jelas Dani dan Ila yang seronok ketawa bersama. Entah apa yang dibualkan oleh mereka Nik kurang pasti. Dia merengus kurang senang. Dah agak dah! Mamat tu memang nak mainkan aku. Getus hatinya. Tangannya dikepalkan dan tanpa dia sedari dia menghentak dinding restoran itu dengan buku limanya. Dia mengaduh kesakitan. Dia tiba-tiba teringatkan rancangannya malam tadi. Puas dia memujuk Ila dan akhirnya temannya itu setuju dengan rancangan bodohnya.
“Kau trylah goda-goda dia. Kau kan lawa… aku bet… dia akan sangkut kat kau punya. Dari situ dah boleh tahu dia bukan betul-betul serius pun.” Ujarnya selamba. Kononnya mahu membuktikan yang Dani bukanlah orang yang boleh dipercayai. Dan Ila menjadi mangsanya. Mangsa rancangan entah apa-apa Nik itu
Nik mengertap bibir, sakit hati. Aku benci mamat macam tu. Ingat muka dia lawa dia boleh ngorat semua orang? Huh! Bisik hatinya lagi. Masih berasa sakit hati. Matanya masih mengawasi tingkah mereka berdua dari kejauhan. Arghhhhhh!!!!!
*
Lama dia merenung siling biliknya. Otaknya berkisar tentang kata-kata Ila siang tadi. Sakit hatinya membuak-buak. Erghh!! Kenapa semua orang nak back-up dia? Macamlah dia tu bagus sangat? Ngomelnya. Teringatkan kata-kata Ila yang terusan memuji Dani hinggakan temannya itu memarahinya kerana melayan Dani dengan teruk dan kasar. Nik berkalih ke kanan. Salah ke aku? Dia tertanya sendirian.
“Tak baiklah kau layan dia macam tu. Serius… aku tengok dia betul-betul suka kat kau. Cubalah kau kenal dia dulu, layan dia baik-baik. Dia tak nampak macam nak mainkan kau pun. Dani tu baik, tau tak? Comel pulak tu. Dah cukup dah pakej tu, kau nak apa lagi?” kata-kata keras Ila itu mengetuk benaknya lagi. Dia merengus kurang senang.
Saat itu juga telefon berdering pinta diangkat. Wajah serta kata-kata Ila mati di situ. Dia bangun dari katil dan melangkah ke arah meja tulisnya. Telefon bimbit dicapainya, lalu dia membaca nama yang tertera di skrin telefon itu. ‘Dani.’ Dia mengertap bibir. Lama dia memandang telefonnya itu dengan pandangan kosong. Langsung tidak berminat untuk menjawab panggilan itu. Akhirnya panggilan itu mati kerana tidak berangkat. Mudah berputus asa! Fikirnya. Baru sahaja dia ingin meletakkan kembali telefon itu ke atas meja sekali lagi telefon itu menjerit pinta diangkat. Dia membaca nama yang tertera di situ. Sekali lagi pemanggil yang sama menghubunginya. Akhirnya dia menarik nafas dalam-dalam lalu menekan butang angkat. Kedengaran satu suara lembut memberi salam. Dan perlahan sahaja dia membalas salam itu.
“Awak tengah buat apa? Busy, eh?” soal Dani mesra. Nik hanya membisu. Dani pula mula rasa serba salah apabila pertanyaannya itu dibalas dengan kebisuan. Bersalah pula kerana menghubungi gadis itu waktu malam begitu. Sedangkan gadis itu mungkin sedang mengulangkaji ataupun sedang berehat. Sedar dengan kesilapannya.
“Kalau saya ganggu awak takpelah. Kita cakap esok je….”
“Kau nak apa? Cakap jelah sekarang pun.” Sampuk Nik selamba belum pun sempat Dani menghabiskan kata-katanya. Kerusi ditariknya lalu dia duduk sambil tangannya mencapai pen tidak jauh darinya lalu jemarinya mula menconteng sehelai kertas di atas meja itu. Dia masih memasang telinga, menantikan Dani menghabiskan kata-katanya.
“Saya cuma nak dengar suara awak. Rasa macam rindulah pulak. Hehehe…!” beritahu Dani, suaranya kedengaran seperti dia senang hati dan pada masa yang sama kedengaran seperti dia malu-malu. Sempat pula dia ketawa kecil, mengawal rasa gemuruh yang bermain di dadanya. Nik hanya mencebik. Wajahnya tetap sama kosong tanpa reaksi walaupun Dani tiada di hadapannya. Huh! Aku paling menyampah dengar ayat macam tu. Getus hati Nik.
“Oh!” pendek sahaja jawapannya. Dani jadi tidak keruan mendengarkan jawapan pendek itu. Dia tak suka mamat jiwang kot? Fikirnya. Dani terdiam seketika, berharap agar Nik berbicara sesuatu dengannya, namun gadis itu tetap mendiamkan diri. Bisu tanpa kata.
“Aku lupa…! Kawan aku tu minat betul dengan kau. Apa kata kau kenal dengan dia.” Ujar Nik bersahaja, setelah lama membisu. Dani sedikit tersentak dengan kata-kata Nik itu. Dan dia faham benar dengan maksud kata-kata Nik itu. Dia menggelengkan kepalanya berkali-kali, walhal dia tahu yang Nik tidak dapat melihatnya.
“But…” kata-kata Dani mati di situ. Kedengaran Nik menghela nafas panjang. Dan entah mengapa Dani tidak mampu menghabiskan kata-katanya. Lidahnya terkelu serta merta, dan matanya terasa panas.
“Okeylah. Aku dah ngantuk. Malam.” Beritahu Nik. Dani mengeluh berat, dan perlahan sahaja suaranya mengucapkan selamat malam dan mematikan panggilan itu dengan perasaan kecewa yang amat. Kenapa dia layan aku macam ni? Getus hatinya sedih.
*
“Akak, apa salah saya? Saya betul-betul sukakan dia. Tapi kenapa dia layan saya macam ni?” Adu Dani. Dilekapkan tangannya ke muka. Menyembunyikan mukanya yang sudah merah dan matanya yang sudah mula digenangi air jernih. Ila hanya memandang, sedikit terkejut dengan lagak Dani itu. Dia menggelengkan kepalanya. Tidak menyangka yang Dani benar-benar menyukai Nik. Malah dia juga tidak menyangka yang Nik akan melayan Dani seteruk itu, hinggakan pemuda itu mampu mengalirkan air mata.
“Akak kata nak tolong saya, kan?” soal Dani. Lambat-lambat dia mengangkat muka memandang Ila yang hanya membisu. Jari telunjuknya menyeka air mata yang baru sahaja ingin mengalir. Ila menganggukkan kepalanya. Dia benar-benar bersimpati dengan Dani. Ligat otaknya berfikir bagaimana caranya untuk membantu pemuda itu.
Dia mengurut dagunya. Berfikir, sambil matanya tidak lekang memandang Dani yang memandangnya dengan penuh berharap. Ish, susah ni! Nak kata mamat ni tak hensem, okey je aku tengok. Comel adalah. Mungkin dia takde ciri-ciri yang minah tu suka tak? Fikirnya. Dia melontarkan pula pandangan ke arah beberapa orang pelanggan yang baru sahaja memasuki restoran itu. Dia menarik nafas panjang sebelum memandang ke arah Dani yang sudah terkelu, tanpa kata. Memandang Ila sambil menggenggam jemarinya sendiri.
“Akak boleh tolong! Tapi Dani sanggup ke nak buat semua benda ni walaupun mengarut?” soal Ila. Direnungnya wajah Dani penuh minat. Cepat-cepat pemuda itu menganggukkan kepalanya. Langsung tidak berfikir tentang apa yang harus dia lakukan, asalkan Nik boleh menerimanya.
“Okey! Kalau macam tu… Dani kena ikut semua plan akak? Boleh?” soalnya lagi. Mahu memastikannya. Manalah tahu kalau-kalau pemuda itu tidak sanggup meneruskan idea gilanya. Sorrylah Nik. Nampaknya kali ini aku pulak yang kenakan kau. Fikir Ila. Dia tertawa sendirian dan dapat dia bayangkan wajah Nik apabila semua ini selesai. Hehehe!
“Boleh, kak! Apa-apa je. Asalkan Nik sudi terima saya.” Beritahu Dani, yakin sekali. Matanya bersinar kerana keyakinan. Dan Ila tertawa melihatkan kesungguhan pemuda itu. Dia menepuk tangannya, tanda dia gembira dengan kata-kata Dani itu.
“Baiklah…!” dan Ila mula membuka mulut bercerita tentang Nik kepada Dani. Dan dengan penuh perhatian pemuda itu memasang telinga. Tidak mahu tertinggal walau satu benda pun tentang Nik. Sesekali dia menggangukkan kepalanya. Dan senyumannya sedikit terukir apabila Ila memberitahunya apa yang harus dia lakukan untuk mendapatkan Nik. Ila pula seronok bercerita, sesekali dia tertawa tambah-tambah lagi apabila teringatkan Nik dan sikapnya yang sentiasa berlagak cool itu.
Dan tanpa mereka sedari sepasang mata terpandangkan kemesraan mereka dari jauh. Dia merengus kurang senang dan sakit hati. Dikertap bibirnya dan dikepalnya jemarinya erat. Dadanya berombak kerana marah. Dia merengus kasar dan terus melangkah meninggalkan restoran itu. tidak jadi untuk memasuki restoran itu. Langkahnya kasar dan berat dengan rasa marahnya yang tak terluah. Tak guna!
*
Kebisuan beraja antara mereka. Sesekali Nik menjeling ke arah Dani yang hanya membisu seribu bahasa. Apahal pulak mamat ni diam je hari ni? Dan bisu kot. Fikirnya. Dia kembali memandang ke hadapan. Entah mengapa dia tidak sukakan suasana bisu itu. Hatinya jadi resah. Ish, tak boleh jadi ni! Getus hatinya lagi. Sekali lagi dia menjeling ke arah Dani yang sedang memandang jam di tangannya. Baru sahaja Nik ingin membuka mulut bertanyakan tentang sesuatu, tiba-tiba dia teringatkan adegan yang dilihatnya semalam. Wajahnya berubah serius. Langkahnya mati dan wajah Dani dipandangnya dengan pandangan sinis. Pemuda itu hanya memandangnya hairan apabila melihatkan langkah Nik yang mati serta merta itu.
“Kau kata kau anggap Ila tu macam kakak kau. Aku tengok korang macam ada something je.” Selamba sahaja dia berkata sambil memandang wajah Dani tajam. Dani terkedu. Tidak menyangka yang Nik akan ternampak adegan mereka sedang berbual. Dan sememangnya dia menganggap Ila tidak lebih dari seorang kakak. Dia menggelengkan kepalanya, menafikan kata-kata Nik itu. Nik hanya tertawa mengejek.
“Dahlah!” katanya selamba dengan wajah kakunya. Terus berpaling dan mula mengatur langkah. Dan baru sahaja beberapa tapak dia melangkah, Dani menarik tangannya agak kasar. Nik sedikit tersentak lalu memandang Dani, geram.
“Betul! Saya memang anggap Ila macam kakak saya. Saya cuma sukakan awak je.” Katanya, lembut dan tegas. Dipaksa dirinya untuk mengukir senyuman. Dan tajam matanya menikam wajah Nik hinggakan gadis itu meneguk liurnya yang terasa kelat. Nik terdiam dan terkedu. Namun matanya masih mampu membalas pandangan mata Dani itu. Dan akhirnya wajah Nik berubah seperti biasa, tiada reaksi.
“Sudahlah!” dia merentap tangannya kasar sambil tunduk memandang kaki sendiri. Entah mengapa dia rasa tercabar apabila Dani bertindak sebegitu. Tanpa banyak soal dia terus melangkah meninggalkan Dani yang kebingungan. Pemuda itu hanya mampu memandang langkah Nik yang semakin menghilang.
Dani tunduk memandang tangan kanannya lama, sebelum matanya mula berasa panas dan dadanya terasa sebak. Nik! Nama itu meniti bibirnya. Dia benar-benar ingin tahu apakah yang dirasakan oleh gadis itu ketika bersamanya. Adakah aku terlalu memaksa? Dia tertanya sendirian. Teringat akan layanan dingin Nik terhadapnya dan setiap kali dia menghubungi gadis itu Nik lebih banyak berdiam diri dari berbicara. Malahan Nik tidak pernah mengukir senyuman padanya. Tidak pernah walau sekali melainkan senyuman sinis yang cukup menyakitkan hatinya.
Namun begitu sekurang-kurangnya Nik masih sudi keluar bersamanya, walaupun tanpa kata. Itulah yang membuatkan Dani sedikit lega. Tidak kisah walaupun Nik mencipta semakin banyak jurang dan ruang antara mereka. Dani tetap berusaha mendekati Nik dalam pelbagai cara. Dia mengeluh berat. Hati terasa pedih dan bagai ditoreh apabila Nik tidak mempercayainya. Dia menyeka air matanya kasar. Baiklah! Dia yang paksa aku buat semua ni! Bisik hatinya keras.
*
Dia menongkat dagu, memandang pensyarah di hadapannya dengan pandangan kosong. Fikirannya menerawang jauh, tumpuannya tidak sepenuhnya berada di dalam kelas itu. Entah mengapa dia teringatkan tingkah Dani yang tiba-tiba sahaja berubah. Senyuman manis yang sentiasa terukir di bibirnya seolah-olah mati malahan wajahnya juga tidak terlukis sebarang reaksi. Sikap dingin Dani kini tidak ubah seperti sikap dinginnya terhadap pemuda itu. Dia mengeluh berat. Lantaklah!
“Baiklah! Kita jumpa minggu depan. Jangan lupa siapkan semua assignmen ni dan serahkan minggu depan.” Kata-kata pensyarahnya itu mengejutkan Nik dari lamunan. Dia terus memasukkan buku-bukunya ke dalam beg galasnya lalu mengandangnya ke belakang. Dan matanya hanya memandang pensyarah muda itu keluar dari kelas itu diikuti beberapa orang pelajar lain. Beberapa orang teman sekelasnya sempat mengangkat tangan kepadanya sebelum mereka melangkah keluar dari kelas itu. Dan Nik hanya membalasnya dengan anggukkan dan senyuman hambar.
Nik bangun dari kerusinya dan baru sahaja dia tiba di muka pintu langkahnya terhenti. Dani tidak muncul seperti selalu. Matanya meliar mencari kelibat pemuda itu namun dia tidak kelihat di mana-mana. Nik hanya tersenyum sinis. Dah putus asalah tu. Lelaki! Fikirnya. Dia berpeluk tubuh dan terus melangkah keluar dari kelas itu. Menuju ke kafe kampus.
Saat dia tiba di kafe itu langkahnya mati. Dapat dia lihat dengan jelas Dani yang enak berbual dan ketawa bersama Ila. Dia merengus marah. Sakit hatinya membuak-buak. Teringat kata-kata Dani yang beria-ia benar menafikan perasaannya terhadap Ila, namun kini di hadapannya Dani seronok ketawa bersama temannya itu. Mesra sekali hubungan mereka. Bodoh! Still nak nafikan lagi ke? Fikirnya. Dia terus berpaling dan melangkah meninggalkan kafe itu.
Saat dia tiba di rumah sewanya tiada seorang pun yang menyambut kepulangannya. Masing-masing belum pulang dari kampus. Dengan langkah yang berat dia melangkah ke biliknya. Dihempas begnya ke lantai dan dia terus menghenyakkan tubuhnya ke katil. Tudung yang dipakainya terus dibuang dan dicampakkan ke lantai. Direnung siling biliknya lama. Entah mengapa hatinya terasa sayu dan sakit sekali. Dia mencapai bantal dan menutup mukanya dengan bantal itu. Menahan rasa. Dan tanpa dia sedar dia terlena hingga jam menginjak ke pukul 10.00 malam.
Nik bingkas bangun dari katil. Dipandangnya sekelilingnya yang gelap, lambat-lambat dia bangun dan melangkah membuka suis lampu. Dia menguap kecil. Dipandangnya pula jam di dinding. La… aku tertidur ke? Getusnya. Dia terus mencapai tuala yang tersangkut di kerusi berhampiran meja tulisnya itu lalu terus melangkah ke bilik mandi. Tidak lama kemudian dia muncul semula di bilik itu lalu duduk di atas katilnya. Fikirannya menerawang jauh. Termenung panjang. Dan tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dicapainya telefon bimbitnya di atas meja lalu merenung telefon itu kosong. Dia menghela nafas panjang.
Agaknya dia betul-betul dah putus asa kot. Fikirnya. Dia menggelengkan kepalanya. Menghitung hari. Lima hari berlalu dan tiada lagi panggilan telefon dari Dani. Malahan pemuda itu juga tidak lagi menunggunya di hadapan kelas seperti biasa. Teringat pula kali terakhir mereka bertemu. Pertemuan yang berakhir dengan pergaduhan, dan itulah kali pertama Dani meninggikan suaranya terhadapnya. Tiada lagi senyuman dan kata-kata yang lembut dari pemuda itu. Nik menggelengkan kepalanya. Sudahlah! Dia dah putus asa, kan? Lagipun dia dah jumpa orang yang betul-betul dia suka. Fikirnya. Dia memegang kepalanya yang mula berasa sakit dan berdenyut itu. Teruklah!
*
Dani keresahan. Dia berulang-alik ke hulu dan ke hilir. Dipandangnya telefon bimbit di tangan. Hatinya keras mengarahkan dia menghubungi Nik namun dia melawan kehendak hati sendiri. Dia jadi keresahan. Dipandang jam di dinding. Hampir menginjak ke pukul 1.00 pagi. Dia mula menghitung hari, lima hari berlalu dan dia tidak pernah menghubungi Nik sejak itu. Semuanya kerana ‘misi’ pentingnya itu. Dan kerana itulah dia menanggung rindu.
Macam manalah keadaan dia? Patutnya aku jumpa dia sekejapkan? Tapi… aku dah janji dengan Kak Ila. Ish… susahnya! Rindu betul nak dengar suara dia. Dia berkata sendirian. Dia melangkah ke katilnya, lalu melabuhkan punggungnya ke atas katil yang empuk itu. Dia mula memutarkan kenangannya sendiri. Sejarah mengapa dia boleh menyukai Nik.
“Aku taulah motor dia besar. Tak yahlah nak berlagak.” Kata-kata itu jelas di telinganya. Dia memandang ke arah seorang gadis bertudung yang juga turut memandangnya. Wajahnya jelas menunjukkan yang dia tidak berpuas hati. Lama dia memandang gadis itu sebelum gadis itu mengalihkan pandangannya dan terus melangkah laju bersama temannya. Dan sejak itu dia berhajat ingin berkenalan dengan gadis itu. Tidak menyangka ramai yang sudi membantunya dan dia bertambah gembira apabila mengetahui yang gadis itu belajar sekampus dengannya.
Dan seumur hidupnya belum pernah seorang pun melayannya sedingin Nik. Dan tiada orang yang pernah memarahinya sesuka hati seperti Nik. Dan kerana itulah dia menyukai gadis itu. Tidak kira bagaimana cara dia melayannya. Kasar atau tidak, baginya Nik adalah segala-galanya. Dani menghela nafas panjang. Dia membaringkan tubuh tegapnya ke atas katil lalu kedua-dua belah tangannya di letakkan ke belakang kepala. Dia merenung siling, lama.
*
“Weh, bangunlah! Dah lewat ni. Kau tak nak pergi kelas ke?” saat itu terasa tubuhnya digoncang kuat. Nik berusaha membuka matanya yang terasa berat itu. Kepalanya berdenyut-denyut seperti semalam dan tubuhnya terasa lesu dan sakit-sakit. Dia memandang Ila yang sudah bercekak pinggang merenungnya. Dia berusaha membuka mulutnya dan bangun dari katil namun tubuhnya terasa seperti dipaku di katil itu. Lama Ila merenung temannya itu yang diam tanpa reaksi. Dia menyentuh dahi Nik dengan belakang tangannya dan sedikit terkejut. Dipandangnya Nik yang masih berselimut.
“Kau demam ni. Jom aku hantarkan pergi klinik.” Ajaknya. Nik menggelengkan kepalanya. Ila melabuhkan punggung di sebelah temannya itu. Tangannya diletakkan lagi ke dahi Nik, ingin memastikan apa yang dirasakannya tadi.
“Takpe… jap lagi okeylah.” Beritahu Nik. Suaranya sedikit garau, dan kecil sahaja matanya di buka memandang Ila sambil mengukir senyuman paksa. Dia kembali menarik selimutnya hingga menutupi mulut dan hidungnya. Ila masih merenungnya, bimbang. Jarang sekali temannya itu jatuh sakit, dan hari ini tiba-tiba sahaja dia terbungkam di katil tidak berdaya.
“Betul ke ni?” soalnya, kurang pasti. Namun Nik menganggukkan kepalanya. Sempat pula dia mengangkat ibu jarinya dan mengenyit mata pada Ila. Ila menggelengkan kepalanya. Sempat lagi nak bergurau. Fikirnya. Dia hanya mengukir senyuman paksa. Akhirnya Ila bangun dari katil itu dan melangkah ke muka pintu. Dia berhenti sebentar. Dipandangnya Nik yang sudah kembali memejamkan matanya. Lambat-lambat Ila melangkah keluar dari bilik itu dengan hati yang berat.
Apabila sedar yang dia kembali sendirian, Nik menghela nafas panjang. Dia menyentuh kepalanya yang terasa sakit. Adoi… tak larat la pula nak bangun ni. Getusnya. Berusaha untuk duduk, namun akhirnya dia hanya mampu bersandar pada kepala katil. Kepalanya terusan berdenyut kuat. Dia mencapai telefon bimbit di sisinya, lalu merenungnya lama. Kenapa dia tak telefon aku, hah? Soalnya sendirian. Dia menggenggam telefon itu erat lalu di dekatkan ke dadanya. Dia kembali memejamkan matanya.
Masa berlalu, dan Nik hanya tersedar apabila tangan sejuk teman serumahnya melekap di dahinya. Lambat-lambat dia membuka matanya, merenung seraut wajah yang tersenyum memandangnya. Dia membalas senyuman itu hambar. “Kau nak aku temankan kau pergi klinik tak?” soalnya, lembut. Namun nadanya jelas menunjukkan kerisauannya. Nik menggelengkan kepalanya. Sikap keras kepalanya masih lagi kuat walaupun dalam keadaan separuh sedar.
“Tapi…” belumpun sempat temannya itu menghabiskan kata-katanya, Nik terlebih dahulu menyampuk.
“Takpelah, Sal! Aku okey. Lepas makan Panadol nanti kang sihatlah balik.” Beritahunya selamba. Dia tersenyum nipis memandang Sal yang hanya mampu menggelengkan kepalanya. Dia hanya memandang Sal yang memandang ke arah Ila yang baru muncul dengan segelas air dan dua biji Panadol di tangannya.
“Betul ke? Macam teruk je aku tengok demam kau ni?” soal temannya lagi. Nik menganggukkan kepalanya. Benar-benar tidak mahu ke klinik kalau hanya setakat demam biasa. Fikirnya.
“Makan ubat ni dulu.” Kata Ila sambil menghulurkan air dan ubat itu kepada Nik. Lambat-lambat Nik menyambut ubat itu dengan senyuman tawar di bibirnya. Dia berusaha keras menelan ubat itu yang terasa pahit malahan dia terasa perit semasa menelan ubat dan air itu. Dia kembali menyandarkan kepalanya ke katil. Dipandang jam di dinding yang sudah menginjak ke jam 5.00 petang. Dia menghela nafas panjang.
“Kau nak makan apa? Nanti aku masakkan?” soal Ila sebelum dia bangun dari katil itu. dipandangnya Nik yang sudah memejamkan matanya. Namun temannya itu hanya menggelengkan kepala. Ila dan Sal saling berpandangan. Mereka kembali memandang Nik yang langsung tidak memandang mereka. Entah apa yang bermain di kepalanya itu.
“Nanti perut kau masuk anginlah. Aku masakkan bubur je untuk kau, okey?” pujuk Sal pula. Nik tetap menggelengkan kepalanya. Entah mengapa selera makannya mati. Jemarinya semakin erat menggenggam telefon bimbit di tangannya. Dia memejamkan matanya langsung tidak memandang ke arah Sal dan Ila. Akhirnya teman-temannya itu bangun dan melangkah meninggalkan Nik sendirian.
Dan tatkala jam itu hampir menginjak ke pukul 7.00 petang, Nik berusaha bangun dari katil lalu melangkah ke bilik air. Lama dia berada di dalam bilik kecil itu sebelum keluar dan kembali ke biliknya. Dia menyarung t-shirt dan seluar trek ke tubuhnya, lalu mengerjakan solat Maghribnya. Dia kembali ke katilnya, termenung jauh sebelum kedengaran pintu biliknya diketuk dari luar. Dia hanya mengangkat muka memandang Sal yang muncul dengan menatang bubur dan segelas susu. Dia menggelengkan kepalanya dan tersenyum sahaja.
“Serius, beb! Tak payah susah-susahlah. Aku dah okey ni.” Katanya sambil tertawa kecil. Walau pada hakikatnya dia sedang melawan sakit kepala yang semakin kuat. Sal hanya tersenyum nipis, lalu meletakkan bubur dan susu itu ke atas meja tulis.
“Makanlah! Kau tu dah satu hari tak makan.” Balas Sal pula. Nik hanya tersengih. Dan baru sahaja Sal berpaling ingin meninggalkan bilik itu, sempat Nik memanggilnya dan mengucapkan terima kasih. Senyumannya meleret. Sal hanya menganggukkan kepalanya lalu meninggalkan bilik itu.
Selesai sahaja solat Isyaknya Nik menarik kerusi itu lalu duduk menghadap bubur yang diletakkan oleh Sal sebentar tadi. Lama dia memandang bubur itu dengan pandangan kosong. Seleranya benar-benar mati. Dipandangnya jam yang sudah menginjak pukul 8.30 malam. Dia menghela nafas panjang. Dipandangnya pula telefon bimbitnya dengan pandangan kosong. Tanpa dia sedar dia mencapai telefon itu lalu menekan-nekan nombornya, dan kemudian mendekatkan telefon itu ke telinganya. Tak lama kemudian satu suara menyambut panggilan itu dan dengan nada dingin salam diberi. Nik membalas salam itu serba salah.
“Awak nak apa?” soalan itu menerjah telinga Nik. Nik menarik nafas dalam-dalam. Dia hanya mampu diam tanpa kata. Dan akhirnya mereka sama-sama membisu tanpa kata. Entah mengapa Nik tidak dapat memberitahu apa yang difikirkannya saat itu. Lidahnya terkelu.
“Kalau takde apa-apa, saya nak letak. Ada kerja sikit.” Beritahunya sedikit dingin, namun suaranya masih lembut seperti selalu. Nik sedikit tersentak dengan kata-kata itu. Namun akhirnya dia hanya mampu meminta maaf.
“Maaflah kacau. Aku ingat nak borak dengan kau.” Beritahunya perlahan. Antara dengar dan tidak. Nik menggaru hidungnya yang mula terasa gatal. Dia menarik nafas lagi sambil memegang kepalanya yang semakin berdenyut.
“Selamat malam.” Beritahunya sebelum mematikan panggilan itu. Dipandangnya telefonnya lama, dan akhirnya dia bangun dari kerusi itu dan melangkah ke katil. Langsung tidak menyentuh bubur dan susu yang disediakan untuknya itu. Dia membaringkan tubuhnya ke katil dan menyelimuti seluruh tubuhnya hingga ke kepala. Lambat-lambat dia memejamkan matanya. Betul-betul dah putus asa. Fikirnya. Dia tersenyum paksa dan hambar sekali.
*
Dani memandang telefonnya. Nik? Dia tertanya-tanya saat terpandangkan nama yang tertera di skrin telefonnya itu. Dia terus menjawab panggilan itu dengan hati yang melonjak gembira. Dan saat kedengaran suara Nik menyapanya, dia terus mengawal suaranya. Tidak mahu Nik tahu yang dia gembira mendapat panggilan dari gadis itu. Berpura-pura serius, walau hakikatnya dia gembira benar saat itu.
“Assalamualaikum.” Ucapnya dingin. Dan perlahan sahaja suara Nik menjawab salam itu. Nik hanya membisu seribu bahasa dan debaran di hati Dani semakin hebat. Cakaplah! Ujarnya dalam hati. Namun Nik tetap berdiam diri. Dapat dia mendengar helaan nafas panjang Nik melalui corong telefon itu.
“Awak nak apa?” soalnya sedikit dingin dan masih lembut nadanya. Sememangnya dia tidak lagi sanggup meninggikan suara pada gadis itu. Namun Nik tetap membisu. Dani semakin keresahan. Dia sekejap duduk dan akhirnya berdiri kembali. Ingat… be serious! Pesannya pada diri sendiri.
“Kalau takde apa-apa, saya nak letak. Ada kerja sikit.” Entah mengapa kata-kata itu pula yang keluar dari mulutnya. Dia menampar pipinya sendiri, memarahi dirinya sendiri kerana berkata demikian. Baru sahaja dia ingin menerangkan perkara yang sebenar. Ingin membetulkan apa yang harus dia katakan. Nik terlebih dahulu menyampuk.
“Maaflah. Aku ingat nak borak dengan kau. Selamat malam.” Perlahan sahaja suara Nik di telinga Dani. Lemah dan tak berdaya. Dani terasa sayu mendengar suara itu. Dan akhirnya tanpa sempat menahan Nik, gadis itu terlebih dahulu mematikan penggilan itu. Dani terhenyak duduk di atas katil. Dipandangnya telefonnya, lama. Perasaan bersalahnya semakin menebal.
Teringatkan suara lemah Nik itu membuatkan perasaannya menjadi sayu. Air matanya bergenang. Maafkan saya, Nik! Ucapnya perlahan. Dia melekapkan tangannya ke muka, menyembunyikan mukanya yang sudah mula menangis. Huhuhu..! Dia terpaksa mengaku yang dia sememangnya mudah menangis.
*
Pagi-pagi lagi Dani dikejutkan dengan panggilan telefon. Dipandangnya telefon itu. mengharapkan Nik yang akan menghubunginya namun, yang tertera di skrinnya nama lain selain Nik. Kenapa Kak Ila telefon awal-awal ni? Dia tertanya sendirian. Lambat-lambat dia menjawab panggilan itu kerana hairan dan kemalasan. Kalut sahaja suara Ila memberi salam, dan dengan tenang Dani menjawab panggilan itu.
“Dani ada kelas tak pagi ni?” soalnya, kekalutan. Dani hanya mengiakan. Teringatkan kelasnya pada pukul 9.00 pagi itu. Kedengaran suara Ila mengeluh berat. Dani semakin hairan, namun dia tidak bertanya mengapa.
“Ingatkan nak suruh Dani tengokkan Nik. Akak dah pujuk dia pergi klinik, tapi dia tak nak.” Beritahu Ila, berbelit-belit. Dani tersentak dan hairan pada masa yang sama mendengar kata-kata itu.
“Kenapa dengan dia?” soalnya. Suaranya berubah risau. Tidak lagi kemalasan seperti tadi. Kedengaran Ila menarik nafas panjang. Tenang sahaja dia memberitahu Dani tentang Nik yang jatuh sakit tiba-tiba itu.
“Tapi semalam dia call saya… kenapa dia tak bagitahu…” belum pun sempat dia menghabiskan kata-katanya, dia teringatkan kata-kata dinginnya terhadap Nik. “Ada kerja nak buat.” Dani mula menyalahkan dirinya kerana tidak mendengar apa yang ingin dikatakan oleh Nik kepadanya.
“Takpelah, kak! Saya pergi nanti.” Beritahunya, tenang. Langsung terlupa tentang kelas yang harus dihadirinya itu.

0 comments: