Titik mulanya cinta


Oleh : Laila Hanni

Ring…ring…ring….
Telefon talian tetap rumahku berbunyi minta diangkat. Aku yang sedang berehat di atas katil cepat-cepat bangun dan berlari ke meja telefon yang letaknya bersebelahan dengan pintu bilik tidurku.
“Hallo,”
“Assalamualaikum,”
“Waalaikumsalam,”
“Boleh saya cakap dengan Fazila?”
Kedengaran suara yang agak asing di hujung talian. Siapa? Hatiku berdetik sendiri.
“Ya. Saya…,”
“Hoi Ila… tak kenal aku ke?”
Siapa? Mesra semacam saja bunyinya. Berkerut dahiku memikirkan suara siapakah di hujung talian itu.
“Siapa ye?”
“Akulah… Fauzi,”
“Eh.. Fauzi. Tak camlah suara awak…,”
“Yelah… suara kita ni manalah orang tu nak cam,”
“Taklah…. tak pernah pun awak call saya…,tiba-tiba hari ni call pulak. Ada apa-apa ke?”
“Rindu….,”
Aku tersenyum sendiri. Rindu? Padaku ? Ah, mengarut sajalah. Siapalah aku ni untuk dirindui? Bukankah hari itu aku sudah memberitahu dia yang aku tidak mahu apa-apa hubungan yang serius dengannya. Cukuplah kami berkawan sahaja. Kalaupun aku terdesak kerana masih belum punya teman lelaki, namun untuk mengubah haluan dari hubungan sebagai teman kepada hubungan kasih dengannya tidak sekali-kali. Itu pendirianku. Dia terlalu muda untukku. Dua tahun perbezaan umur antara kami membezakan tahap kematangan kami. Dia diam di hujung sana, mungkin menunggu reaksi dariku. Aku pula tak mampu untuk berkata-kata buat seketika. Tidak pasti sebenarnya bagaimana untuk ku berikan respon pada kata-katanya sebentar tadi. Setelah agak lama kami diam, dia bersuara semula. Mungkin sudah tidak sabar untuk menunggu jawapan dariku.
“Kau apa khabar?”
“Baik…, awak?”
“Baik juga. Kau dah beli tiket balik ke kampus ke?”
Makin hairan aku dibuatnya. Kenapa pula Fauzi menelefonku hanya untuk bertanyakan soalan sebegitu? Pasti aku sudah membeli tiket balik. Memang selalunya pun membeli tiket pergi-balik. Sekurang-kurangnya aku tidak menyusahkan sesiapa untuk membelikan tiket untukku di sini. Lebih mudah begitu.
“Dah…,”
“Bila?”
“Pagi esok,”
Hai, tak kan dia lupa yang aku akan balik ke kampus seminggu lebih awal? Bukankah hari tu aku telah memberitahunya yang aku perlu ke kilang tempat kajian yang aku ingin jalankan bagi projek tahun akhirku nanti minggu depan? Lupa agaknya.
“Kau jual balik boleh…?”
Makin terkejut aku dengan permintaannya itu. Mengapa?
“Kenapa?”
“Aku nak bagi kau satu tugas baru…,”
“Saya tak fahamlah maksud awak ni,”
“Kau nak kerja sambilan tak masa cuti panjang macam ni?”
“Maksud awak?”
“Nak jadi tourist guide tak?”
“Eiii, tak fahamlah…,”
“Aku tengah bercuti kat kampung kau ni. Tu yang nak ajak kau jadi tourist guide aku,”
Aku jadi hairan, rasanya tidak pernah pun dia memberitahu aku yang dia akan datang ke sini. Atau mungkin aku yang terlupa. Dan, sekarang dia meminta aku untuk jadi tourist guide dia? Manalah aku tahu sangat jalan-jalan di sini. Walaupun aku tinggal di sini hampir limabelas tahun, aku bukalah seorang yang suka berjalan. Ke bandar pun, kalau tidak dibawa emak atau abah, aku tidak akan pergi sendirian.
“Oh… bila datang sini?” kataku cuba menutup kekalutan yang timbul dalam hati saat itu.
“Semalam. Tak pandailah nak jalan kat sini, ini yang aku call kau ni. Kut-kut kau sudi temankan aku,”
“Emmm…,”
“A.. tergagap kau. Ini mesti tak nak ni kan?”
“Tiket saya tu macamana?” aku beralasan.
“Macam ni, aku belikan tiket lain untuk kau. Kau buat appoinment dengan manager kilang tu hari apa?”
Hah, ingatpun….
“Hari Selasa,”
“OK set, aku belikan tiket untuk kau hari Ahad. Siap hantarkan lagi ke bus station. Kalau kau nak balik kampus dengan akupun boleh. Kami nak balik ke KL hari Ahad nanti sebab Isnin abang aku dah start kerja. Kalau kau nak, hantarkan kau sampai ke JB pun kami sanggup.”
“Emmm… mana boleh, mak saya mesti tak benarkan, keluar berdua dengan awak,”
“Aku bukan datang seoranglah… family aku ada jugak. Kami datang satu kereta ni. Please Ila…, mak aku nak sangat shopping kat Rantau Panjang dengan Pengkalan Kubur tu. Kami tak tau nak pergi macamana ni,”
“Malulah…,”
“La.. apa nak malu, bukannya suruh jumpa bakal mak mentua, suruh jadi tourist guide aje,”
Berderau darahku mendengarkan kata-katanya yang polos itu.
“Nantilah… saya tanya mak dulu,”
“Ok… tanya tau, lepas sepuluh minit nanti aku call balik. Make it positif OK?”
“Tengoklah…,”
Permintaanku emak persetujui dengan dua syarat. Pertama, aku mesti mengajak sesiapa yang emak kenali. Lega rasanya kerana memanglah aku amat memerlukan bantuan seseorang untuk melakasanakan tugas ini. Lantas aku menghubungi Kak Rini. Dia tahu selok belok jalan di Kota Bharu. Bila dihubungi, dia setuju. Aku memang dah mengagak kerana Kak Rini memang terkenal dengan sikapnya yang suka shopping. Cara menghilangkan stress katanya. Syarat yang kedua pula ialah, Fauzi dan keluarganya mesti datang ke rumah untuk menjemputku. Emak dan abah mahu mengenali keluarga teman yang akan membawa anak daranya ini keluar. Malu sungguh rasanya. Mak dan abah ni buat syarat macamlah orang tu datang nak meminang anaknya pulak. Siap nak kenal keluarga dia dulu. Padahal aku cumalah diajak untuk menunjukkan jalan sahaja kepada mereka. Tiada niat lain. Aku yakin, pastinya Fauzi sudah faham dengan keenggananku untuk menjalinkan hubungan yang serius dengannya.
Apabila Fauzi menghubungiku sepuluh minit kemudian, kedengaran ceria sekali suaranya apabila mendengarkan jawapan positif dari ku. Biarlah berapa banyak sekali pun syarat yang emak dan abah berikan katanya, asalkan mereka sudi membenarkan aku pergi dengan mereka. Hati aku jadi sedikit curiga, terasa seolah-olah bagaikan dia memang mengharapkan kehadiranku menemani keluarganya. Entahlah…
****
Ketika MPV Toyota Innova milik keluarga Fauzi memasukki pintu pagar rumah, aku sudah siap sedia menanti mereka. Mereka datang berempat, emaknya Pn Hasmah, abangnya Faris dan adik bongsu mereka Farisya. Ketika bersalaman dengan emak dan adiknya, aku lihat mereka berdua merenungku dengan senyuman meleret di bibir. Kelihatannya bagaikan memerhatikan setiap gerak lakuku. Entah mengapa, terdetik sekali lagi rasa gundah di hati seperti yang aku rasakan tadi, ketika dia menghubungiku untuk mendapatkan keputusan samada aku sanggup menjadi tourist guide mereka atau tidak. Ada sedikit rasa tidak percaya pada Fauzi yang memang suka bergurau dan mengusikku sepanjang perkenalan kami di kampus. Tapi, perasaan itu kemudiannya aku buang jauh-jauh. Mereka memerlukan bantuanku, bukannya datang untuk niat lain.
Emak menjemput mereka naik ke rumah terlebih dahulu. Kebetulan pagi itu emak memasak nasi dagang, jadi rezeki merekalah nampak gayanya, dapat juga mereka menjamah juadah itu. Semua memuji masakan emak. Malah Makcik Hasmah siap bertanyakan resepi masakan itu. Ingin sekali dia mencuba katanya.
“Senang aje mak… ambil aje Ila ni jadi menantu… boleh suruh dia yang masakkan. Kan Faris?” kata Fauzi, tanpa segan mengusikku di hadapan semua orang. Matanya dileretkan kepada abangnya. Kata-kata yang mengundang tawa dari semua yang hadir.
Saat itu aku jadi sungguh malu. Tidak tahu di mana mahu aku letakkan muka ini. Sungguh Fauzi nak kena agaknya, detik hatiku. Aku turut mengerling selintas untuk melihat reaksi abang Faris. Pertama kali bertentang mata, terasa bertambah panas wajahku apabila aku mendapati lelaki itu turut merenungku dengan senyum terukir di bibir. Ah, sungguh aku tidak selesa berada di dalam situasi begini.
“Alah… nak suruh Ila masak? Alamatnya makan nasi mentahlah jawabnya. Bukannya pandai pun dia tu. Masa makcik masak ni pun kalau tak tak dipaksa datang ke dapur menolong, alamatnya berpeluh sorang-sorang lah makcik kat dapur tu..,”
Kata-kata emak yang mulanya kusangkakan akan menjadi penyelamatku, kini turut sama pula menjadikan aku bahan lawak untuk mereka. Emak pun mengusik aku di hadapan mereka. Ah, malu sungguh.
“Mak ni… ,”kataku separuh merajuk sambil bangun ke dapur untuk mengambil air minuman. Rasanya bagaikan tidak mahu aku keluar ke ruang makan bila mendengarkan galak tawa mereka yang menghantar aku ke dapur sebentar tadi.
Sesungguhnya ahli keluarga Fauzi memang mesra orangnya. Baru pertama kali berjumpa mereka sudah begitu mesra dengan emak yang sememangnya peramah. Cuma aku lihat, abang Faris agak pendiam orangnya, tidak seperti Fauzi, emaknya dan Farisya. Sejak mereka tiba tadi, baru beberapa kali dia bersuara. Itu pun hanyalah untuk menjawab pertanyaan yang ditujukan kepadanya. Selain dari itu dia lebih banyak tersenyum sahaja. Agak jauh berbeza perwatakkannya dari Fauzi dan Farisya yang asyik riuh berkata-kata, mengusik dan bergurau dalam berbicara.
Selesai menjamu selera, kami bertolak. Sebelum meneruskan perjalanan, kami ke rumah Kak Rini untuk menjemputnya. Sungguh aku bersyukur kerana Kak Rini sanggup menemaniku. Kalau tidak sudah pasti aku menolak pelawaan mereka. Sikap Kak Rini yang peramah nampaknya mampu memeriahkan suasana yang sudah sememangnya ceria. Berada di kalangan keluarga itu, bagaikan menonton rancangan Raja Lawak. Ada sahaja perkara lucu yang diperkatakan hinggakan tak kering gusi kami dibuatnya.
Ternyata Makcik Hasmah, emak Fauzi memang suka membeli-belah. Di Rantau Panjang, hampir semua kedai dikunjunginya. Gerai-gerai di dalam pasar juga dijalajahi satu persatu. Tangannya sarat membawa beg plastik berisi pelbagai barangan yang dibeli. Kami semua jadi mangsanya, terpaksa menjadi kuli tukang angkut barangnya. Adoiii…..
Di Pengkalan Kubur pula, dia shopping lagi. Kali ini pinggan mangkuk pula. Fauzi tak habis-habis merungut tentang kegilaan emaknya berbelanja. Cuma yang aku pelikkan ialah dengan sikap abang Faris. Dia langsung tak peduli dengan sikap emaknya. Semua yang diinginkan oleh Makcik Hasmah akan ditunaikannya. Semua perbelanjaan dia yang tanggung. Banyak duit betul mamat ni. Bila emaknya minta untuk beli set pinggan mangkuk yang mahal pun dia sanggup bayarkan. Lemah rasanya aku melihatkan sikap emaknya yang satu itu.
Sepanjang masa kami melayan kerenah membeli-belah Makcik Hasmah, tidak sekali pun Abang Faris menegurku untuk berbual. Tapi, dengan Kak Rini dia nampaknya mesra sekali. Ada ketikanya mereka berdua tertinggal di belakang kerana asyik sekali melihat barangan yang dipamerkan di kedai yang kami kunjungi. Walaupun baru kali pertama berjumpa, entah mengapa kehadiran Abang Faris terasa bagaikan menarik perhatianku. Ada ketikanya tanpa sedar aku merenung ke wajahnya, mengharapkan dia juga menyedari kehadiranku. Tapi, siapalah aku. Nampaknya dia bagaikan langsung tidak menyedari kehadiranku bersama mereka.
Dan akhirnya setelah seharian bersama, aku terpaksa mengalah dengan perasaanku. Aku terpaksa akur dengan hakikat bahawa aku telah terpikat pada Abang Faris. Aku sendiri tidak mengerti bagaimana aku boleh berperasaan begitu. Apalah sebenarnya yang menarik pada dirinya? Mungkin ketampanannya, atau mungkin wajah dan sikapnya yang serius itu yang terasa begitu menyentuh naluri gadisku. Ternyata dia cukup berbeza dari Fauzi. Tubuhnya yang tegap sasa, wajahnya yang sederhana tampan dan suaranya yang garau menggetar sukmaku. Pertama kali aku rasakan perasaan ini terhadap seorang lelaki. Dan ada ketikanya apabila dia kelihatan seperti memandang padaku, dadaku jadi berdebar. Angaukah aku? Atau sebenarnya hati sudah ditusuk dengan panahan asmaranya? Ah… aku seakan-akan buntu dengan keadaan itu.
Namun, semua ini bagaikan tidak bermakna buatnya. Aku mungkin bukan orang yang menarik di pandangan matanya. Jika tidak, pasti dia sudah menegurku atau cuba berbicara denganku bila ada waktu yang terluang.
Bila petang menjelma dan kami sudah dalam perjalanan untuk menghantar aku dan Kak Rini pulang, hatiku tiba-tiba jadi cukup sayu. Tidak mungkin hari seperti ini akan berulang kembalidalam hidupku. Tidak mungkin aku akan dapat bertemu lagi lelaki pertama yang mampu membuatkan perasaanku bergetar. Terasa seperti satu kehilangan menerpa di sudut hati. Ya, aku kini sudah merasa kehilangan walaupun dia belum lagi menjadi milikku.
****
“Mak aku nak datang merisik engkau esok,”
Kata-kata Fauzi yang kedengaran begitu polos sekali berbicara membuatkan aku tersentak. Hampir terlepas gagang telefon yang ku pegang saat itu.
“Kami memang cadang nak balik esok, tapi lepas semuanya selesai. Kalau kau setuju, dia nak terus meminang.,”
Makin terkejut aku dibuatnya.
“Apa ni Fauzi…?”
“Apa ni apa…, kau tak dengar ke apa aku cakap tadi? OK, aku ulang… mak aku nak meminang kau, faham?”
“Saya… saya…,”
Semua ini bagaikan mimpi buatku. Belum pun hilang penatku menjadi tourist guide mereka seharian hari ini, malam ini aku dikejutkan pula dengan berita ini. Sungguh aku tidak mengerti dengan keadaan ini.
“Tapi Fauzi, hari tu kan saya dah cakap … saya tak boleh terima awak. Saya ingatkan awak faham maksud saya. Saya lebih tua daripada awak. Saya tak nak nanti kalau timbul apa-apa perselisihan antara kita nanti, saya ni dicap queen control pulak. Memang hari ni kita nampak macam sebaya, tapi esok bila dah…,”
Aku tak mampu menghabiskan kata-kata. Segan rasanya untuk menyebut perkataan itu.
“Kahwin…? dah beranak pinak…? dah tua….?”
Sampuk Fauzi bagaikan mengerti apa yang ingin aku sampaikan.
“Emmm….mmm…”
“Engkau takut nanti engkau nampak lebih tua dari aku masa tu?”
“Emm… mmm..,” aku masih lagi teragak-agak.
“Tak usah risaulah pasal tu… habis, kenapa kalau kau nampak lebih tua dari aku… masa tu kan kau dah jadi kakak ipar aku, memang sepatutnyalah kalau kau tu nampak lebih tua dari aku…,”
Entah mengapa kata-kata itu bagaikan menyentap tangkai hatiku. Lututku terasa longlai, seperti tidak percaya apa yang aku dengarkan sebentar tadi. Kakak ipar? Apa maksudnya?
“Mak aku nak pinang kau untuk Abang Farislah…. jelouse aku kau tau…aku nak kat kau, tapi kau tak nak pada yang lebih muda. Sayang pulak rasanya sebab aku berkenan betul dengan kau ni. Jadi aku ceritalah pada mak aku. Kebetulan Abang Faris belum ada yang punya, tengah mencari…. ,”
Bla…bla… bla.. Dan kata-kata selanjutnya seperti sudah tidak ku dengari lagi. Terkejut tidak terhingga dengan apa yang disampaikan padaku. Bagaikan orang yang sedang bingung, aku tidak menyedari apabila dia bertanyakan samada aku setuju atau tidak untuk mereka datang merisik. Dan bagaikan faham dengan keadaan aku yang seperti dalam keadaan shock, Fauzi meminta untuk berbicara dengan emak. Aku masih lagi dalam keadaan terkejut apabila emak meletakkan gagang telefon ke tempatnya setelah selesai berbicara. Dia lantas memelukku sambil membawa aku duduk di sofa berhampiran dengan abah.
“Emm… mereka datang nak tengok Ila rupa-rupanya. Pura-pura ajak Ila jadi pemandu pelancong. Sebenarnya nak tengok bakal menantu…,’ emak bersuara kepada abah sambil mengusikku. Senyum terukir di bibirnya.
“Ada apa ni Zah,” kata abah turut tak mengerti.
“Ini hah, emak kawan Ila yang minta tolong dia tunjukkan jalan ke Rantau Panjang tadi minta izin dengan saya, nak merisik Ila. Kalau kita setuju, dia nak terus datang meminang. Ye lah… mereka tu jauh. Kiranya datang ni buat sekali arung lah,” jelas emak pada abah. Aku yang bingung turut mendengar. Masih lagi tak mampu untuk berfikir dengan waras. Terasa bagaikan tidak berpijak di bumi nyata lagaknya.
“Amboi Ila, pandai ye sembunyikan hal ni? Mak kamu yang cekap menelah orang ni pun tak dapat menangkap tujuan sebenar mereka tu datang.” Usik ayah pula.
“Ila tak tau abah… mak…, mereka tak cakap apa-apa pun. Ila pun tengah terkejut ni.” Rungutku dengan perasaan yang sungguh tidak dimengertikan.
Jauh di sudut hati, terselit rasa bahagia. Sungguh aku tidak menyangka sebenarnya ada agenda lain yang terselindung di sebalik ajakan mereka pagi tadi. Rupa-rupanya di luar sedarku, mereka ingin aku dan abang Faris bertemu dan berkenalan. Patutlah Fauzi galak mengusik, makcik Hasmah dan Farisya asyik senyum meleret dan Abang Faris…. Ah, lelaki itu….sungguh pandai dia menyembunyikan hasrat hatinya padaku. Sedikitpun aku tidak menyangka. Mati-mati aku menyangka dia tidak langsung tertarik denganku. Dalam sikap selambanya, rupa-rupanya ada sesuatu yang tersembunyi di sebalik renungannya yang sekali-sekala jatuh ke wajahku. Tapi, benarkah begitu? Tidakkah semua ini terburu-buru? Mindaku bagaikan masih belum mampu menerima kejutan ini.
“Habis, Zah jawab apa? Benarkan mereka datang?”
“Saya jemput mereka datang. Tak kan nak tolak pulak kan? Cuma, saya beritahu mereka, jawapannya kenalah tanya empunya diri dulu,”
“Hah macamana Ila? Setuju ke mereka nak datang ni?
Aku diam, hanya memandang tepat ke dalam mata emak. Tidak pasti apa jawapan yang aku patut berikan. Dalam bahagia terdetik rasa curiga. Sejak bila dia kenali diriku? Adakah Fauzi yang menceritakan tentang diri ini kepadanya tanpa pengetahuanku? Bukankah dulu, Fauzi yang beria-ia suka padaku tapi kini mengapakah pula aku dipinang untuk abangnya? Adakah kerana aku menolak permintaannya untuk menjadi teman wanitannya menyebabkan dia memperkenalkan aku kepada abangnya. Dan, apakah perasaan Abang Faris terhadapku? Sukakah dia kepadaku? Atau terlalu terdesakkah dia hinggakan sanggup meminangku tanpa ada sekelumit pun perasaan terhadap diri ini?
****
Ketibaan rombongan dari pihak Abang Faris disambut mesra oleh seluruh ahli keluargaku. Emak dan abah telah menjemput semua emak saudaraku. Selain dari itu, imam masjid kampungku yang juga merupakan sepupu ayah turut hadir sama. Di pihaknya pula, selain dari mereka sekeluarga, turut hadir adalah ahli keluarga suami sepupu Makcik Hasmah yang tinggal di Pasir Putih. Rupa-rupanya mereka ada saudara-mara di sini. Memang benarlah rupa-rupanya pelawaan untuk aku menjadi tourist guide mereka itu hanya satu alasan sahaja untuk mempertemukan aku dengan abang Faris. Pandai sungguh Fauzi buat cerita.
Upacara merisik berlangsung dengan pantas sekali. Aku yang di dapur bersama menyediakan juadah untuk hidangan tak sudah-sudah diusik Mak Su Milah. Bila ditanyakan tentang bagaimana hubungan ini terjalin, aku jadi buntu. Apa yang mampu aku katakan? Sedangkan aku sendiri tidak pasti bila hubungan ini mula terjalin. Malah aku sedikitpun tidak pernah berbicara dengannya. Suaranya aku sediri tidak pasti bagaimana bunyinya.
Emak masuk ke dapur, bertanyakan jawapan dariku setelah hajat di hati pihak lelaki disampaikan. Aku jadi buntu lagi, apa jawapanku ? Sejak semalam, tiada satu jawapan yang aku mampu berikan. Untuk berkata tak mahu, hati ini bagaikan mahu. Untuk berkata mahu, aku malu sekali. Sungguh… Malah, aku masih lagi ragu-ragu. Terasa seperti terlalu awal untuk aku menjalin hubungan ini. Baru sahaja semalam bertemu, hari ini sudah datang merisik dan seterusnya akan bertunang. Tak masuk dek akal betul rasanya.
“Ila… macamana?”
“Ila tak tau mak…,”
“La apa pulak tak tau, jawab aje nak ke tak, senang cerita,”
“Tapi Ila tak kenal dia,”
“Dia kenal Ila. Mak dia kata Fauzi yang kenalkan, Ila pada dia. Dia memang nak bertunang dengan Ila,”
“Tapi… Ila, tak sempat nak fikir mak…,”
“Apa lagi yang difikir… Mak berkenan dengan dia. Baik orangnya, baik keluarganya. Kalau Ila setuju mereka nak terus meminang aje. Cepatlah bagi keputusan. Kesian mereka dok tunggu tu. Mereka pun nak balik lepas majlis ni. Janganlah nanti dia tertunggu-tunggu pulak. Kalau tak nak, cakap aje tak nak”
“Ila… tak taulah mak…,”
“Kenapa ni Ila?” suara abah menyampuk perbualan kami. Mungkin lama menunggu emak keluar dengan keputusanku menyebabkan abah turut sama ke dapur.
“Ila ni… tak tau nak bagi keputusan. Sebenarnya suka agaknya. Itu yang tak tau nak cakap apa tu. Kalau tak dah tentu dari semalam lagi dia cakap tak nak…,” kata emak.
“Hah… macamana Ila, kalau tak tau apa nak cakap, biar abah ajelah yang cakap ye?”
Aku memandang ke wajah abah. Memang abah banyak mengambil peranan dalam membuat keputusan untuk diriku terutamanya bila aku berada dalam keadaan serba salah. Ketika menerima tawaran menyambung pelajaran dalam bidang kejuruteraan dulu pun abah yang buat keputusan supaya aku menerima. Aku memang tidak meminati jurusan itu. Langsung aku tak pernah berangan-angan untuk menjadi seorang jurutera. Tapi, apa pilihan yang aku ada. Abah kata, jika aku menolak, berkemungkinan aku tak akan ada peluang untuk melanjutkan pengajian dalam bidang lain. Mungkin ini yang Allah tentukan untukku. Atas dasar itu aku menerima tawaran itu walaupun tidak meminatinya.
“Abah bagi keputusannya ye Ila?” kata abah lembut. Dalam serba salah aku mengangguk perlahan sambil menundukkan muka.
Ya Allah, aku bermohon padamu, biarlah keputusan yang abah berikan ini baik untukku. Ku bermohon padamu, jika dia yang menjadi jodohku, biarlah segalanya berlandaskan ketetapanmu. Biarlah hubungan ini mendapat keredhaanmu. Selama ini aku cukup menjaga maruah diriku seperti yang sering dipesan oleh emak dan abah. Cuba untuk tidak begitu mudah didekati oleh lelaki-lelaki yang entah apa tanggapan mereka terhadapku. Cuba menjaga maruah diri, tidak mudah menerima apa-apa hubungan yang memungkinkan aku melanggar batasan adat dan agama. Hasilnya aku menjadi seorang yang cukup sukar didekati lelaki. Bukan seorang yang mengatakan aku ini sombong dan bukan sedikit yang mencemuhku dengan sikapku yang dikatakan jual mahal. Ya Allah, jadikan keputusan abah ini sebagai titik mula untuk cintaku yang berlandaskan ketaatanku kepada Mu. Jika ini takdirmu, jadikanlah dia lelaki soleh yang akan membawaku ke jalan yang kau redhai. Amin, Ya Rabul Alamin….
****
Ahad itu, aku kembali ke kampus di selatan tanah air setelah menghabiskan cuti semester selama dua bulan. Kebosanan perjalanan dengan bas yang mangambil masa hampir sepuluh jam itu bagaikan tidak ku rasakan dek kerana ada sesuatu yang indah memenuhi ruang ingatanku. Cincin merisik meminang di kedua jari manisku, kiri dan kanan, ku tatap penuh rasa serba salah. Di sepanjang waktu itu aku bagaikan terbayang wajah Abang Faris di saat aku keluar ke ruang tamu untuk diperkenalkan kepada keluarga di pihaknya. Setelah cincin tunang disarungkan ke jari manisku oleh Makcik Hasmah, aku bersalam dengan semua tetamu wanita. Tidak dapat aku gambarkan bagaimana perasaan di hati ini saat bila aku tiba-tiba menjadi perhatian semua. Debaran di dada bagaikan gendang dipalu. Mengegarkan seluruh tubuh, dan jika ada yang memegang tanganku saat itu pasti dapat dirasakan sejuk tanganku dek rasa gementar.
“Macam dijanji-janji ye, muka pun dah ada iras-iras ni. Lebih kurang sama aje nampaknya,” Masih terngiang-ngiang lagi kata-kata salah seorang tetamu lelaki semalam.
“Itulah yang dikatakan jodoh. Ikut orang tua-tua, kalau seiras macam ni, katanya serasi. Aman rumah tangganya nanti…,” kedengaran suara lain pula yang menyambut.
“Insyaallah…. begitulah hendaknya….,” sahut abah pula. Menambah lagi rasa malu dihatiku.
Abang Faris…. sungguh kenangan antara aku dan dia terlalu sedikit. Malah, bagaikan tiada langsung kenangan itu untuk diingati. Bertemu hanya sekali dan setiap renungannya hadir tanpa sepatah kata. Namun bicara hati kami bagaikan menyatakan segalanya. Kehadirannya di majlis pertunangan kami semalam menambahkan lagi kayakinanku terhadap perasaannya kepadaku. Apa lagi yang aku inginkan selain dari ketulusan hatinya untuk membina bahagia bersamaku? Mungkin saat ini hati kami belum mampu untuk berbicara cinta. Tapi ketegasannya untuk menjadikan aku sebahagian dari hidupnya begitu meyakinkan. Selama ini belum ada lelaki yang setulus ini ingin menjalinkan hubungan denganku. Kalau ada pun yang menyapa untuk berkenalan, kebanyakkannya mengharapkan sesuatu yang tak mampu untuk aku berikan. Tidak mampu pergi jauh dalam hubungan yang tidak tahu ke mana arah tujuannya.
Seperti yang aku jangkakan, kejutan ini mengundang pelbagai tohmahan dari teman-teman sekuliahku. Masing-masing begitu terperanjat dengan keberanianku menerima perhubungan ini. Mengikat tali pertunangan tanpa ada apa-apa rasa cinta yang tersemai dalam hati.
“Eee… berani ye awak terima dia?” kata Zurina ketika aku menyampaikan berita ini.
“Insyaallah, dia jodoh saya agaknya,” kataku separuh yakin.
“Tapi Ila, awak tak pernah kenal dia kan? Macamana awak boleh yakin dengan dia?”
“Saya ada satu rahsia, nak dengar tak?” kali ini kata-kataku penuh dengan keyakinan.
“Apa?”
“Masa bulan puasa yang lepas, kitakan buat Qiamullail kat masjid, awak ingat tak?”
Kelihatan Zurina mengaggukkan kepalanya.
“Lepas sembahyang Hajat malam tu, saya ada mohon pada Allah, minta Dia kurniakan saya dengan suami yang soleh untuk bawa saya ke jalan yang diredhai. Saya yakin, sekarang ni Allah dah kurniakan doa saya tu,”
“Eii… berani ye awak. Dia tu kan orang yang awak tak kenali. Manalah tau kut-kut dia tu iblis bertopengkan manusia,”
Tersentuh hatiku mendengarkan kata-kata pedas Zurina. Saat itu terasa hatiku bagaikan diramas. Bagaikan ada suara-suara halus yang berbisik mengiakan kata-katanya itu. Mengapa selama ini aku tidak pernah terfikir akan kemungkinan ini.
“Ila,awak tu baik, tapi janganlah awak fikir semua orang tu baik macam awak. Sepatutnya awak kenalah ada sikit rasa curiga. Jangan senang-senang nak percaya pada orang,”
“Tapi, yang introduce tu kan Fauzi, adik dia. Takkan lah Fauzi nak aniya saya. Kalau abang dia jahat, takkan dia nak kenalkan kami.”
“Mana kita tahukan?”
Terdiam aku mendengarkan kata-kata Zurina. Ya, kemungkinan yang tidak sekali-kali dapat aku nafikan.
“Itulah awak Ila, bukannya tak ada yang nakkan awak. Bila ada, awak buat jual mahal. Macamana lelaki berani nak dekat dengan awak. Tengoklah Baharin, Jamal, Tojo… Dia orang tu kata, susah sangat dia orang nak tackle awak. Sampaikan dia orang tu semua back off, surrender. Yang buat betting pun ada, kalau dapat bawak awak keluar, nak belanja kita orang makan,”
“Ina… awak tau ajelah. Dia orang tu, sikit-sikit nak ajak keluar. Kononnya nak kenal hati budilah katakan…. Mana boleh macam tu. Takkan lah saya nak langgar pesan mak abah saya pulak. Berdosa tau,”
“La, sebab tulah aku ajak double date dulu. Bukannya kau keluar berdua aje dengan Tojo tu. Itupun tak sempat apa-apa awak dah balik, tinggalkan Tojo sorang-sorang. Sapalah tak marah. Kalau saya jadi dia pun, tentunya marah jugak,”
“Hah, double date ape? Keluar aje bersama. Bila dah sampai kat sana, awak dengan Man tinggalkan saya dengan dia. Mana boleh macam tu. Itulah yang saya balik tu,”
“Yelah… kau tu jual mahal sangat, bila ada yang nak berkenalan kau jual mahal. Sekarang ni, bila dah desperate, ha… baru awak tahu,”
“Apa? Awak kata saya desperate?”
“Yelah, desperatelah tu. Dah dekat nak grad belum ada boyfriend. Lepas tu siapa aje yang masuk meminang, terus terima. Tak ke desperate namanya tu?”
Gulp, tak mampu aku menjawab kata-katanya itu. Terdasakkah aku bila aku menerima pinangan ini akibat dari rasa yakin dengan ketulusan hati Abang Faris? Kata-kata Zurina begitu memberi kesan ke atas diriku. Membuatkan aku terus rasa serba-salah. Bimbang dengan kemungkinan yang satu itu.
****
Kebimbangan itu terus menebal hari demi hari. Tempoh dua bulan berlalu, namun tiada sebarang berita pun ku terima darinya. Untuk menghubungiku dengan telefon, pasti dia tidak akan dapat lakukan kerana aku tidak punya telefon bimbit. Mungkin agak keterlaluan jika aku katakan akulah satu-satunya pelajar sekuliahku yang tak punya telefon bimbit. Tak sanggup rasanya aku membazirkan duit pinjaman PTPTNku untuk mendapatkan kemewahan yang satu itu. Aku pula bukannya dari keluarga berada. Kalau setakat untuk menghubungi emak, abah serta kawan-kawan, telefon awam kan ada. Mereta-rata telefon awam terdapat di sekitar kampus untuk memenuhi keperluanku. Lebih baik rasanya jika duit harga telefon serta belanja untuk top-upnya aku gunakan untuk membeli bahan-bahan bacaan yang lebih berfaedah. Memanglah aku dikatakan kolot oleh teman-teman. Biarkanlah, asalkan hati aku senang. Lagipun kalau setakat untuk berhubung, YM dan Fbkan ada. Free pulak tu.
Namun, kemudahan percuma itu tidak juga Abang Faris gunakan untuk menghubungiku. Mungkinkah tiada niat langsung di hatinya untuk menghubungiku di alam maya begitu? Ingin dikatakan tidak tahu tentang alamat emailku, dirasakan tidak logik sekali kerana Fauzi mempunyai alamatku. Tak mungkin dia tidak memberikannya kepada Abang Faris. Untuk meminta alamat email Abang Faris dari Fauzi aku rasa tak berani pulak. Malulah… Bimbang nanti dikatakan gatal pulak. Tapi, bukankah dia tunanganku? Tidakkah aku berhak untuk dihubungi, sekurang-kurangnya untuk bertanya khabar.
Ish… betul ke hak itu ada pada diriku? Selagi belum disatukan sebagai suami isteri, patutkah aku mengharapkan hak itu? Ah, aku jadi buntu. Buntu dengan kehendak hati yang sememangnya tidak sealiran dengan kehendak syariat. Bukankah hak itu masih lagi bukan milikku. Apabila dua insan diikatkan dengan tali pertunangan, bukan bermakna mereka bebas melakukan apa sahaja. Aurat masih tetap sama seperti dua insan lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Malah suara juga masih lagi aurat. Untuk keluar bersama melepaskan perasaan rindu yang menghambat hati, adalah satu perkara yang masih terlarang. Pertunangan bukanlah tiket untuk dua insan bebas bergaul mesra. Selagi tidak diijabkabulkan bukankah semuanya itu masih haram? Mungkinkah itu sebabnya Abang Faris bagaikan tidak menghiraukan diri ini?
Ah, biarlah… biarlah aku terus bersabar. Lagipun, bukannya lama lagi tarikh kami akan disatukan. Emak memberitahuku yang Makcik Hasmah ingin terus melangsungkan majlis perkahwinan kami sebaik sahaja aku tamat pengajianku yang tinggal lebih kurang tiga bulan sahaja lagi. Menurutnya ada orang yang sudah tidak sabar menunggu hari yang dijanjikan. Malu sungguh aku bila emak menyampaikan berita itu. Siapa yang dimaksudkannya? Aku atau Abang Faris?
Cuti pertengahan semester itu aku balik ke rumah hanya untuk dua hari sahaja. Nak melepaskan rindu pada keluargalah katakan. Tak mampu untuk pulang lama-lama dek kesibukkan menyiapkan projek tahun akhirku. Sebenarnya kesibukkan inilah yang melegakan sedikit resah di hati akibat dari sikap tak endah Abang Faris terhadapku. Namun ada ketika terdetik di hati mungkinkah sebenarnya dia tidak ada sekelumit pun perasaan terhadap diri ini. Mungkinkah hanya Fauzi dan emaknya sahaja yang ingin menyatukan kami, sedangkan dia tuan empunya diri mungkin tidak mengharapkan hubungan ini. Lebih parah lagi jika dia sebenarnya sudah punya pilihan hati yang tidak disetujui oleh emaknya. Hah… bertambah parah lagi resah yang menjerut tangkai hati ini.
Dua hari di rumah, bagaikan tidak sabar-sabar rasanya di hati menantikan panggilan telefon darinya. Ah, Fauzi tahu aku pulang, tak mungkin dia tidak menyampaikan berita tentang kepulanganku ini kepada Abang Faris. Namun, hatiku cukup kecewa. Penantianku dan kesabaranku langsung bagaikan tidak dihargai. Harapanku untuk mendengar bicaranya berkecai sama sekali. Petang hari kedua, aku bagaikan sudah tidak mampu membendung perasaan. Tumpah airmataku untuk pertama kalinya kerana lelaki ini. Sungguh-sungguh aku berkecil hati dengan sikapnya. Ah, bagaimana jika benar apa yang aku sangkakan selama ini? Apa harus aku lakukan jika sebenarnya dia tidak sukakan hubungan ini? Perlukah aku meneruskan pertunangan yang bagaikan tidak menjanjikan apa-apa kebahagiaan buat diriku?
Selepas mengemas semua barang yang akan ku bawa ke kampus nanti, aku keluar dari bilikku. Emak memandangku dengan raut wajah penuh tanda tanya. Mungkin dia dapat mengesan kesedihan di wajahku. Munkgin juga dia dapat mengesan airmata yang bergenang di tubir mata.
“Kenapa ni Ila?”
“Tak ada apa-apa mak,” aku berdalih. Melarikan pandangan mata ke atah lain. Perlahan cuba menghapuskan airmata yang bergenang.
“Barang-barang semua dah kemas?”
“Dah,”
“Bas pukul berapa malam ni?”
“10.30 mak…,”
“Abah cakap, lepas sembahyang Isyak, bersiaplah. Dia balik dari masjid, terus hantar Ila ke stesen bas,”
Aku hanya mengangguk lesu sambil berlalu ke bilik. Langkahku terhenti bila emak memegang bahuku.
“Kenapa Ila…?”
Aku mengeluh berat. Malu untuk mengakui perasaanku katika ini. Tidak keterlaluankah bila aku berperasaan sebegini?
“Ila takut mak..,”
Berkerut dahi emak bila mendengarkan kata-kataku.
“Kenapa ? takut apa?”
“Abang Faris,”
“Kenapa dengan dia? Dia ada jumpa Ila ke? Ada cakap apa-apa ke?”
“Tak ada…,”
“Habis tu?”
“Sampai hari ni Ila tak taupun apa perasaan dia pada Ila…,”
Airmata di tubir mata tak mampu lagi aku bendung. Menitis laju meniti di pipiku yang tak berapa licin itu. Cepat-cepat aku seka dari terus mengalir. Kalau boleh aku tidak mahu emak menyedarinya. Nasib baik aku sedang mencuci pinggan di sinki sambil membelakangkannya. Kalau tidak, tentu dia riasu melihat aku menangis.
“Selama ini dia tak pernah jumpa Ila ke?”
“Tak pernah mak. Ila takut… dia sebenarnya tak suka pada Ila. Sebab tu dia tak pernah nak jumpa Ila. Entah-entahkan Makcik Mah aje yang nak jodohkan kami,”
Emak kedengaran mengeluh. Kami memang rapat, dan selalu berkongsi apa yang dirasakan. Maklumlah, aku anak sulungnya dan merangkap satu-atunya anak perempuannya. Memanglah sepatutnya kami amat rapat.
“Entahlah Ila. Hari tu mak dia ada telefon pada mak, bertanyakan khabar Ila. Tak ada pulak dia cakap apa-apa pasal Faris. Semuanya baik aje katanya,”
Aku terdiam. Tidak aku ketahui yang selama ini emak dan Makcik Hasmah sering berhubung.
“Mak selalu ke cakap dengan Makcik Hasmah?”
“Haah… selalu jugak dia telefon. Mak pun selalu bertanyakan khabar mereka. Faris pun selalu telefon mak, tanya khabar. Dia ambil berat dengan Ila tau..,”
Tidak semena-mena aku jadi teruja. Bila mendengarka kata-kata emak. Jika benarlah kata emak, mengapa tidak selama ini dia menghubungiku. Kan lebih baik bertanyakan khabar pada tuan punya diri? Bukan kah begitu?
“Dia selalu telefon mak?”
“Haah.. tanyakan khabar mak ,”
“Selalu ke dia cakap dengan mak?”
“Adalah… seminggu sekali…”
“Selalunya apa dia cakap dengan mak?”
“Macam-macam, pasal dia, pasal mak dan pasal Ila…,”
Saat itu hatiku jadi teruja. Berdebar-debar dibuatnya. Sekurang-kurang ada juga perasaannya untuk ambil tahu tentang diri ini. Tapi kenapa dia tidak mahu menghubungi aku sendiri? Mengapa melalui emak dia bertanyakah khabar?
“Dia tahu ke Ila balik ni mak?”
“Ada mak cakap pada dia minggu lepas,”
“Hmmm,”
Hem… hairan sungguh. Dia tahu aku ada di rumah. Mengapa dia tidak menghubungiku di rumah. Kalaulah benar dia ambil berat tentang diri ini, tidakkah dia teringin mendengar cerita tentang diri ini dari mulutku sendiri? Hairan… cukup aku hairan….
Atau… mungkinkah ada sesuatu yang ingin disembunyikan? Kelemahan diri mungkin? Suaranya sengau ke? Atau mungkin lidahnya boleh jadi kelu bila berdepan dengan perempuan? Tapi, dengan kak Rini masa aku jadi tourist guide untuk keluarganya pergi shopping dulu tak pulak dia malu-malu. Dan dari bicaranya waktu itu, tidak ada sedikitpun nada sengau pada suaranya, walaupun pada saat ini aku tidak lagi mampu untuk mengingati bagaimana nada suaranya. Garaukah? Lembutkah? Ah…. hairan sekali.
****
Akhirnya saat yang ditunggu tiba jua. Aku rasakan, majlis perkahwinanku mungkinlah majlis yang paling pelik sekali dilangsungkan. Untuk membeli barang hantaran umpamanya, aku terpaksa pergi dengan emak. Barangan yang dibeli, hanyalah barang hantaran dari pihaknya untuk diriku. Dan dia pula membeli barang hantaran dari aku untuknya. Tidak seperti orang lain, keluar bersama untuk sama-sama memilih barangan yang pasangannya berkenan. Baju pengantin pula, kainnya Makcik Hasmah serahkan padaku melalui Fauzi untuk ditempah. Terkilan juga di hati kerana sangka ku kami akan sama-sama pergi ke butik-butik ataupun kedai pakaian pengantin untuk mencuba dan menyewa pakaian yang dipamerkan seperi pasangan-pasangan lain. Nampaknya semua itu hanya mimpi bagiku.
Pagi hari yang sepatutnya begitu bersejarah bagiku bagaikan seperti hari-hari biasa. Tidak ada bezanya bila hati bagaikan begitu ragu-ragu untuk meneruskan hubungan ini. Keluarga Abang Faris telah tiba untuk majlis itu sejak malam semalam. Tapi, Abang Faris masih belum tiba. Dia masih lagi bekerja malam itu dan dijangkakan akan tiba pagi itu dengan kapalterbang untuk majlis akad nikah yang akan dijalankan selepas sembahyang Zohor nanti. Majlis bersanding pula berlansung selepas akad nikah. Pedih hati ini ketika disampaikan berita ini. Masih lagi tidak sanggup meninggalkan tugasnya untuk majlis ini. Hanya tiba di saat-saat akhir sebelum majlis berlangsung. Terdetik di hatiku mungkinkah selepas majlis, dia akan terus pergi meninggalkan aku dengan penuh rasa kecewa. Entah mengapa hati ini bagaikan dapat menjangkakan sesuatu yang seumpama itu akan berlaku.
“Abang Faris tak dapat sampai lagi Ila. Dia kena stranded kat KLIA sebab tak sempat sampai sebelum tammat waktu check in flight dia. Terpaksa tunggu next flight, which is going to be to night,”

0 comments: